Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Sakit

Oct 23, 2022 | 07:05 AM



TELINGA Sisran pedih. Bagai ditakik-takik. Bagai ditoreh-toreh. Kalimah bernada songsang berulang berdendang. Menakik dan menorah gegendang telinga. Bisanya mengelar hati dan otak.



"Sakit… kit… kit…



Kit… kit… tak sakit…"



Sisran terkial-kial merenggangkan kelopak mata. Seketikpun tidak bergerak. Berat. Tubuhnya membatu. Kaku. Kalimah bernada songsang melaung rancak. Menakik-toreh telinganya. Mengelar-ngelar hati-otaknya.



"Sakit… kit… kit…



Kit… kit… tak sakit…"



Kalimah bernada songsang kian keras. Bingit. Mendesak Sisran merenggangkan kelopak matanya. Bukan Sisran namanya jika kerja mudah begitu tidak dapat dilakukannya. Dikumpulnya sisa tenaga dan tumpuan yang ada. Terenggang akhirnya kelopak mata Sisran. Silau menerkam bebola matanya.



"Sakit… kit… kit…



Kit… kit… tak sakit…"



Ulangan kalimah itu kian nyaring. Menghiris-hiris gegendang telinganya.



"DIAM!!" Jerit Sisran sekuat hati.



"Syyyyy…" Berdesir seketika hembusan halus.



Kelopak mata Sisran terbuka luas. Kelibat dua orang badut menyambar pandangannya. Seorang berpakaian hitam bertompok putih. Yang seorang pula berpakaian putih bertompok hitam. Kedua-duanya saling berpelukan. Menggigil. Kening Sisran terangkat. Mual dengan aksi bodoh mereka.



"Hei! Kamu! Aku di mana sekarang?" Tengking Sisran. Matanya menerkam badut-badut yang masih berpelukan. Kedua-dua badut melepaskan pelukan masing-masing.



"Bertenanglah Puan. Perkenalkan, saya Bad. Ini teman saya Dut. Kami berdua diarahkan menemani puan. Puan kini berada di tempat yang telah lama puan pilih dan rancang dahulu." Bad yang berpakaian hitam bertompok putih menjawab selamba. Temannya, Dut menonjolkan kededua ibu jarinya.



"Kau fikir jawapan kau itu lucukah?" Rasa panas mula bersarang di dada Sisran. Tubuhnya yang masih kaku itu menambah bahang di dadanya. Mata Sisran menjeling tajam badut-badut yang saling berpandangan.



"Jawapan kami memang serius puan. Puan perlukan jawapan yang lucukah?" Celah Dut sambil melonjak gembira. Bad turut melonjak sama.



"DIAM!!!" Jeritan Sisran menggegar ruang asing itu. Bad dan Dut kembali berpelukan. Menggigil.



Sisran memejamkan matanya. Kebingungan. Bukankah baru sebentar tadi dia bertegang-urat dengan pakar psikiatrinya? Dan kini, dia dikelilingi dua orang badut bodoh! Mengarut semuanya! Ingatannya berputar ligat…



*********************



"Apa? Doktor kata saya tidak sakit?" Sisran menyoal sinis.



"Ya. Puan Sisran seratus-peratus sihat. Jantung, otak, hati, buah pinggang, limpa, dan perjalanan darah puan semuanya okay. Laporan X-ray dan MRI juga baik. Ujian psikiatri yang puan jalani kelmarin pun okay. Jadi, sahlah yang puan tidak sakit." Pakar psikiatri yang putih kepalanya itu tersenyum sambil menepuk perlahan bahu kiri Sisran.



"Bohong! Doktor bohong! Saya sakit tapi doktor kata saya tidak sakit! Entah macam doktor boleh diluluskan sebagai pakar psikiatri!" Tampar Sisran sebelum tergesa-gesa melangkah keluar. Pakar psikiatri hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.



Di luar, panas menerkam-gigit kulit Sisran. Fikirannya berserabut. Resah-gelisah menggari langkah-langkah kiri dan kanannya sejak akhir-akhir ini. Langkah-langkahnya tidak lagi rancak. Langkah-langkahnya tidak lagi mantap. Kuasa dan kekuatannya kian ghaib dari genggamannya. Tidak lagi enak dibuai habuan sanjungan yang melimpah…



*************************



Bad dan Dut saling berpandangan. Perempuan yang terbaring beku itu masih kaku. Kelopak matanya yang hampir tertutup itu terkedip-kedip kecil.



"Puan? Oh puan! Tadi puan arahkan kami diam. Kami diam. Tapi, kenapa pula puan ikut kami diam? Lama pula 'tu. Seingat kami, kami tidak pula arahkan puan supaya diam." Bad bersuara perlahan. Dut mengesat-ngesat matanya sambil mengangguk-mengangguk kecil.



Sisnar merenggang-luas kelopak matanya semula. Tidak dihiraukan lagi silau lampu yang menerkam. Dihela nafasnya dalam-dalam. Lalu menghembuskannya perlahan.



"Aku di mana sekarang?" Ulang Sisran dengan perlahan yang disalut gementar. Terhijab nada angkuhnya seketika.



"Bukankah sudah kami katakan tadi? Puan kini berada di tempat yang telah lama puan pilih dan rancang dahulu." Dut mencelah riang. Gembira mengulang cakapan Bad tadi. Jika tidak Bad menghalangnya, dia sudah bertepuk tangan.



"Tapi aku sakit. Aku 'kan sakit? Aku kena masuk rumah sakit. Tapi doktor kata aku tak sakit. Pakar psikiatri kata aku tak sakit. Mereka kejam. Tidak mahu rawat aku di rumah sakit." Sisran meluahkan yang terbuku di dada.



"Puan, jika itu yang dikatakan oleh doktor dan pakar psikiatri, lengkap dengan laporan-laporan sahih, puan harus bersyukur. Puan sihat. Mungkin puan hanya perlukan rehat. Apa kata puan ambil cuti dan makan angin bersama suami dan anak-anak puan?" Bad bersuara pula.



"Hahaha… Makan angin? Suami? Hah… Kami sudah lama bercerai. Anak-anak? Mereka semua sudah bersayap dan terbang jauh mengejar impian masing-masing. Anak perempuan saya jauh bertugas di New York. Yang lelaki pula sibuk bekerja di London." Sisran tanpa sengaja terbuka cerita.



"Kenapa mereka semua tinggalkan puan?" Celah Dut penuh selera. Bad melempar jelingan tajam ke arah Dut. Dut tersengih bodoh.



"Tidak. Mereka tidak tinggalkan saya. Saya yang tinggalkan mereka. Mereka semua tidak pernah hargai pengorbanan saya." Sisran meninggikan suaranya. Dut membeliakkan mata. Bad menggelengkan kepala. Kemudian mereka saling berpandangan.



"Orang-orang bawahan di pejabat saya pun sama. Tidak pedulikan saya lagi. Tidak lagi berbasa-basi dengan saya. Mereka semua tidak sedar diuntung. Mereka ketepikan segala jasa saya. Mereka lupakan semua kebaikan saya."



Sisran menumpahkan sisa beban yang dipikulnya. Beban yang dihumbankan ke atas pundaknya oleh orang-orang bawahannya. Beban yang dilemparkan ke wajahnya. Semua itu punca sakit Sisran. Dut mencemikkan muka.



"Mengapa puan tidak bertanyakan kepada mereka perubahan sikap mereka terhadap puan? Bukankah benda begini boleh dibawa bincang? Saya pasti mereka akan bersuara. Kecuali jika ada sesuatu yang telah berlaku hingga mereka bersikap begitu terhadap puan." Dut sengaja menjolok. Mata Sisran menerkam tajam ke arah Dut. Dut bersembunyi di belakang Bad. Bad bungkam.



"Untuk apa? Aah!!! Mereka semua berkomplot. Berkomplot untuk memalukan aku. Berkomplot untuk menjatuhkan aku. Dulu, kehadiran dan kewujudan aku mereka raikan. Sekarang, semua menjauhi aku!" Sisran menjawab bengis. Dut menutup mukanya. Takut.



"Mungkin itu perasaan puan saja. Orang bawahan puan sibuk jalankan perintah dan arahan puan. Mereka jalankan tanggungjawab dengan melaksanakan semua tugasan. Mereka akur dan menurut perintah puan. Mereka semua ke pejabat untuk bekerja. Bukan untuk mengopi atau berpiknik. Apa lagi untuk berbasa-basi dengan puan." Giliran Bad pula menjolok.



Dut tersengih-sengih memandang Bad. Sisran mengangguk-anggukkan kepalanya. Kata-kata Bad menyamankan hatinya. Terlupa sebentar bahang di dadanya.



"Bagaimanalah mereka tidak akur menjunjung perintah puan? Puan sendiri tidak suka jika ada orang-orang bawahan puan yang membantah atau bersuara. Dan jika mereka punya pandangan atau pendapat yang melebihi kebijaksanaan puan, itu bagai menggali lubang kubur mereka sendiri.



"Pada puan, orang bawahan jenis begini bagaikan selumbar. Menyakitkan. Puan anggap mereka penggugat. Menggugat kedudukan puan. Bukankah begitu puan?" Dut memuntahkan segala apa yang benar. Mata Sisran semakin besar dan merah. Bad terpaku diam.



"Hei! Sedap mulut kamu bercakap ya! Kamu tidak pernah jadi orang bawahan aku. Jangan memandai-mandai buat cerita!" Tengking Sisran lantang. Seboleh-boleh mahu menutup ceritanya. Bad dan Dut bungkam.



"Ini bukan memandai-mandai puan. Ia kenyataan. Setiap kali kedudukan puan tergugat, puan siap dengan senjata puan. Puan menyekat langkah mereka yang layak maju ke hadapan. Setiap itu juga puan akan timbulkan rasa bersalah dalam diri mereka!" Pedas suara Dut menghentam telinga Sisran.



Jika tidak tangan dan tubuhnya kaku, mahu saja dilempangnya muka Dut tika itu. Sekali lagi Dut lari bersembunyi di belakang Bad. Bad menggaruk-garuk kepalanya yang tidak gatal.



"Atau puan sendiri yang mereka-reka cerita? Cerita yang lebat bercampur onak dan duri untuk mengkucar-kacirkan suasana? Supaya setiap orang bawahan puan saling bersyak-wasangka? Inilah perangkap puan saban tahun.



"Konon-konon puanlah mangsa keadaan. Para atasan puan tetap termakan cerita puan. Percaya dan terus percayakan puan. Lantas membuat orang-orang bawahan puan memilih untuk diam. Membiarkan puan terus menang dan terus melobi ruang. Bukankah itu yang Puan Sisran lakukan selama ini?" Bedilan suara Bad menusuk tajam telinga Sisran.



Sisran cuba menggerakkan tangan dan tubuhnya. Mahu ditempelengnya Bad yang tiba-tiba berubah tiga-ratus-enam-puluh darjah!



"Hei! Kamu berdua ini memang biadablah! Hmmm! Jadi, inilah tujuan sebenar kamu berdua menemani aku di sini ya? Ada agenda rupanya! Hei! Berapa banyak wang yang mereka sogok? Kamu berdua bersekongkol dengan mereka bukan? Supaya aku terus sakit? Supaya satu dunia pandang aku lemah? Mereka dan kamu berdua memang kurang ajar!" Jerit Sisran sekuat hati.



Bad dan Dut menekup telinga masing-masing. Bad dan Dut membiarkan saja Sisran dalam kalut ciptaannya sendiri.



"Puan Sisran, tolonglah. Berhentilah berkata yang puan sakit. Puan tidak layak untuk jatuh sakit. Jatuh sakit dan rumah sakit adalah untuk orang-orang yang jujur sakit. Puan yang membebani otak dan hati sendiri dengan kuman-kuman ciptaan puan sendiri." Bad bersuara perlahan. Sisran membeliakkan matanya. Ingin ditengkingnya Bad tetapi suaranya terkunci.



"Puan Sisran, sebaiknya puan bercermin diri. Kembalikan harga diri puan. Berhentilah memandang rendah terhadap orang lain. Belajarlah menerima kepintaran dan kebolehan orang lain. Belajarlah menerima teguran dan nasihat. Cegahlah diri puan dari menjadi kuman yang menghancurkan kesejahteraan orang-orang yang mengelilingi ruang hidup puan.



"Tidak ada yang mahu merosakkan kehidupan puan. Jika puan masih mahu menyimpan kuman ciptaan puan, pastikan ia terkawal. Jangan sampai memamah otak dan hati puan." Semburan kata-kata Dut menggetar tubuh Sisran yang kaku. Lidahnya terkunci rapat.



Di kejauhan, suara Bad dan Dut saling bersahut-sahutan…



"Sakit… kit… kit…



Kit… kit… tak sakit…"




BIODATA PENULIS 



Wan Jumaiah Mohd Jubri mula menulis pada 1982.



Cerpen sulungnya, 'Di Telan Pahit Di Buang Sayang', tersiar di akhbar 'Berita Minggu' pada 2 Mei 1982.



Cerpennya pernah disiar di akhbar 'Berita Minggu' Malaysia dan majalah 'Dewan Budaya' dan 'Dewan Sastera'.



Buku kumpulan cerpen pertamanya, 'Penawar Rindu', terbit pada 2003 dan yang kedua, 'Dianku Seroja', pada 2014.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >