Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Selingkuh

May 21, 2023 | 05:30 AM



MULANYA Hayati tidak percaya. Mungkin Laili hanya berbohong. Kerana dulu pun memang dia gilakan Hisyam. Takdir menentukan Hisyam menikahi Hayati seiring berjalannya waktu. Hayati acuh tidak acuh.



Sebelah mata pun dia tidak mempercayai berita yang Laili sampaikan. Mungkin hanya sebuah gosip macam bintang selebriti.



"Kau tengok sendiri. Ini gambar siapa?"



"Ya benar, laki aku"



"Masih tak percaya juga?" Dunia Hayati mula bergegar-gegar. Tidak mahu percaya tapi gambar itu terlalu intim. Laili ternyata tidak 'kaypoh' sebagaimana disangka.



"Perempuan itu Jamaliah, kan?" sambil membesarkan foto di telefon bimbit Laili.



"Kau ni Yati, sudah gaharu cendana pula…" Bengang dan tambah gegar sekejap minda Hayati.



Kenal betul ia dengan Jamaliah, walau sudah berzaman tidak ketemu. Mantan teman sejawatnya yang pernah sama-sama bekerja di Lapangan Terbang Changi.



Tapi Jamaliah yang dikenal 10 tahun dahulu pendiam orangnya. Jenis yang tidak suka merayap. Diajak bersantai sambil makan-makan di restoran pun sukar sekali. Kalau ikut pun selalu tergesa-gesa meminta diri. Sangat pemalu dengan lelaki.



Sudah lama Hayati tidak mendengar khabar tentang Jamaliah. Tidak juga di ketahui jika Jamaliah sudah kahwin atau masih lagi dara.



"Kau ni Hayati, macam katak bawah tempurung. Tak ada akaun Facebook kah?"



"Ada tapi aku tak pernah ambil peduli."



"Selepas dia tinggalkan airport, tak lama lepas tu dia kahwin dengan jurutera kapal terbang, sudah tiga orang anaknya."



"Habis tu kenapa menggatal dengan laki aku!!?"



"Kau sendiri tak pernah menggatal dengan laki orang?" Macam kena sepak dengan kenyataan Laili. Kata dulang paku serpih. Hayati akui selingkuhannya suatu waktu dahulu.



"Tapi aku tidak lah sesensasi begini!"



"Itu kata kau, itu sebabnya kita jangan nak menggatal dengan laki orang?" Tidak berselindung-selindung lagi bahasa Laili.



"Tapi aku dah lama berhenti… dah taubat dan insaf."



"Kalau kau berhenti, orang lain pun mesti ikut sama, mungkin Jamaliah baru bermula," gurau Laili sambil ketawa kecil. Hayati mencebik.



Malam menjelang. Di ranjang itu Hayati lebih banyak mengirikan baringannya. Aura wajahnya terasa sugul dan masam oleh Hisyam, walau suis lampu sudah pun dimatikan. Hayati cuba menyembunyikan resan hati tetapi gagal.



"Kenapa ni dari tadi sepatah-sepatah cakap."



"Tak ada apa-apa, penat… di pejabat banyak kerja dan masalah."



"Janganlah bawak sampai ke katil.. kalau ada masalah beritahu abang, manalah tahu abang boleh tolong selesaikan"



"Tak seriuslah… tidurlah dah jam satu ni."



Hisyam kurang yakin tapi akur. Jeda. Anak-anak sudah lama di perintah tidur.



Tidak sampai 10 minit Hisyam sudah belayar ke alam mimpi yang fatamorgana. Semakin jeda.



Malam semakin sepi. Hanya Hayati yang dipukul badai ketidaktentuan. Dia ingin menjerit. Dia mahu suaminya mengaku atas selingkuhannya dengan Jamaliah. Tapi pada waktu yang sama ia juga harus bersikap adil.



Dulu pun dia pernah selingkuh dengan seorang jejaka bernama Alim yang wajahnya mirip Aaron Aziz. Yang juga berkerja di Lapangan Terbang Changi. Yang selalu dia temui sewaktu rehat makan tengah hari walau tanpa temu janji.



Selingkuhanku itu lebih jahat, fikir Hayati. Pernah ia menipu Hisyam bahawa ada persidangan penting segera di Kuala Lumpur. Pada hal Alim sudah menunggunya di sebuah hotel terkemuka.



Hisyam yang dikenali selama ini sangat lurus orangnya. Walau ditipu ditinggalkan tetap ia mempercayai segala aktiviti Hayati adalah yang baik-baik sahaja. Sampai ada suara-suara jahat secara berseloroh mengatakan "Kau macam kena santet!!"



Tetap Hisyam tidak peduli. Mungkin mereka cemburu, kata hatinya.



Akhirnya sandiwara Hayati dengan Alim sampai ke penghujung episod.



"Hari ini akhir kita bertemu. Isteriku telah ketahui tentang kita dan beri amaran. Damai atau putus."



"Alim!! aku hampir saja meminta kau agar kita dapat hidup bersama secara sah."



"Aku sudah pun buat pilihan. Demi anak yang bakal lahir… maafkan aku Hayati. Aku berdosa pada suami kau… dan pada kau juga... kembalilah pada suami kau."



Lalu Hayati tergugah daripada tidur setengah mamainya. Baru jam 2 pagi rupanya. Lambat betul malam berlalu.



Episod gelapnya suatu waktu dahulu bagai diulang tayang di dalam mimpinya. Bayangannya itu amat jelas sekali. Semua ini Hisyam tidak ketahui. Atau mungkin Hisyam pura-pura tidak tahu.



......................



Lapangan Terbang Changi bagaikan tempat yang tidak tahu berehat. Lalu-lalang udara sentiasa sibuk siang dan malam. Setiap lima minit ada sahaja kapal terbang yang mendarat dan berangkat.



Lama Hayati menunggu Laili di situ. Kawan yang banyak berjasa kepadanya. Sampaikan rahsia yang intim-intim pun tidak dijual merata-rata di zaman media sosial ini.



"Kau tak kerjakah hari ini?"



"Cuti sehari… Hisyam pun sudah ku beritahu"



"Baguslah tu. Jangan nak main sembunyi-sembunyi lagi."



"Macam mana? Jamaliah jadi datang tak?"



"Tu dia… panjang umurnya," Laili menuding arah datangnya Jamaliah. Tiba-tiba berderau darah Hayati. Rasa macam hendak terkam Jamaliah di situ juga. Tapi ia telah berjanji pada Laili bahawa dia akan bersikap tenang dan positif. Sekurang-kurangnya Jamaliah berani berhadapan dengannya.



Hayati akui ia tidak sekuat Jamaliah menghadapi isu ini. Ia akui pada dirinya sendiri bahawa ia tidak berani bersemuka dengan isteri Alim suatu waktu dahulu.



"Aku sudah terperangkap. Susah bagi aku untuk melepaskan Hisyam," akui Jamaliah.



"Tapi kau isteri orang, Jamaliah. Kau juga seorang ibu. Mana mungkin kau bercinta dengan lelaki lain, suami orang pula tu," tegas Hayati. Marahnya itu dikawal baik kerana kisah silamnya persis yang Jamaliah lakonkan sekarang.



"Aku sanggup tinggalkan suamiku kerana Hisyam!!"



"Jamaliah!!! jangan kau lakukan itu. Berfikirlah secara rasional. Fikir tentang anak-anak kau. Dan kasihanilah anak-anakku juga" Dag-dig-dug jantung Hayati sekencang larian kuda betina.



"Sudah lama aku fikirkan, aku semakin sayangkan Hisyam."



"Itu hanya permainan nafsu, Jamaliah. Jangan diturutkan. Sebelum meledak cerita ini, tolonglah jangan rumitkan masalah aku… dan masalah kau juga."



Laili sedari tadi mendiamkan diri sahaja. Lebih senang menjadi pemerhati melihat sandiwara itu.



Hayati menahan emosi dan sebak. Semuanya gara-gara selingkuhan Jamaliah yang pernah juga dia lakukan dahulu.



"Aku tak rasa aku akan mengubah fikiran."



Jamaliah ini sudah berubah perawakannya, fikir Hayati. Ini bukan lagi perempuan yang introvert seperti dulu. Mereka bersurai tanpa mendapat sebarang harapan yang mendamaikan.



...........................................



Hari Ahad. Hisyam dan Hayati keluar riadah berbasikal sembari menanti waktu menjemput anak-anaknya pulang dari madrasah mingguan.



Hayati masih kelihatan sugul. Hisyam pura-pura tidak mengerti. Mencuba untuk menghibur Hayati. Membebaskannya daripada kerja rumah walaupun di hujung minggu.



"Saudara, kau kah yang bernama Hisyam?"



"Ya… kenapa…"



Boom!!!. Sebelum sempat Hisyam habis bertanya, penumbuk Wahid sudah singgah ke mukanya.



"Hei hentikan!!!" jerit Hayati.



"Ada apa ni? … siapa awak?"



"Kakak isterinya?"



"Ya kenapa?"



"Suami kakak main gila dengan isteri saya. Sampaikan rumah tangga diabaikan."



"Tenanglah dik… bertenang. Mari kita cakap baik-baik. Supaya masalah dapat diselesaikan dengan bijaksana."



"Kakak macam tak marah dengan perbuatan selingkuh suami kakak!!"



"Marah tetap marah dik, tapi mari kita duduk, kita cakap dengan fikiran yang tenang… pasti masalah dapat diatasi secara damai"



"Nasib baik kakak ada di sini… saya menghormati pendirian kakak. Kalau tidak saya belasah lelaki ini," kata Wahid sambil mengepalkan penumbuknya.



"Baguslah kalau adik boleh bertenang. Mari kita cari jalan perdamaian."



Wahid akur dengan hemah yang Hayati pamirkan. Sungguh hebat budi bicaranya.



"Jadi adik ini suami Jamaliah?"



"Ya, rupanya kakak mengenali isteri saya."



Hayati terus menenangkan Wahid. Kepalan tinju Wahid mulai sedikit reda. Dia mendengar keterangan Hayati tentang apa-apa sahaja yang telah dia usahakan demi menjernihkan kekeruhan.



Wahid terus cuba bertenang dan mengawal nafsu lelakinya. Kalau hendak diikutkan dia lebih suka selesaikan kemelut itu dengan bertinju. Sekali lagi dia menghargai keberadaan Hayati di situ.



"Kakak tahu adik marah pada abang dan Jamaliah. Tapi kalau boleh kita bantu mereka berdua agar sedar."



"Bantu apa dan macam mana yang kakak maksudkan?"



"Mereka manusia biasa. Di dunia moden ini siapa-siapa pun boleh terperangkap oleh kecurangan rumah tangga.



"Kakak minta kita jangan tambah-tambah dengan masalah yang nanti akan menyusahkan anakanak… kasihan anak-anak yang tidak bersalah kalau berlaku cerai-berai suami isteri"



"Baik Kak, saya dengar nasihat kakak… mesti ada sesuatu yang hendak kakak lakukan?"



"Ya dik, kakak cadang kita jumpa counsellor, kerana kita bukan orang pandai dalam kemelut ini." Wahid berdiam. Tidak membantah dan tidak menyokong. Amarahnya semakin mereda.



"Mereka manusia biasa. Di dunia moden ini siapa-siapa pun boleh terperangkap oleh kecurangan rumah tangga.



Kakak minta kita jangan tambah-tambah dengan masalah yang nanti akan menyusahkan anak-anak… kasihan anak-anak yang tidak bersalah kalau berlaku cerai-berai suami isteri.''




BIODATA PENULIS



OTHMAN ISMAIL giat menulis cerpen. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kaki Bukit dan Maktab Rendah Kebangsaan.



Beliau menghasilkan banyak cerpen sejak karya pertamanya 'Hikayat Penglipur Lara' disiarkan di Berita Minggu pada Ogos 1986.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >