Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kurator selami tanda tanya cereka sains

Feb 02, 2021 | 05:30 AM



DARI tahun ke tahun, genre cereka sains dijadikan sandaran bagi membangun dan mengkaji dunia akan datang.



Dengan pandemik Covid-19 menular, ia bagaikan memberi gambaran segala imaginasi yang bermain di minda manusia tatkala menghasilkan filem cereka sains atau menonton adegan pembiakan virus benar-benar menjadi kenyataan.



Inilah antara perkara yang berlegar di fikiran kurator pameran State of Motion: [Alternate/Opt] Realities di Marina One (7 Straits View), Cik Syaheedah Iskandar, 30 tahun.



Pameran percuma anjuran Arkib Filem Asia berlangsung dari 20 Januari lalu hingga 21 Februari ini, mulai 12 tengah hari hingga 8 malam.



Tayangan filem cereka sains Asia Tenggara arahan 17 pengarah seperti Aziz M. Osman dan Mamat Khalid pula diadakan di Marina One dan Teater Oldham, Arkib Negara Singapura.



State of Motion juga diadakan sebagai sebahagian inisiatif Minggu Seni Singapura, anjuran bersama Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dalam merai dan memasyarakatkan seni.



Edisi keenam acara itu menampilkan 10 karya seni pelukis setempat dan antarabangsa yang memaparkan tema akan datang yang dijurutera secara visual dan mendapat ilham daripada genre sains cereka.



Marina One dijadikan pilihan lokasi pameran kerana ia merupakan pusat baru nadi kewangan Singapura dan menggambarkan aspirasi negara ini bergelar "kota global akan datang".



Ketika dihubungi, Cik Syaheedah berkata:



"Sebagai kurator yang sentiasa memikirkan tentang visual atau sesuatu yang boleh dijadikan santapan mata, saya berminat memikirkan tentang potensi teknologi audio video dan bagaimana unsur-unsur ini membolehkan kita memikirkan tentang realiti alternatif dan menjadi orang tengah dalam mewujudkan gerbang imaginasi.



"Menerusi setiap kerja seni, saya mahu hadirin berasakan seakan-akan mereka memasuki dunia baru sambil membayangkan semua ini berlaku dalam landskap futuristik seperti Marina One sendiri."



Menurutnya, State of Motion sudah menjadi pameran wajib bagi Minggu Seni Singapura. Justeru, beliau teruja diundang sebagai salah seorang kurator bagi edisi cereka sains ini.



"Filem cereka sains mendapat tumpuan kritikal dalam dunia membangun pengajian futuristik dan memikirkan apa akan terjadi pada bumi kita pada masa akan datang.



"Pandemik Covid-19 ini mengingatkan kita pada apa yang pernah dibentangkan dalam filem cereka sains sebelum ini. Ia benar-benar berlaku dan mengancam dunia," katanya.



Beliau menambah wabak itu juga menjadikan tugas merancang pameran tersebut sebagai mencabar dengan penyesuaian perlu dibuat pelukis dalam memikirkan bahan pameran dan ruang dalam talian yang ingin dimanfaatkan.



"Ini juga kali pertama kami membayangkan tidak akan ada seorang pun yang akan menjejakkan kakinya dalam ruang pameran kerana sekatan Covid-19.



"Lantaran itu, seniman yang terlibat juga perlu fikirkan cara sebaiknya membentangkan kerja seni mereka dalam platform berbeza.



"Mujurlah, Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura dimulakan. Maka, kami dapat usahakan pameran fizikal yang dibantu pengalaman digital lebih unik yang memanfaatkan format berbilang media.



"Sesiapa yang datang ke Marina One atau menyaksikannya dalam talian akan rasa puas hati," tambah Cik Syaheedah.



Beliau banyak belajar perkara baru tentang mengusahakan pameran di luar kebiasaan mengadakannya di balai seni. Marina One terletak di kawasan pusat bandar (CBD) lantas ia membawa pengalaman baru.



Mujurlah, beliau bekerjasama dengan pasukan yang sentiasa menggalakkan satu sama lain agar bersabar dengan tuntutan tugas dalam keadaan pandemik tidak menentu.



"Kerja seni wujud dalam suasana perubahan budaya. Kita beruntung dapat terus mengadakan pameran seni kontemporari. Harapan saya dengan apa yang berlaku tahun lalu, kita dapat menghasilkan kerja seni yang bukan sahaja mencetus inspirasi bahkan terus bertanyakan soalan sukar tentang keadaan sekeliling," tambahnya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >