PASTINYA tanggal 23 Mac meninggalkan kesan kepada kita semua. Setahun sesudah mendiang Encik Lee Kuan Yew meninggalkan kita pada 23 Mac 2015, seorang lagi perintis yang menjadi ikon bahasa, sastera dan budaya masyarakat dan negara kita, Pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, meninggalkan kita pada 23 Mac 2016.
Jasa Allahyarham kepada kita amat besar sekali. Beliau seorang bahasawan, budayawan dan penggerak penting kesusasteraan negara. Beliau terlibat dalam hampir setiap usaha yang melibatkan masyarakat Melayu, termasuk pembentukan pertubuhan-pertubuhan penting seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki, Majlis Bahasa Melayu Singapura, Asas '50 dan banyak lagi.