Stoke pastikan tiada kejutan dengan kemenangan 2-0 ke atas Pilihan Singapura

STOKE City memastikan cabarannya di Trofi Asia Barclays ini berakhir dengan kemenangan penyuntik semangat selepas menewaskan pasukan Pilihan Singapura 2-0 bagi pertarungan merebut tempat ketiga yang berakhir di Stadium Negara sebentar tadi (18 Julai).

Pengurus Mark Hughes membuat lima pertukaran daripada skuadnya yang tewas kepada Everton melalui sepakan penalti 4-5 di hari pertama pertandingan pada Khamis lalu termasuk menurunkan dua muka barunya bagi musim ini - Shay Given dan Marco van Ginkel.

Ini membuahkan hasil seawal minit ketujuh apabila bekas penyerang England yang tinggi lampai, Peter Crouch, menanduk bola ke kaki Steven Sidwell yang menewaskan penjaga gawang Pilihan Singapura, Izwan Mahbud, dari jarak dekat.

Pasukan bergelar 'The Potters' itu gigih mencari gol kedua tetapi kedudukan kekal selepas 45 minit pertama pertarungan.

Stoke terpaksa menunggu sehingga minit ke-73 sebelum menambah jaringan apabila percubaan cantik menyerung Marko Arnautovic mencecah gawang Izwan selepas pemain itu mendapat hantaran bijak daripada rakannya, Marc Muniesa.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya membawa senyuman kepada pengurus Hughes yang mempunyai sekitar tiga minggu bagi mempertingkatkan persiapan pasukannya sebelum mereka membuka tirai Liga Perdana England musim baru ini dengan pertemuan dengan Liverpool pada 9 Ogos ini.

Trofi Asia Barclays - satu-satunya pertandingan pramusim melibatkan kelab-kelab Liga Perdana di luar England - dianjurkan buat julung-julung kali di Stadium Negara di Kallang. Kejohanan dua hari ini - Rabu lalu dan hari ini - melibatkan Arsenal, Everton dan Stoke di samping pasukan Pilihan Singapura yang melengkapkan kejohanan berprestij empat penjuru ini.

Tahun ini adalah kali pertama Trofi Asia Barclays dianjurkan di Singapura. Pertandingan yang diadakan sekali setiap dua tahun ini sudah pun dimulakan pada 2003.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 54
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.