REAKSI rakyat Singapura berhubung serangan yang merisaukan terhadap tiga pelajar madrasah, dikatakan dilakukan oleh seorang lelaki berusia 48 tahun, secara reflektif membuktikan kematangan masyarakat mendakap semua agama. Orang ramai umumnya terkejut dan segera mengutuk perbuatan itu serta keberatan menyifatkannya sebagai satu insiden berbentuk Islamofobia (gerun terhadap Islam). Suspek segera ditahan dan kemudian didakwa, dan pihak berkuasa meminta supaya dia terus ditahan bagi pemerhatian psikiatri. Dalam satu lagi tempoh sejarah Singapura, serangan tanpa provokasi seperti ini ke atas remaja perempuan daripada kaum dan agama lain boleh mengakibatkan curahan emosi. Tetapi rakyat Singapura hari ini ingin melangkaui lebih daripada setakat bertolak ansur dengan agama lain (yang mungkin membayangkan tolak ansur dengan berat hati) dan menerima sepenuhnya kehadiran semua kepercayaan sebagai sebahagian daripada warna-warni pelbagai budaya yang merupakan sebahagian daripada ciri negara.
Sungguh menyenangkan bahawa tindakan membuat kesimpulan melulu telah dijauhi dan respons terhadap insiden itu mencerminkan keprihatinan peribadi terhadap mangsa serangan itu, manakala adik suspek, yang kebetulan seorang mualaf, melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu. Isu itu juga telah dibincangkan secara terbuka dengan pemimpin Singapura semasa mereka bertemu dengan wakil-wakil pelbagai agama dan persatuan suku kaum dalam sesi tertutup baru-baru ini.