Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

KELAYAKAN PIALA ASIA 2015

Tersingkir tetapi Singa Stange tunjuk taring

Walau tewas dan tersingkir dari kelayakan Piala Asia 2015, Singa boleh berbangga dengan pertunjukkan yang berani dan perkasa
Feb 05, 2014 | 10:00 PM



KEPUTUSAN di akhir perlawanan menunjukkan 1 - 3  kepada Jordan dalam perlawanan yang  berakhir dengan 20 pemain di padang dan mengancam untuk meledak dengan kontroversi dan kekasaran.  Namun, walau tersingkir dari kelayakan Piala Asia, Singa Stange mampu keluar dari padang dengan megah setelah menunjukkan keberanian dan keperkasaan untuk bersaing dengan seteru yang menduduki 77 tangga di atas mereka di ranking Persatuan Bola Sepak Sedunia (Fifa).


Perlawanan yang bermula dengan  seimbang meledak dalam dua minit terakhir separuh masa pertama apabila Jordan menjaringkan gol kontroversial hasil tendangan percuma dan Baihakki Khaizan dibuang padang selepas mengasari pemain lawan dengan sengaja.


Thaer Bawab  membuka tirai jaringan hasil tendangan percuma di penjuru kotak penalti, yang meluru ke gawang Izwan Mahbud melalui ‘lubang’ yang tercipta setelah Hafiz Abu Sujad tersungkur setelah kakinya dikait kapten Jordan Ahmad Hayel di saat tendangan percuma itu diambil.


Gol itu mencetus bantahan sekitar dua minit oleh pemain Singapura, yang berlarutan sehingga permainan dimulakan semula dan mencapai kemuncaknya apabila Baihakki sengaja merempuh bahu pemain nombor lapan Jordan Mus’ab Allahham yang rebak bak guni beras.

Referi tiada pilihan lain dan melayangkan kad merah kepada Baihakki yang sebelum ini telah pun menerima kad kuning.


Bantahan berlarutan selepas wisel penamat separuh masa pertama ditiup referi, Tan Hai dari China yang bersama-sama pembantunya terpaksa meninggalkan padang melalui pintu penjuru dengan diiringi pegawai keselamatan. Malah, pembantu jurulatih Nazri Nasir dilihat menyaksikan perlawanan dari grandstand, setelah dipercayai dibuang padang oleh referi.


Separuh masa kedua bermula dengan pantas dan agresif, dengan Singapura mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan, tetapi Ahmad Hayel membisukan 2,371 penyokong Singa di JBS dengan tandukan mudah ke tengah gawang Izwan Mahbud pada minit ke-58  untuk menggandakan jaringan pasukannya.


Permainan dimulakakan semula tetapi kerap dihentikan kekasaran sengaja yang memaksa  Tan melayangkan empat kad kuning kepada pemain Jordan dalam perlawanan yang seolah-olah akan melarat ke tahap tidak terkawal angkara keputusan Tan yang kurang difahami pemain.


Meskipun begitu,  drama belum berakhir dan selang 10 minit,  kegirangan kapten Jordan Ahmad Hayel berakhir dengan kekecewaan setelah beliau dilayangkan kad merah kerana mengasari Safuwan.


Namun anak didik Stange tidak menyerah kalah dan kemasukan Gabriel Quak yang menggantikan Shahril Ishak Singapura merancakkan serangan Singa, terutama di bahagian kanan padang.  Asakan Singa yang bertubi-tubi akhirnya meraih hasil dalam minit ke-82 apabila Singapura mendapat tendangan penalti setelah bola disentuh pemain Jordan.


Penalti itu disempurnakan Khairul Amri yang memperdaya penjaga gawang Jordan sebelum meluru mengutip bola untuk memulakan premainan.


Namun pemain gantian Yousef Ahmad Mohammad Rawshdeh menjaringkan gol ketiga untuk mematikan serang balas Singapura dan menjamin kemenangan dan kelayakan ke Piala Asia 2015 untuk pasukannya.


Di sidang media selepas perlawanan, Bernd Stange berkata bahawa keputusan itu memang dijangka dan beliau hampa kerana mereka melepaskan gol hasil tendangan percuma.


"Inilah realiti... jurang kami dengan pasukan yang hebat seperti Oman dan Jordan ketara. Kami tidak bermain dengan bijak dan berkesan untuk menjaringkan gol atau mempertahankan gol," kata Stange.


Beliau juga enggan mencerca Baihakki yang dibuang padang pada separuh masa pertama.


"Beliau pemain berpengalaman tetapi tidak berjaya mengawal perasaannya. Saya hanya menyuruh beliau beredar dari stadium dan naik bas untuk pulang ke hotel tanpa melayan sebarang pertanyaan media," kata Stange.


Sementara itu, jurulatih Jordan, Hossam Hassan pula berkata Singapura bermain dengan potensi dan boleh menjadi lebih baik di masa depan.


Singa Stange kini perlu bertandang ke Muscat pada 5 Mac dalam perlawanan kumpulan terakhir menentang Oman  yang bersama-sama Jordan telah melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia 2015 di Australia.


 


 


 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >