Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

KEJOHANAN U23 AFF 2022

Singa Muda sasar separuh akhir walau 'underdog'

Jurulatih Nazri mahu skuad buat kejutan ke atas pasukan sekumpulan Thai, Vietnam
Feb 12, 2022 | 07:06 AM



Mahu cipta detik indah



PEMAIN midfield Saifullah Akbar ingin "mencipta detik indah" bersama pasukan bawah 23 tahun (U23) Singapura sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada peringkat usia itu tahun ini.



Dan peluang pertama untuknya mencapai matlamatnya itu ialah apabila pasukan Singa Muda beraksi di Kejohanan U23 Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).



Saifullah, 23 tahun, adalah sebahagian anggota skuad yang akan ke Kemboja bagi kejohanan belia itu.



"Sudah lama Singapura tidak masuk separuh akhir kejohanan peringkat belia, baik U16, U18 mahupun U23.



"Jadi, bagi Kejohanan U23 AFF ini, saya berharap kami dapat sekurang-kurangnya ke separuh akhir dan itu akan menjadi satu memori indah yang boleh saya simpan (bertanding di peringkat usia ini)," kata Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Singapura (SPL) 2020 itu.



Saifullah mempunyai musim cemerlang tahun lalu - menjuarai SPL bersama Lion City Sailors dan disertakan dalam skuad Piala Suzuki AFF Singapura Disember lalu.



Berbekal pengalaman itu, Saifullah berharap beliau bersama pemain berpengalaman lain dalam Singa Muda, seperti Ilhan Fandi dan kapten Jacob Mahler, dapat membimbing pemain lebih muda dan membantu pasukan itu mencapai kejayaan di Kemboja.



"Saya ingin menjadi contoh baik kepada pemain lebih muda. Apabila mereka melihat saya berusaha gigih, mereka juga terdorong sama.



"Itulah yang saya pelajari ketika dalam skuad Piala Suzuki AFF. Saya melihat semangat juang Hariss (Harun) dan Shahdan (Sulaiman) yang tidak henti bekerja keras dan saya ingin jadi pemain itu dalam pasukan ini," ujar Saifullah, yang sudah lima kali bermain untuk pasukan senior nasional.



Singa Muda berdepan tugas berat dalam Kumpulan C, yang turut dianggotai dua pasukan hebat bola sepak Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam.



Bagaimanapun, Saifullah tidak gentar malah berasa ghairah.



"Kami tidak rugi apa-apa sebab jangkaan daripada penyokong terhadap kami tidak tinggi. Kami hanya harus turun padang dan bermain permainan kami dan menikmatinya.



"Apa sahaja boleh terjadi jika anda bermain dengan baik dan menikmati permainan bola sepak anda.



Jadi, saya rasa yang penting ialah mempunya mentaliti mahu menang," tambahnya.




Umur muda tak hambat tapi dorong Raoul



PEMAIN bek penuh Raoul Suhaimi akan berumur 17 tahun hanya pada September ini, namun pelajar menengah lima Sekolah Sukan Singapura ini tidak menjadikan usia mudanya hambatan untuk beliau menonjolkan potensi bola sepaknya di peringkat lebih tinggi.



Raoul adalah antara pemain dalam skuad nasional bawah 23 tahun (U23) kendalian ketua jurulatih Nazri Nasir yang akan bersaing di Kejohanan U23 Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).



Edisi ketiga kejohanan belia itu diadakan di Phnom Penh, Kemboja mulai lusa.



"Saya terharu kerana jika dibandingkan dengan Sukan Sekolah Kebangsaan, tahap dan intensiti pertandingan peringkat usia U23 berbeza sepenuhnya dan jauh lebih tinggi.



"Tapi, ia mendorong saya melakukan yang terbaik walaupun usia saya agak muda," kata Raoul dalam satu wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini.



Raoul, bagaimanapun, tidak kekok beraksi pada tahap permainan lebih tinggi.



Pada usia 15 tahun dan 232 hari, beliau menjadi pemain paling muda dalam sejarah Liga Perdana Singapura (SPL) yang membuat penampilan sulungnya dalam liga profesional tempatan.



Beliau menyertai Young Lions musim lalu dan telah menyarung jersi kelab itu enam kali.



Mengimbas kembali pengalaman musim pertamanya dalam liga, Raoul berkata:



"Di SPL, ada pemain lebih besar daripada saya, lebih pantas dan secara fizikal, lebih baik. Jadi, saya tahu saya harus memperbaiki aspek fizikal saya."



Oktober lalu, Raoul buat kali pertama dijemput menyertai skuad nasional U23 bagi Kelayakan Piala Asia U23 AFC di Singapura dan diturunkan dalam perlawanan pusingan kumpulan menentang Korea Selatan.



Beliau juga mewakili Singapura tiga kali pada peringkat usia U16 dalam Kelayakan Kejohanan U16 AFC 2020 pada 2019.



Namun, Raoul tidak mahu mudah berpuas hati dan ingin terus mencipta lebih banyak detik kejayaan dalam kerjaya bola sepaknya.



"Saya belum pernah menentang Thailand dan Vietnam, dan ini akan menjadi kali pertama saya.



"Jadi, saya mahu membuat penampilan sulung saya di Kejohanan U23 AFF dan mudah-mudahan dapat membanggakan Singapura," tambahnya.




PERLAWANAN SG



Menentang Thailand Tarikh: 16 Disember

Waktu: 8 malam

Lokasi: Stadium

Prince di Phnom Penh



Menentang Vietnam

Tarikh: 19 Disember

Waktu: 8 malam

Lokasi: Stadium

rince di Phnom Penh



*Perlawanan dapat ditonton secara langsung di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).




Jurulatih Nazri mahu skuad buat kejutan ke atas pasukan sekumpulan Thai, Vietnam



KETUA jurulatih bawah 23 tahun (U23) Singapura, Nazri Nasir, menetapkan sasaran separuh akhir bagi pasukannya dalam Kejohanan U23 Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022, yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, dari lusa hingga 26 Februari.



Ini meskipun pasukan Singa Muda itu berdepan pasukan handal bola sepak Asia Tenggara - Thailand dan Vietnam - dalam Kumpulan C.



Ditemui Berita Harian di Padang Geylang baru-baru ini, Nazri, 51 tahun, mengaku pasukannya adalah underdog, atau pasukan kerdil dalam kumpulan itu.



Namun, beliau berusaha menanam semangat juang dalam skuadnya dengan harapan anak buahnya berupaya melakukan kejutan ke atas lawan.



"Jika anda melihat kualiti dalam skuad pasukan ini dan sejarah bola sepak negara lawan mereka pada kertas, ya kelihatan kami adalah pasukan underdog.



"Tapi, saya selalu berpesan kepada pemain bahawa kita harus berdepan setiap perlawanan satu persatu. Kami mahu menang setiap perlawanan. Pemikiran begini yang saya jangka daripada pemain… Kami sasar mara ke separuh akhir," kata Nazri.



Sasaran itu tidak mustahil dicapai sebenarnya kerana difahamkan bahawa Thailand, juara pertama kejohanan ini pada 2005, dan Vietnam akan menghantar skuad kurang berpengalaman.



Skuad Thailand, yang dipimpin ketua jurulatih Salvador Valero Garcia, sebahagian besarnya merangkumi pemain U19 mereka.



Langkah itu diambil Persatuan Bola Sepak Thailand memandangkan Kejohanan U23 AFF bertembung dengan kejohanan bola sepak profesional Liga 1 hingga 3 Thai dan persiapan bagi Sukan SEA 2022, Piala Asia U23 AFC 2022 dan Sukan Asia 2022 di China.



Vietnam pula dikatakan memanggil pasukan U21 mereka di bawah bimbingan ketua jurulatih Dinh The Nam untuk bersaing dalam kejohanan ini.



"Saya memberitahu pemain supaya jangan ambil peduli mengenai kumpulan usia apa yang dihantar dua negara itu.



"Sebaliknya, hanya fikir yang kami akan menentang Thailand dan Vietnam.



"Kami harus keluar ke padang dan main saja, dan menunjukkan permainan bola sepak yang baik dan mengharum nama Singapura," ujar Nazri.



Beliau, bagaimanapun, ketiadaan seorang pemain utamanya, Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Singapura 2021, pemain bek penuh Nur Adam Abdullah, akibat kecederaan.



Walaupun kecewa pemain ini tidak dapat memperkukuhkan lagi skuadnya, Nazri berkata keadaan ini memberi pemain lain peluang baik untuk beraksi dengan cemerlang dan memaparkan potensi mereka bagi merebut posisi yang kosong.



Singapura, naib johan dalam edisi pertama Kejohanan U23 AFF pada 2005, kembali bertanding dalam kejohanan ini selepas tidak beraksi dalam edisi sebelumnya pada 2019.



Singa Muda menarik diri daripada pertandingan untuk memberi tumpuan pada persiapan Kelayakan Piala Asia U23 Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) waktu itu.



Edisi tahun ini adalah yang ketiga dan menampilkan 10 pasukan, selepas juara bertahan Indonesia semalam menarik diri disebabkan jangkitan Covid-19 dan kecederaan dalam pasukannya.



Singapura bertemu Thailand Rabu ini sebelum menentang Vietnam Sabtu depan.



Singa Muda berangkat ke Phnom Penh petang ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >