Zulfahmi dan Faris jamin kemenangan 2-1, LionsXII kekal rekod tanpa kalah di JBS

DUA saat kecemerlangan individu menjamin kemenangan 2-1 bagi LionsXII ke atas Felda United pada malam ia kurang menyerlah di Stadium Jalan Besar (JBS).

Zulfahmi Arifin - yang sekian lama diketepikan kecederaan - membuktikan kaki kirinya masih berbahaya apabila menemui sasaran melalui tendangan percuma pada minit ke-24. Gol itu menyamakan kedudukan 1-1 bagi LionsXII, selepas Indra Putra Mahayuddin membuka tirai jaringan bagi pasukan pelawat pada minit ke-12.

Gol kedua dan kemenangan dijaringkan Faris Ramli pada minit ke-45. Pemain sayap lincah itu menggelecek bola melepasi dua pemain pertahanan sebelum memperdaya penjaga gawang Mohd Farizal Harun dengan kaki kirinya.

Tiga mata yang dikutip membenarkan LionsXII meloncat ke tangga keempat Liga Super Malaysia dengan 26 mata, sementara Felda jatuh ke tangga kelima.

Bagaimanapun, malam bermula dengan kurang menyakinkan bagi pasukan tuan rumah yang bak 'karat' selepas liga berehat tiga minggu sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Sebaliknya, Felda pasukan pertama menyesuaikan diri dan menguji Izwan Mahbud dari awal permainan.

Malah, benteng LionsXII bak menghayal; dengan Madhu Mohana dan Nazrul Nazari cuai dan hampir menghadiahkan gol kepada lawan. Pada minit ketiga, Madhu gagal mengadang Makeche Ndumba yang meloloskan diri demi menguji Izwan. Selang empat minit, giliran Nazrul, yang menyerlah sepanjang musim, pula membuat kesilapan. Hantaran lemah kepada Izwan disambar Makeche yang gagal menemui sasaran walau Izwan terkandas di depan gawang.

Tidak hairanlah, Felda meraih kelebihan selang lima minit.

Indra Putra Mahayuddin membuka tirai jaringan pada minit ke-12, mengambil kesempatan kecuaian di benteng LionsXII bagi meloloskan diri dan melambung bola tinggi yang memperdaya Izwan Mahbud sebelum melepasi garisan gawang.

Namun kelebihan gol Felda United hanya kekal 12 minit sahaja, dengan Zulfahmi Arifin menemui penjuru gawang dengan rembatan kaki kiri cantik dari tendangan percuma di luar petak penalti.

Penyertaan Khairul Nizam bagi menggantikan Khairul Amri yang cedera pada minit ke-29 memberi suntikan segar ke serangan LionsXII yang mula mengatur serangan berbahaya.

Namun LionsXII gagal menyumbat gol kedua sehingga minit ke-45. Menerima bola di kaki dari Nazrul Nazari, Faris Ramli menggelecek bola memperdaya dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan yang melencong melepasi tapak tangan Mohd Farizal sebelum menemui sasaran.

Separuh masa kedua bermula dengan Felda mengasak berusaha mencari gol penyamaan. Namun walau tampak bahaya gandingan Zah Rahan Krangar dan Makeche berjaya dibendung Madhu dan Zulfahmi; dan kemudian Shakir dan Madhu, setelah Zulfahmi berpindah ke midfield bagi mengisi tempat Shahdan.

Dengan perlawanan berusia sejam, Fandi memilih mengeluarkan pemain kreatif itu dan menggantikannya dengan Gabriel.

Perubahan itu mengundang permainan yang lebih terbuka dari kededua pasukan, tetapi jaringan kekal 2-1 sehingga wisel penamat.

Perlawanan seterusnya bagi LionsXII adalah pada Rabu 5 Ogos, apabila ia bertandang ke Terengganu bagi pertemuan dengan pasukan tuan rumah. Kali terakhir ia ke sana adalah bagi separuh akhir Piala FA, yang dimenangi LionsXII, tetapi dicemari rusuhan dan keganasan dalam kalangan penyokong tuan rumah.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 38
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.