Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pendidik lulusan sastera Inggeris raih ijazah kedua teater muzikal

Selain manfaatkan ilmu seni bagi perkasa pelajar istimewa, Zahrah Syafiah sibuk siapkan diri bagi pementasan dengan latar dunia media, Covid-19
Sep 02, 2021 | 05:30 AM



MESKIPUN sudah memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Sastera Inggeris daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), aktivis teater Zahrah Syafiah Jailani merasakan beliau perlu meraih ilmu seni formal yang dapat memperkasa kemahirannya.



Lantaran itu, Zahrah, 31 tahun, mengambil kursus ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Teater Muzikal di Maktab Seni Lasalle dan tamat pengajian tahun lalu.



Berbekalkan ilmu seni, beliau yang kini pendidik peringkat sekolah rendah di Mind Champs Academy turut menyumbang kepada pemerkasaan minda kanak-kanak berkeperluan khas yang pernah diajarnya di Persatuan Disleksia Singapura (DAS).



Kini, penerima Biasiswa Creative Spark Lasalle dan Anugerah Belia Cemerlang Goh Chok Tong itu sedang sibuk mempersiap diri bagi satu pementasan The Second Breakfast Company bagi Pesta Seni M1 Singapore Fringe.



Ikuti wawancara bersama Zahrah.



Soalan (S): Apakah yang membuatkan anda mengambil ijazah Sarjana Muda kedua?



Zahrah: Sejak dahulu lagi, saya mahu libatkan diri dalam persembahan pentas. Saya suka berlakon dan lebih penting lagi, gemar menjadi pencerita bagi menyampaikan sesuatu jalan cerita atau gagasan idea.



Di NTU, saya mengambil mata pelajaran Sastera Inggeris. Saya juga mengambil kursus penulisan kreatif malah turut mengambil subjek sampingan tentang drama dan persembahan.



Saya mengambil langkah berani membuat peralihan kerjaya dalam peringkat pertengahan usia malah menjadi antara pelajar dewasa di Lasalle dalam kursus dengan teman sekuliah lain jauh lebih muda.



Setelah lama dalam dunia teater tanpa latihan formal, sudah sampai masanya saya meneroka pula cabang teater muzikal. Dengan cara ini, saya juga dapat belajar menari dan menyanyi sekali gus.



Misi utama saya adalah menjadi penyampai cerita lebih berkesan, bukan setakat pelakon teater muzikal yang boleh berlakon, menyanyi dan menari.



S: Apakah kepuasan dan cabaran utama di Lasalle?



Zahrah: Sejujurnya, setiap hari di Lasalle adalah yang membuka minda tetapi memenatkan serta memerah jiwa raga saya. Tidak semudah yang dibayangkan.



Namun, kepuasannya adalah setiap hari anda rasa nikmatnya mencipta sesuatu bersama rakan sekuliah. Ia penat yang berbaloi.



Saya suka mengajar. Apa yang mencabar adalah kembali ke bilik darjah dan bersikap terbuka dan terdedah pada segala kemungkinan.



Sebagai pendidik, saya sudah terbiasa menjadi yang mengajar atau memimpin sebuah kelas. Kini, saya perlu mengikuti pembelajaran yang diajar orang lain serta bersikap terbuka kepada idea baru.



Saya memasuki Lasalle pada usia 28 tahun. Perlu belajar tarian balet pada usia sebegini! Orang lain belajar balet semuda usia tiga tahun.



Justeru, banyak otot-otot saya yang perlu dilentur bagi seni tari yang mencabar ini.



Saya terlatih dalam sukan judo dan biasa dengan kegiatan lasak. Tetapi menari balet seakan-akan terapung-apung di udara dan nampak lembut dan lemah gemalai ini adalah sesuatu yang baru buat saya.



S: Ceritakan pengalaman anda sebagai pendidik.



Zahrah: Saya tidak melalui perjalanan menjadi pendidik yang biasa di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan Kementerian Pendidikan (MOE).



Saya berpengalaman menjadi pendidik dalam Program Pembelajaran Bantuan Rakan Sebaya (PAL).



Saya mula mengajar sejak di NTU sebagai satu cara mendapatkan pendapatan bagi membayar yuran institusi pengajian tinggi.



Saya juga pernah mengajar di sekolah menengah saya, CHIJ, sebagai guru gantian.



Kini, saya rasakan nikmatnya mengajar di Mind Champs Academy. Saya pernah mengajar peringkat prasekolah di akademi ini dengan mengendalikan program membaca. Saya juga mengendalikan kelas tuisyen secara privet.



S: Bagaimana seni memperkasa anda?



Zahrah: Ia membolehkan saya memperluas kemahiran diri saya secara fizikal dan keperibadian.



Saya mula menyedari tentang pasang surut emosi saya. Sebelum memasuki Lasalle, saya tidak pasti bagaimana mengawal emosi saya tetapi pengajian seni memaksa saya berfikir sejenak dan mengimbas perjalanan hidup watak yang saya mainkan. Saya belajar membaca emosi saya.



Kita perlu keluar daripada zon selesa. Seni membuatkan saya lebih memahami diri saya sendiri dan memperbaikinya dari segi emosi dan mental.



Ia juga memberi saya wadah menyuarakan apa yang terbuku di hati dan mencorak suara saya sendiri dalam menyampaikan pesan kepada orang lain.



S: Ceritakan pengalaman anda berlakon dalam pementasan Yellow Chair Productions, 'Off Centre'. Selaku watak Mak, anda mendapat pujian pengulas teater.



Zahrah: Sebenarnya, payah membawa watak sebagai Mak apabila usia anda ketika itu baru 22 atau 23 tahun. Yang jadi anak cuma setahun dua lebih muda daripada saya.



Saya masih lagi memiliki jiwa si anak muda lantas kekok menjadi ibu yang sudah masak tentang hal ehwal sekelilingnya atau tahu tentang asam garam kehidupan.



Lantaran itu, saya melihat pada watak ibu saya sendiri atau ibu saudara saya sendiri bagi mendapatkan emosi seorang ibu.



Memang ia menuntut banyak tenaga minda dan fizikal saya. Lantaran itu, saya perlu banyakkan latihan bagi menjiwai watak yang membebani fikiran ini.



Selebihnya, saya seronok berlakon dalam kumpulan teater ini. Ia teater masyarakat. Saya mungkin buat silap tetapi belajar daripada kesilapan saya. Penggeraknya, Mohamad Shaifulbahri, amat memahami dan menyediakan ruang selamat bagi bakat seperti saya terokai seni dengan daya cipta sendiri.



S: Apa yang anda pelajari daripada mengajar anak-anak istimewa?



Zahrah: Saya bermula sebagai belia yang mengajar mereka demi mencari pendapatan dan mengisi masa terluang kepada seseorang yang ingin buat lebih untuk memperkasa mereka.



Saya perlu mengubah takrifan saya tentang mengajar. Saya mula mengajar penulisan kreatif dan mendapati ada pelajar yang payah tangkap atau melaksanakan tugasan yang diberikan.



Saya menjalani latihan lebih terperinci yang membuka mata tentang dunia anak istimewa yang memerlukan hubung kait kemanusiaan.



Saya mengajar kecelikan membaca menerusi drama. Mereka perlu berlakon daripada bahan bacaan yang diberikan. Mereka tampak lebih yakin dan tidak takut dengan perkataan-perkataan dalam skrip yang diberi. Seni mampu memperkasa golongan istimewa.



S: Ceritakan pula tentang pementasan yang bakal anda jayakan.



Zahrah: Bersama The Second Breakfast Company, saya sedang meneliti pementasan tentang sekumpulan anak muda dalam syarikat media yang sedang mengusulkan rancangan televisyen tentang pekerja barisan hadapan.



Kami berbual dengan doktor dan pekerja swab bagi mengetahui pengalaman mereka bergelut dengan tuntutan pandemik Covid-19, khususnya dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19.



Kami ingin selongkar kisah di sebalik menangani pandemik ini. Ia pengalaman yang menarik secara kreatif untuk hasilkan sesuatu bersandarkan keadaan sebenar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >