Singapura menang lagi dua emas melalui tenis meja dan pasukan renang berirama

SINGAPURA memenangi lagi dua emas di Sukan SEA ke-28 hari ini (4 Jun), menjadikan koleksi emasnya kepada tujuh butir sejauh ini menjelang upacara pembukaan temasya yang akan berlangsung malam esok (5 Jun).

Emas pertama hari ini sumbangan pemain tenis meja, Gao Ning, yang mengembalikan keceriaan pasukannya apabila memenangi emas perseorangan lelaki apabila menewaskan pemain Filipina, Richard Gonzales, 11-6, 11-9, 9-11, 11-8, 11-3 - dalam satu pertarungan yang berakhir sebentar tadi selepas rakan sepasukan, Feng Tianwei mengalami kekalahan mengejut dan terkeluar daripada separuh akhir perseorangan wanita pada sebelah petang tadi.

Ia juga adalah emas kedua peribadinya dan emas keempat pasukan tenis meja negara di Sukan SEA ini.

Tidak lama selepas kecemerlangan Gao, pasukan berirama negara membuktikan kehandalan mereka di Pusat Akuatik OCBC apabila memenangi emas kedua sukan ini, kali ini melalui acara Final Kombinasi Bebas Berpasukan.

Srikandi renang berirama negara mengumpulkan 77.0667 mata untuk mengatasi Malaysia dan Indonesia yang terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dan ketiga.

Awal sebelum itu, renang berirama turut memenangi pingat perak melalui gandingan Stephanie Chen Mei Qi dan Crystal Yap Yu Hui yang memberikan saingan hebat tetapi akhirnya terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua bagi acara duet.

Emas acara itu dirangkul pasangan Malaysia, Katrina Abdul Hadi dan Lee Yhing Hue.

Team Singapore turut memenangi empat gangsa semalam - pertama melalui pemain tenis meja, Clarence Chew, yang tewas di separuh akhir perseorangan lelaki kepada Gonzales.

Tiga lagi gangsa diperolehi melalui acara lawan pedang - Kevin Jerrold Chan dalam 'foil' individu, Rania Herlina Rahardja yang beraksi dalam 'epee' individu dan Ywen Lau melalui 'sabre' individu.

Keseluruhannya, Team Singapore mempunyai tujuh emas, empat perak dan tujuh gangsa sejauh ini.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 45
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.