PIALA AFC

Tampines mara ke pusingan kalah mati Piala AFC, benam Selangor 1-0 di Stadium Negara

Temui Mohun Bagan dari India dalam pusingan kalah mati.

TAMPINES Rovers telah melayakkan diri ke pusingan kalah mati Piala AFC - kelab pertama dari Singapura berbuat demikian sejak 2012 - selepas menewaskan Selangor 1-0 dalam perlawanan Kumpulan E terakhir di Stadium Negara malam tadi (10 Mei).

Disaksikan 11,875 penonton, Tampines, yang memerlukan tiga mata untuk mara, berjaya mempertahankan gol yang dijaringkan Yasir Hanapi pada minit ke-30, walau mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain, dalam kesudahan yang cemas.

Billy Mehmat diperintah keluar padang pada minit ke-85, selepas terlibat dalam satu pertelingkahan dengan pengadil dan pemain Selangor, walau keputusan pengadil Jameel Juma Abdulhusain Mohamed diprotes kuat oleh pemain Tampines.

Namun Tampines berjaya bertahan sehingga wisel penamat, dan kini menjadi pasukan dari Singapura pertama mara ke pusingan kalah mati Piala AFC dalam tiga tahun.

Dengan Ceres La Salle menewaskan Sheikh Jamal Dhamondi 5-0 bagi menjuarai Kumpulan E, Tampines - sebagai naib juara kumpulan - akan bertemu juara Kumpulan G Mohun Bagan dari India, dalam pusingan seterusnya. Tampines tewas 1-3 kepada kelab itu dalam kelayakan Liga Juara-Juara Asia awal tahun ini.

Bagaimanapun, V. Sundramoorthy berkata kali ini, pasukannya bertandang ke India dengan pengetahuan lebih baik tentang lawannya.

"Keputusan ini sesuatu yang positif buat kami... setelah sekian lama menanti. Asalkan kami tidak bertemu pasukan dari Korea Selatan atau Jepun dalam pusingan seterusnya, kami ada peluang dalam pertandingan ini," ujar V. Sundramoorthy di sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan, yang muram semasa bertemu media hanya berkata beliau kecewa kerana pasukannya hanya merancakkan permainan  selepas ketinggalan satu gol, sebelum mengucap tahniah kepada Tampines.

Perlawanan bermula perlahan, dengan Selangor, yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara, lebih rela bertahan dan berharap melakukan serangan balas menerusi gandingan pantas penyerang utama Patrick Wleh dan R. Gopinathan di sayap kiri.

Namun Tampines, yang kerap mengatur serangan menerusi pemain bintang Jermaine Pennant di sayap kanan, lebih berbahaya; dan hampir mencuri gol pertama selang 10 minit perlawanan bermula menerusi Billy Mehmet.

Penyerang tinggi lampai itu melompat paling tinggi dalam petak penalti dan menanduk bola yang hanya melepasi palang gol.

Di sudut bertentangan, pemain bek tengah Selangor Robert Cornthwaite hampir menjaringkan gol pertama permainan, apabila tandukannya hasil tendangan sudut Gopinathan hampir menyelinap masuk di bawah palang gawang Izwan Mahbud. Namun penjaga gawang nasional Singapura itu berjaya menepis bola melewati palang.

Gol pembuka tirai dijaringkan oleh Yasir Hanapi, yang menyempurnakan gerakan cantik melibatkan Jermaine Pennant dan Billy Mehmet pada minit ke-30. Menggunakan kaki kidalnya, Yasir melambungkan bola yang melencong memperdayakan penjaga gawang Selangor Khairulazhan Khalid, terus ke penjuru kanan gawang.

Gol penyamaan yang dicari Selangor hampir ditemuinya di penghujung babak pertama, tetapi Izwan tangkas menampar keluar tendangan percuma yang diambil Mauro Andres Olivi.

Separuh masa kedua bermula dengan Selangor mengatur serangan lebih rancak, dirangsang bunyi genderang penyokongnya yang lewat masuk ke stadium. Perlawanan juga menjadi lebih terbuka, dengan Tampines memburu 'insurans' gol kedua dan Selangor memburu gol penyamaan yang akan menempah tiket ke pusingan seterusnya.

Hafiz Abu Sujad hampir menggandakan jaringan bagi Tampines pada pertengahan babak kedua, tetapi rembatan kencang dari luar petak penalti mengena tiang sebelum melantun keluar.

Lantaran itu, bermula lima minit 'gila' yang hampir menjadikan usaha Tampines sepanjang perlawanan bak sesia.

Pergaduhan antara Shakir Hamzah dan Mauro Olivi berpanjangan dan melibatkan Mustafic Fahrudin dan Mehmet, sehingga berkesudahan dengan penyingkiran Mehmet dari padang.

Namun Tampines berjaya bertahan dan di wisel penamat, berlatar pemain Selangor yang tersungkur ke padang, pemain Tampines berpelukan, meraikan saat bersejarah yang baru dicipta.

Kecuali Home United pada 2012, tiada kelab setempat berjaya melangkah ke pusingan kalah mati Piala Gabungan Bola Sepak Asia (AFC). Bagaimanapun, kemaraan Home United tersekat selepas ia dibelasah 3-0 oleh Al-Shorta dari Syria.

Tampines mencuba nasib sebagai juara Liga S pada 2013 dan 2014, tetapi gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Tahun lalu, Warriors FC dan Balestier Khalsa juga gagal mara dari pusingan kumpulan.

TAMPINES: Izwan Mahbud (Penjaga gawang), Mustafic Fahrudin (Kapten), Nor Rahman, Izzdin Shafiq, Shahdan Sulaiman, Jermaine Pennant (Ismadi Mukhtar, min ke-80), Shakir Hamzah, Yasir Hanapi (Kwok Jun, min ke-83), Afiq Yunos, Hafiz Abu Sujad, Billy Mehmet

SELANGOR: Khairulazhan Khalid (Penjaga gawang), Robert Cornthwaite, Patrick Wleh, Shahrom Kalam, Andik Vermansyah, Nazmi Faiz, Raimi Md Nor, Mauro Andres Olivi, Azrif Nasrulhq, Veenod Subramaniam (Adam Nor Azlin, min ke-68), R. Gopinathan (Ahmad Bakri, min ke-60)

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 23
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.