Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kisah 3 penyanyi Melayu bawa lagu Inggeris di persada SG

‘Battles’ tiup semangat lawan badai kehidupan

Sep 04, 2020 | 05:30 AM



Lagu motivasi yang melambangkan perjuangan panjang, kecekalan mahupun ketabahan meniti hidup dijana sebagai penawar dalam suasana serba tidak tentu wabak Covid-19. Tiga anak Melayu yang menyumbang kepada persada muzik Inggeris di Singapura berkongsi kisah di sebalik lagu yang dihasilkan. BERITA HARIAN melaporkan.




PASANG surut kehidupan dan kerjaya muzik sudah diharungi bakat tempatan, Izat Ibrahim.



Peserta peraduan realiti SG Mania 3 yang sampai ke peringkat separuh akhir pertandingan saluran Suria itu menyifatkan hidup ini sebagai satu perjuangan dan pertarungan menentang badai.



Pada usia 29 tahun kini, Izat yang dikenali kerana memiliki gaya persembahan tersendiri ingin mencipta karya matang yang dapat memberi motivasi kepada orang sekeliling.



Apakah kisah suka duka hidupnya yang tersingkap dalam lagu Inggeris Battles? Izat yang pernah muncul dengan lagu Melayu, Hingga Hujung Waktu, Segunung Harapan (duet bersama Shalyza Rosly) dan Tiada Gunanya menceritakan.



Soalan (S): Dari mana tercetusnya inspirasi bagi 'Battles'?



Izat (I): Saya menulis lirik Battles sekitar 2018 sesudah kakak saya melalui tempoh paling sukar dalam hidupnya. Kakak kehilangan tiga anak kembarnya, Noah, Omera dan Mika, yang dilahirkan pada 2017.



Mereka meninggal satu-persatu pada 2017 selepas dilahirkan lebih awal daripada dijadualkan. Kakak saya melalui komplikasi kehamilan.



Kerana saya melihat segalanya berlaku di depan mata, peristiwa itu amat menjejas perasaan saya.



Saya berkongsi dengan pemain papan nada saya, Caleb Koa, keinginan menghasilkan lagu mengenai pertarungan hidup. Lirik lagu ini dibantu teman saya, Ffion.



Saya juga pernah melalui pembedahan kerana injap jantung yang rosak. Namun, pada akhirnya, melalui Battles, saya mahu orang tahu, anda tidak perlu melalui segalanya sendirian. Teman dan keluarga boleh dihubungi bagi memberi anda perangsang.



S: Apakah cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan 'Battles'?



I: Saya selalu tertanya-tanya, 'Apakah pendengar saya mampu mengaitkan diri mereka dengan lagu saya ini? Mampukah mereka menghargainya?' Soalan ini menggambarkan cabaran saya setiap kali mencipta lagu.



Namun, secara keseluruhannya, saya memang suka berkongsi cerita dengan pendengar. Lagu ini juga adalah antara lagu paling 'berat' untuk saya dendangkan secara langsung kerana ia balada yang menyentuh jiwa.



S: Apakah maklum balas orang mengenai 'Battles' yang paling terkesan di hati anda?



I: Saya mencipta Battles dengan matlamat menyampaikan pesan, 'Saya akan ada di sisi anda walau apa pun keadaannya'. Saya gembira pendengar mampu mencedok iktibar daripada lagu ini. Di media sosial, mereka berkongsi dengan saya jerih payah yang dihadapi.



S: Jika anda boleh menambah sesuatu pada lagu ini bagi menjadikannya lebih sempurna, apakah perubahan yang akan dibuat?



I: Saya tidak fikir ada perkara yang saya ingin sempurnakan dalam lagu ini. Saya merasakan ia mestilah sesuatu yang jujur datang dari hati. Apa yang penting adalah pesanan yang tersirat dalam lagu ini.



Namun, alangkah seronoknya jika Battles dapat dinyanyikan beramai-ramai oleh bakat Singapura sebagaimana kolaborasi raksasa We Are The World.



S: Mengapa anda rasa kita perlukan lagu motivasi seperti 'Battles'?



I: Saya tidak mengharapkan Battles akan mengubah hidup seseorang. Jika ia dapat mengubahnya, Alhamdulillah, saya bersyukur dan berbesar hati.



Saya juga merasakan lagu ini mampu membangkitkan semangat sesiapa sahaja agar melawan apa jua hambatan dalam hidup. Dengan pandemik Covid-19 kini, saya berharap Battles juga lagu yang memberi kekuatan buat semua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >