HARAPAN regu sepak takraw negara mengakhiri kempennya di pertandingan Super Series Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang berlangsung di Naypyidaw, Myanmar, ini dengan kemenangan tidak kesampaian apabila mereka kalah 18-21, 13-21 kepada pasukan hos dalam pertarungan merebut tempat ketiga petang semalam.
Selepas memulakan Super Series pertama musim baru ini dengan memberangsangkan dengan dua kemenangan awal - ke atas Jepun dan Korea Selatan - anak didik Padzli Othman mengalami kekalahan ketiga untuk menduduki tangga keempat di kalangan lapan pasukan yang mengambil bahagian.