PIALA DUNIA 2014

Suarez bersinar, Uruguay tewaskan England 2-1

Dua gol Suarez benam England, yang kini menaruh harapan tipis mara dari Kumpulan D.

PELUANG England untuk mara ke pusingan seterusnya dari Kumpulan D tampak malap selepas ia ditewaskan Uruguay 2-1 di Sau Paulo, dengan Luis Suarez yang kembali dari kecederaan, menjaringkan dua gol.

England yang turut tewas 2-1 kepada Italy dalam perlawanan pembukaannya kini terpaksa bergantung pada keputusan perlawanan lain sementara Uruguay serta Italy dan Costa Rica yang bertemu esok, masing-masing mempunyai tiga mata.

Suarez, yang terlepas beraksi dalam perlawanan pembukaan, membuka tirai jaringan dalam minit ke-39, sebelum menjamin kemenangan pasukannya dengan gol kedua lima minit sebelum tamat perlawanan. Penyerang Manchester United, Wayne Rooney menjaringkan gol tunggal England dalam minit ke-75 - gol Piala Dunia pertamanya dalam 10 percubaan.

Perlawanan yang bermula dengan rancak itu ditaburi dengan beberapa aksi kasar oleh pemain Uruguay yang pantas menutup ruang setiap kali bola di kaki pemain England. Kapten pasukan Diego Godin, yang dilayangkan kad kuning kerana mengadang bola dengan tangannya di awal permainan bernasib baik untuk kekal di padang selepas menyiku tengkuk Daniel Sturridge.

Peluang gol pertama jatuh kepada Suarez pada minit kelima. Penyerang Liverpool itu hampir membuka tirai jaringan, merembat bola kencang dari satu tendangan sudut yang nyaris menewaskan Joe Hart.

Selang limat minit, giliran Rooney pula cuba memecah kebuntuan. Namun tendangan percumanya hanya sejengkal melepasi palang Fernando Muslera di gawang Uruguay.

Tidak lama kemudian, giliran pasukan Amerika Selatan itu pula untuk menguji ketangkasan Joe Hart. Cristian Rodriguez mengawal tendangan lemah Phil Jagielka di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang yang deras melepasi palang gol England.

Peluang terbaik England untuk membuka tirai jaringan berlaku pada minit ke-31, sekali lagi menerusi satu tendangan bebas. Kali ini, kapten England Steven Gerrard berjaya mencari Rooney dari sayap kiri tetapi tandukan Rooney memperdayakan Muslera tetapi terkena palang sebelum melantun semula ke dalam permainan.

Enam minit sebelum waktu rehat, gandingan Edison Cavani dan Luis Suarez mengambil kesempatan untuk menghukum ketidaktentuan pertahanan England. Bak peluru berpandu, umpanan Cavani dari sayap kiri tepat mencari Suarez yang tenang menanduk bola melepasi hayunan tangan Hart untuk menjaringkan gol pertama untuk pasukannya.

Separuh masa kedua bermula dengan Uruguay terus mengasak gawang England, tetapi Cavani dan Suarez mensesiakan peluang untuk menggandakan jaringan dalam tempoh lima minit pertama.

Suarez sekali lagi menguji Hart dari satu tendangan sudut sebelum percubaan Cavani dalam situasi satu lawan satu tersasar.

Dalam minit ke-54, Rooney turut mensesiakan peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Beliau mengawal kemas hantaran Leighton Baines tetapi gagal memperdayakan Muslera dari jarak enam meter.

England akhirnya menjaringkan gol yang didamba pada minit ke-75. Glen Johnson meloloskan diri di sayap kanan sebelum mengumpan bola kepada Rooney yang mempunyai tugas mudah menyepak bola menewaskan Muslera.

Namun kegirangan England tidak berkekalan. Satu tendangan gol oleh Muslera hinggap di kepala Steven Gerrard sebelum melantun kepada Suarez yang mengawal bola dengan satu sentuhan sebelum merembat bola kencang melepasi Hart, menjaringkan golnya yang ke-41 untuk Uruguay dan sekaligus menjamin kemenangan untuk pasukannya.

England tidak pernah menewaskan Uruguay di Piala Dunia dalam dua pertemuan sebelum ini.

Uruguay menang 4-2 di suku akhir 1954 sementara kededua pasukan terikat 0-0 dalam 1966.

Lebih awal dari itu, Colombia melangkah lebih dekat ke pusingan kedua dari Kumpulan C selepas menundukkan Ivory Coast 2-1. Gol Colombia dijaringkan oleh James Rodriguez (min ke-60) dan Juan Quintero (min ke-70) sementara gol tunggal Ivory Coast disumbatkan oleh Gervinho hasil gerakan solo yang cantik.

Colombia kini mendahului kumpulan dengan enam mata, sementara Ivory Coast yang memiliki tiga mata berada di tempat kedua. Jepun dan Greece masing-masing mempunyai satu mata setelah perlawanan mereka berkesudahan dengan jaringan 1-1.

 

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 46
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.