SKUAD berganda (doubles) nasional meneruskan aksi hebat dan persembahan memberangsangkan apabila berjaya menempah tempat ke peringkat separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Sedunia Piala Raja Thai Ke-30 di Bangkok petang tadi.
Singapura muncul sebagai juara Kumpulan B selepas mengalahkan Jerman 2-0 (21-17, 21-14) dan Taiwan dengan keputusan serupa (21-12, 21-14).
Dengan dua kemenangan itu, Singapura mencatat rekod bersih tanpa kalah di peringkat kumpulan selepas mengejutkan pasukan gergasi Malaysia dalam tiga set kelmarin.
Pasukan berganda nasional akan berentap dengan naib juara Kumpulan A, China, pagi esok untuk merebut tempat dalam final.
Juara Kumpulan A, Laos, akan bertemu naib juara Kumpulan B, Malaysia, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.