Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Singapura tewas, tersingkir dari Piala AFF Suzuki dalam kesudahan kontroversial

Nov 29, 2014 | 11:53 PM



KEMENANGAN bersejarah yang diharapkan tidak muncul. Sebaliknya, lebih 48,000 penyokong pulang dari Stadium Negara dengan kecewa selepas Singapura ditewaskan 3-1 oleh Malaysia dan tersingkir dari Piala AFF Suzuki, dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kontroversi.


Di wisel penamat, pengadil Al Kaf Ahmed Abu Bakar Said terpaksa menanti 10 minit sebelum diiring keluar padang oleh pegawai polis rusuhan kerana dihujani botol air dan barang kecil yang dilontar dari kawasan penonton di belakang bangku simpanan.


Keadaan tegang ini tercetus selepas Al Kaf menghadiahkan penalti kontroversial kepada Malaysia pada minit ke-90 dengan jaringan terikat 1-1.


Beliau mendakwa Amri Yahyah jatuh di petak penalti selepas bergelut di udara dengan Shakir Hamzah dan Hafiz Abu Sujad; dan Safiq Rahim tidak membuat kesilapan, memperdayakan Hassan Sunny dengan tendangan penaltinya.


Dalam masa kecederaan, dengan kesemua pemain Singapura, termasuk penjaga gawang Hassan Sunny memburu gol di kawasan penalti Malaysia, Indra Putra Mahayuddin berjaya merampas bola dan meleret bola mudah ke dalam gawang yang kosong, menjamin kemenangan 3-1 bagi Malaysia.


Jurulatih nasional Bernd Stange, enggan mengulas tentang keputusan penalti yang mengakhiri pengembaraan juara bertahan dalam Piala AFF Suzuki di sidang akhbar selepas permainan.


"Bukan peranan saya mengulas tentang keputusan pengadil. Dalam pengalaman saya, penalti ialah penalti jika ia diberikan pengadil. Saya akan dapat menilainya dengan lebih baik selepas melihat video... jika ia bukan penalti, ia satu keputusan yang mengecewakan," kata Stange.


Kapten pasukan, Shahril Ishak yang kelihatan sugul semasa berjalan ke arah bas pasukan berkata penalti itu 'membunuh' semangat Singapura.


"Tiada apa yang boleh saya katakan untuk mengubah keputusan permainan. Tapi setiap penyokong di stadium melihat apa yang berlaku. Pemain Malaysia yang jatuh sedang bangun dan menjangka tendangan gol, tapi pengadil memberikan penalti," kata Shahril.


Perlawanan bermula dengan hambar - kededua pasukan saling mencongak keupayaan masing-masing - dan berakhir tanpa sebarang gol.


Perlawanan meledak pada minit ke-61, selepas Safee Sali membuka tirai jaringan, mengawal rapi hantaran Amri Yahyah sebelum melepaskan rembatan kencang demi memperdayakan Hassan Sunny.


Singapura merancakkan serangan dan memenangi tendangan percuma yang diambil Safuwan Baharudin dalam minit ke-83.


Tendangan Safuwan ditampar lemah oleh Khairul Fahmi Che Mat dan Khairul Amri pemain paling pantas dalam petak penalti, menyambar dan menguis bola melewati garisan demi menjaringkan gol penyamaan.


Dengan permainan menuju keputusan seri, Malaysia memenangi penalti yang disempurnakan Safee Sali dan meraih gol ketiga tidak lama kemudian menerusi Indra Putra.


Menurut Hariss Harun, pasukannya tewas kerana tidak bermain lebih baik daripada lawan.


"Kami perlu melangkah ke depan dan bangkit dari kekalahan ini," kata Hariss.


Keputusan ini membenarkan Malaysia mengutip empat mata daripada tiga perlawanan demi menempah tempat ke separuh akhir bersama pemenang kumpulan Thailand.


Thailand bakal bertemu naib juara Kumpulan A, Filipina sementara Malaysia bertemu Vietnam dalam separuh akhir yang bermula 6 Disember ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >