Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Hati berbunga di taman burung

Feb 12, 2021 | 05:30 AM



Sempena ulang tahun Taman Burung Jurong yang ke-50 tahun ini, The BM Show bertemu dengan dua kakitangan yang sudah berdekad lamanya bekerja di taman itu untuk mendengar kisah pengalaman mereka. Pelbagai cerita yang dikongsi - ada yang lucu dan ada yang menakjubkan. Ini juga mungkin tahun terakhir taman burung itu akan berada di tapak Jurong kerana ia dijangka berpindah ke lokasi baru di Mandai tahun depan. Ikuti kisah dua kakitangan ini yang mengongsi kenangan manis bekerja di taman burung itu dan juga perasaan bakal meninggalkan 'rumah' mereka pada tahun depan.




TUNJUK saja mana-mana bunga heliconia yang ada di Taman Burung Jurong dan Encik Jasni Muhamed dengan gembira akan memberitahu anda spesies apakah bunga itu.



Dek minatnya yang mendalam dalam bunga heliconia, Encik Jasni banyak melakukan penyelidikan sehinggakan nama spesies bunga tersebut yang ada di taman burung itu terpahat dalam ingatannya.



Justeru, tidak hairanlah Encik Jasni, 62 tahun, diberikan gelaran 'Mr Heliconia' Taman Burung Jurong.



Spesies kegemaran beliau pula ialah Heliconia chartacea 'Sexy Pink'.



"Keunikan bunga ini adalah warnanya yang sungguh cantik. Pokok ini bunganya setiap bulan sentiasa ada, tidak seperti spesies yang lain," kata beliau.



Encik Jasni berkongsi demikian dalam segmen Singapura The BM Show yang akan disiarkan di Facebook dan Instagram Berita Harian lusa.



Encik Jasni merupakan antara anggota kumpulan taman burung itu yang telah ke beberapa negara, termasuk Thailand dan Malaysia, untuk membawa masuk pelbagai spesies heliconia ke taman itu.



Ini sekali gus membantu menjadikan Taman Burung Jurong tempat simpan heliconia yang pertama di Asia pada 1989 apabila ia dilantik sebagai pusat koleksi heliconia rasmi oleh Persatuan Heliconia Antarabangsa.



Dengan pengalaman bekerja selama 46 tahun, Encik Jasni merupakan antara kakitangan paling lama yang berkhidmat di Taman Burung Jurong.



Beliau kini seorang pengurus hortikultur yang bertanggungjawab menjaga penyenggaraan pokok, pokok renek dan kebun bunga, termasuk yang di dalam kandang burung.



Beliau turut menguruskan hiasan tumbuhan di zon pengunjung utama seperti plaza pintu masuk taman itu.



Encik Jasni mula bekerja di taman burung itu pada Disember 1974, sekitar empat tahun selepas taman itu dibuka pada 1971, dan ini merupakan satu-satunya pekerjaan sepenuh masa yang dilakukannya sejak dahulu lagi.



Beliau menyertai taman itu sebagai pekerja buruh biasa sebelum menjadi seorang pekebun tiga tahun kemudian, dan seterusnya naik pangkat hingga menjadi seorang pengurus hortikultur kini.



"Sebenarnya, kawan saya yang ajak saya kerja sini dan kemudian lama-kelamaan, minat pula dengan pokok dan pokok bunga sampai sekarang," kata beliau.



"Setiap pagi, saya 'round' dengan kereta bugi dalam taman ini untuk lihat jika ada apa-apa, terutamanya ranting kayu. Ini penting demi keselamatan pengunjung," tambahnya.



Bukan hanya taman itu saja yang perlu dihiasi dengan pokok dan bunga yang indah, malah kandang burung juga perlu dihiasi dengan tumbuhan yang bersesuaian dengan habitat asalnya, kongsi Encik Jasni.



"Misalnya, kalau burung itu berasal dari Australia, kita kena letak pokok yang ada dalam habitat asalnya dan sesuai dengan cara hidupnya di Australia," kata beliau.



Berbeza dengan melakukan kerja landskap di luar, bekerja di dalam kandang burung memerlukan Encik Jasni lebih berhati-hati supaya burung tidak cedera.



"Kalau burungnya terlalu agresif, kami akan berkomunikasi dengan pihak yang menjaga burung. Mungkin ia perlu dipindahkan ke tempat lain dahulu. Penjaga burung mesti ada dalam kandang burung itu sebab kita takut nanti ia terbang sana sini dan burung itu boleh cedera," ujarnya.



Antara kenangan manis Encik Jasni sepanjang 46 tahun bekerja di taman burung itu ialah apabila hiasan di taman itu mendapat pujian daripada pengunjung.



"Itulah yang memberi saya kepuasan. Terutamanya semasa Tahun Baru Cina, dekorasi kami selalu dapat sanjungan daripada pengunjung di taman burung ini, Alhamdulilah," kata beliau.



Dengan Taman Burung Jurong dijangka berpindah ke lokasi barunya di Mandai tahun depan, Encik Jasni tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya perlu meninggalkan 'rumah' yang penuh kenangan itu.



Walaupun kini hampir lima dekad bekerja di sana, beliau tiada rancangan untuk bersara dan berharap dapat terus menabur bakti di taman burung yang baru.



"Sudah 46 tahun, banyak yang saya tak dapat lupa. Pokok yang saya tanam dulu pun dah besar. Sedihlah rasanya, ibarat macam rumah kita juga.



"Harapan saya nak pergi tempat yang baru juga. Insya-Allah, selagi ada kesihatan, saya nak teruskan kerja di sana kalau tak ada halangan," kata beliau.




THE BM SHOW boleh ditonton AHAD INI, 10 PAGI, menerusi www.beritaharian.sg, serta menerusi laman Facebook dan Instagram akhbar ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >