Skuad muda Anfield berazam aksi 'cara Liverpool' di Piala Lion City

SKUADNYA belum lagi dikenali tetapi mereka berazam meneruskan tradisi permainan 'cara Liverpool' apabila tampil di edisi ke-26 Piala Lion City yang bermula Jumaat ini.

Tradisi gaya permainan itu pula diharapkan akan melahirkan pemain-pemain yang memiliki kecekapan teknikal yang tinggi seperti bekas kapten Steven Gerrard bagi menyarungi jersi skuad utama Liverpool suatu hari nanti.

Itulah harapan yang dilahirkan oleh ketua jurulatih skuad Akademi Liverpool, Nicholas Marshall, apabila ditemui sejurus ketibaan rombongan muda pasukan bimbingannya di Lapangan Terbang Changi petang tadi (12 Ogos).

"Di mana jua kami bermain, kami akan berusaha beraksi mengikut tradisi cara permainan Liverpool. Ini bermakna bermain dengan menarik di samping para pemain menunjukkan tahap teknikal yang baik," ujar Marshall.

"Kami berharap melihat beberapa pemain dapat membuktikan potensi sebenar mereka sebagai pemain masa depan kelab utama (Liverpool yang beraksi dalam Liga Perdana England). Sebab itu juga, kami menyertakan pemain-pemain terbaik dalam peringkat umur ini dalam rombongan ke Singapura ini.

"Saya fikir kumpulan pemain yang dipilih ini adalah yang terbaik di peringkat umur 14-16 tahun yang ada di Akademi kami sekarang.

"Alangkah hebatnya jika kami dapat memenangi kejohanan ini tetapi ia bukan matlamat utama kami. Lebih penting ialah melihat para pemain meningkatkan potensi dan kejohanan ini tentunya pengalaman baik bagi mereka menimba pengalaman beraksi dalam sekitaran berbeza," ujar ketua jurulatih berusia 42 tahun itu.

Skuad Akademi Liverpool akan membuka tirai Piala Lion City kali ini dengan menentang pasukan Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) Bawah 16 Tahun pimpinan Robin Chitrakar.

Satu lagi perlawanan Jumaat ini menyaksikan skuad Akademi Tottenham Hotspur menentang pasukan Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) Bawah 15 Tahun bimbingan V. Selvaraj.

Pemenang kededua pertarungan itu akan berentap dalam final pada Ahad ini. Perlawanan merebut tempat ketiga akan diadakan pada sebelah petang. Semua perlawanan berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Berbeza daripada tahun-tahun lalu, kejohanan berprestij bagi pemain muda ini - yang mula diperkenalkan pada 1977 dan menjadi inspirasi bagi penganjuran Kejohanan Bawah 16 Tahun Fifa (kini dikenali sebagai Piala Dunia Bawah 17 Tahun Fifa) - hanya menampilkan empat pasukan kali ini.

Sejak 2011, penganjur, Red Card Global, telah menarik penyertaan pasukan terkemuka dunia seperti Ajax (Belanda) dan Flamengo (Brazil). Sebuah lagi kelab Brazil, Corinthians, muncul juara pada kali terakhir kejohanan ini dianjurkan pada 2013.

Nota: Tiket-tiket berharga antara $5 (konsesi) dengan $25 dan antara $25 dengan $40 (dua hari kejohanan). Ia boleh dibeli www.globaltickets.sg mulai 14 Julai atau di Stadium Jalan Besar sehari selepas itu.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.