Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SETEMPAT

SportSG ambil alih pemilikan, pengurusan Hab Sukan S'pura

Jun 11, 2022 | 05:30 AM



AGENSI sukan negara, Sport Singapore (SportSG), akan mengambil alih pemilikan dan pengurusan Hab Sukan Singapura mulai 9 Disember ini.



Pengambilalihan dilaksanakan hanya lapan tahun selepas hab sukan di Kallang seluas 35 hektar dan bernilai $1.33 bilion itu selesai dibina di bawah Perkongsian Awam-Swasta (PPP), yang asalnya dijangka berlangsung sehingga 2035.



Mengumumkan langkah itu semalam, SportSG berkata ia telah mencapai persetujuan bersama SportsHub Pte Ltd (SHPL), entiti swasta yang mengendalikan Hub Sukan buat masa ini.



Keputusan itu diambil untuk memberikan Hab Sukan akses yang lebih mudah bagi masyarakat meluaskan kegiatan sukan, gaya hidup, hiburan dan sosial, dan membangunkan Kallang sebagai kawasan sukan, kesihatan dan gaya hidup yang menarik dan bersepadu.



Perjanjian itu ditamatkan oleh SportSG.



SportSG menambah bahawa tiada penalti dikenakan bagi menamatkan perjanjian.



Syarat pada perjanjian membenarkan agensi itu memutuskan sama ada ia mahu menamatkan projek itu.



Jadikan Hab Sukan 'ikon masyarakat' untuk semua



Di bawah PPP yang ditandatangani SportSG dan SHPL pada 2010, SHPL ditugaskan mereka bentuk, membina dan mengendalikan Hab Sukan, dan membiayai operasinya selama tempoh 25 tahun.



SHPL adalah sebuah konsortium yang merangkumi InfraRed Capital Partners, Cushman & Wakefield dan Spectra.



SportSG harus membayar $197.3 juta setiap tahun kepada SHPL untuk membiayai dan mengendalikan Hab Sukan hingga tamat tempoh kontrak. Ia sejauh ini sudah membayar sekitar $1.74 bilion.



Namun, oleh kerana menamatkan perjanjian itu, SportSG harus membayar SHPL sejumlah wang, yang terdiri daripada jumlah pinjaman tertunggak yang diambil untuk pembinaan Hab, nilai terbuka pasaran Hab serta kos operasinya pada masa akan datang.



SportSG enggan mendedahkan jumlah kos itu namun ia difahamkan bahawa pemerintah harus membayar SHPL lagi $2.32 bilion.



SportSG berkata: "Kos menamatkan persetujuan PPP dan mengambil alih operasi Hab Sukan dianggarkan setanding dengan kos jika meneruskan persetujuan PPP sehingga 2035."



Hab Sukan merangkumi Stadium Negara yang dapat menampung 55,000 penonton, Pusat Akuatik OCBC, dewan sukan tertutup serba guna OCBC Arena dan pusat beli- belah Kallang Wave Mall seluas 41,000 meter persegi.



Antara lain, Stadium Tertutup Singapura, yang dibina pada 1990, turut disertakan sebagai sebahagian pembentukan Hab Sukan.



Pengerusi SportSG, Encik Kon Yin Tong, dalam satu sidang media di pejabat SportSG petang semalam, berkata bahawa mengambil semula pemilikan dan pengurusan Hab Sukan membolehkan ia "mengubahnya menjadi nadi sukan di Singapura dan memanfaatkan sinergi bagi membangunkan kawasan Kallang Alive".



Projek Kallang Alive bakal menyaksikan enam pembangunan baru di kawasan sekitar Hab itu.



Ini termasuk Hab Bola Sepak Kallang, Pusat Tenis Kallang, pembangunan semula Teater Kallang dan arena basikal atau velodrom, yang akan menjadi sebahagian Hab Belia.



Projek itu diumumkan pada 2019.



SportSG juga berkata Hab Sukan sepatutnya menjadi "ikon masyarakat untuk semua menikmati - daripada kanak-kanak dan belia yang mengambil bahagian dalam kejohanan Sukan Antara Sekolah-Sekolah Nasional, pertandingan masyarakat dan acara akar umbi, atlet junior dan elit berlatih dan bertanding, kepada warga Singapura biasa bersenam dan menikmati kemudahan di dalam dan sekitar Hab Sukan".



Encik Kon menambah bahawa Singapura turut berdepan persaingan sengit dengan ibu kota negara Asia lain dalam menyediakan kemudahan bagi penganjuran acara sukan yang besar.



"Kami perlu memanfaatkan nilai Hab Sukan di rantau ini, dengan tujuan untuk memastikan ia kekal relevan mengikut perkembangan zaman dan landskap persaingan serta keperluan baru negara.



"Ia akan membolehkan kami memperluaskan lagi potensi besar Hab Sukan," ujarnya.



Pengerusi SHPL, Bryn Jones, dalam satu kenyataan, berkata ia adalah satu penghormatan untuknya memainkan peranan dalam membina ekosistem Hab Sukan sebagai destinasi sukan utama, hiburan dan gaya hidup rantau ini.



"Kami menyokong cita-cita pemerintah dalam mempromosikan sukan di kalangan penduduknya dan memanfaatkan potensi Hab Sukan untuk mentransformasikan kawasan Kallang Alive dan kami akan bekerjasama secara kolaboratif dan konstruktif untuk memastikan peralihan yang lancar dalam tempoh enam bulan akan datang," tambah beliau.



SportSG juga berkata ia akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi daripada sektor swasta untuk menyediakan khidmat bermutu tinggi untuk Hab Sukan, dan akan mendekati kakitangan SHPL secara individu untuk membincangkan peluang pekerjaan.



"Kami berhasrat untuk mengekalkan kepakaran dan pengalaman kakitangan SHPL, yang akan diberi peluang untuk beralih ke entiti korporat baru," jelasnya.



Dalam satu pos di Facebook semalam, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, menyifatkan pengambilahan itu sebagai "satu lembaran baru bagi Hab Sukan".



Beliau berkata ia penting untuk Stadium Negara dibuka dan mudah diakses kepada semua warga Singapura.



"Daripada acara bertaraf dunia kepada peminat sukan yang terlibat dalam gaya hidup aktif, kepada warga Singapura biasa yang menyertai acara sampingan masyarakat, kita mesti menjadikan Hab Sukan sebagai rumah sukan untuk dinikmati semua," kongsi Encik Tong.



"Melalui ini, kita juga mesti membangunkan rasa bangga dan kesamaan dengan Stadium Negara, menjadikannya sebagai RUMAH KITA, dan tempat di mana pasukan lawan takut untuk melangkah masuk!"




SEKILAS



SEJAK mula dibuka kepada orang ramai pada 2014, Hab Sukan Singapura tidak dapat elak daripada beberapa masalah termasuk:



PADANG 'BOTAK'



Mencetus keprihatinan menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki pada November 2014 ialah padang hibrid yang terus 'botak' kerana rumputnya tidak tumbuh. Permukaan padang yang tidak rata dan berpasir ini mengundang cemuhan dua jurulatih bola sepak berprofil tinggi Dunga (Brazil) dan Massimiliano Allegri (Juventus) yang mendakwa ia boleh membahayakan pemain semasa pasukan mereka beraksi dalam perlawanan persahabatan di sini pada 2014.



CAHAYA LAMPU 'MENYILAUKAN'



Masalah lampu dan pencahayaan Stadium Tertutup turut timbul semasa kejohanan WTA BNP Paribas Singapura. Bintang tenis Denmark Caroline Wozniacki mengadu lampu yang digunakan terlalu menyilaukan sementara lawannya, Maria Sharapova, mengeluh kerana beberapa bahagian gelanggang malap.



KOS TINGGI



Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2016 hampir tidak dipentaskan selepas SHPL menetapkan harga $26 juta untuk latihan tambahan selama 35 hari. Kos itu kemudian dilaporkan diturunkan kepada $10 juta, tetapi jumlah kos untuk mengadakan perbarisan di Kallang itu dianggarkan berjumlah $39.4 juta, kira-kira dua kali ganda berbanding kos mengadakan perbarisan di platform terapung Marina Bay. Ia kekal satu-satunya masa NDP diadakan di Hab Sukan.



ADUAN AUDIO



Lebih 1,500 penyokong bintang pop Taiwan, Jay Chou, menandatangani petisyen meminta bayaran balik selepas isu audio melanda konsertnya pada 3 Sep 2016.



DENDA KERANA TIDAK MENEPATI PIAWAIAN



SHPL juga pernah didenda kerana tidak menepati keperluan piawaian yang diperlukan pada Mac 2020. Hal tersebut telah didedahkan Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia pada ketika itu, Encik Baey Yam Keng, di Parlimen yang berkata: "SHPL dikehendaki memenuhi bilangan minimum hari acara sukan di Stadium Nasional dan Stadium Tertutup Singapura setiap tahun. Jika mereka tidak memenuhi piawaian, mereka telah dipertanggungjawabkan dan denda kewangan telah dikenakan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >