Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Iktibar daripada penahanan Zulfikar

Jul 31, 2016 | 05:30 AM



BEBERAPA bulan kebelakangan ini, masyarakat dunia digemparkan dengan berita serangan ISIS di sana sini seperti di Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Turkey, Arab Saudi, Iraq, Indonesia dan Malaysia.



Berita penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua hari lalu menunjukkan pengaruh ISIS menyelinap di sini, walaupun kita belum menjadi mangsa serangan pengganas.



Inilah kali pertama warga Singapura ditahan disebabkan ISIS. Walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dengan kumpulan itu, mereka mendukung dan menyebar ideologinya.



Zulfikar Mohamad Shariff, 44 tahun, dikenakan tahanan ISA selama dua tahun. Dia sudah dikenali oleh masyarakat Melayu/Islam di Singapura kerana sangat lantang dalam media sosial lewat laman Facebooknya Al-Makhazin Singapore.



Laman itu mempunyai ramai pengikut dan menerima banyak 'likes' dan 'shares'.



Lebih sedekad lalu, Zulfikar pernah lantang mengkritik ahli politik Singapura dalam isu tudung. Dia yang pernah menerajui laman Fateha. com berhijrah ke Australia pada 2002 bersama keluarganya. Namun, harus ditekankan, penangkapan beliau tiada kaitan dengan isu tersebut.



Selain Zulfikar, Mohamed Saiddhin Abdullah, 33 tahun, dikenakan Perintah Sekatan selama dua tahun dan Muhammad Shamin Mohamed Sidik ditahan di bawah ISA.



Seorang bekas pelajar madrasah tempatan, yang berusia 17 tahun, juga dikenakan Perintah Sekatan.



Mereka semua terpedaya dengan diayah ISIS.



Sebelum ini, pemerintah telah menjalankan beberapa penahanan bersangkutan ISIS. Sekumpulan pekerja dari Bangladesh yang giat di masjid tempatan dipercayai merancang melakukan beberapa serangan ganas di negara mereka.



Menerusi laman Facebooknya, Zulfikar memuat naik beberapa tulisan yang mengagungagungkan ISIS dan menyokong keganasan. Dia menggunakan bahasa yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam setempat terhadap dunia Barat dan pemerintah Singapura.



Jelas, masyarakat Melayu/Islam kita bersimpati dengan keadaan umat Islam di luar negara dan Zulfikar berjaya menambah bilangan pengikutnya di Facebook dengan menimbulkan isuisu tersebut dalam tulisan-tulisannya.



Misalnya, dia membincangkan isu seperti keadaan huru-hara di Palestine, Syria, Sri Lanka Mynamar (isu kaum Rohingya), Filipina (isu Bangsamoro) dan Xinjiang di China. Dia seakanakan mengajak masyarakat setempat turut serta dalam sengketa tersebut.



Mentelah, dia juga mencadangkan agar sistem politik Singapura diubah kepada sistem politik khalifah acuan Islam. Ujarnya, sistem politik masa kini tidak berfungi dan umat Islam ada sistemnya tersendiri.



Sementara itu, dia pernah mendoakan perjuangan ISIS apabila ada berita tentang penaklukan wilayah baru oleh kumpulan itu di Iraq. Dia juga sering mengkritik asatizah kita kerana tidak turut serta dalam jihad dan memandang mereka sebagai terlalu menyokong usaha pemerintah.



Masyarakat kita yang mungkin kurang faham tentang sengketa politik di negara yang disebutkan Zulfikar akan termakan hujahnya. Begitu juga mereka yang tidak tahu tentang sumbangan institusi agama kita selama ini, dan bagaimana kerjasama agamawan kita dengan pemerintah telah membawa banyak manfaat, akan berasa marah.



Inilah bahaya jika seseorang berpandukan media sosial bagi mendapatkan maklumat dan perspektif tentang ehwal semasa tanpa menyemak fakta sebenar atau mendengar pandangan pakar. Ini yang menyebabkan orang seperti Saiddhin terpengaruh dengan kata-kata Zulfikar.



Jelas, ada beberapa pengajaran yang boleh diraih melalui kes penahanan terbaru ini.



PENGARUH MEDIA SOSIAL



Media sosial sudah menjadi sebati dalam masyarakat kita. Kini, sesiapa sahaja bebas memberikan pandangan dan komentar terhadap beberapa isu semasa, termasuk soal agama. Wadah media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog mencerminkan kerencaman dalam masyarakat dan menjadi cabaran bagi pemerintah mengawalnya kerana jaringannya terlalu luas.



Pada zaman sebelum media sosial diperkenalkan, masyarakat menyerahkan persoalan siasah, ekonomi atau agama kepada ahlinya, namun sekarang ini, rakyat biasa juga giat memberikan pandangan masing-masing. Bagaimana kita boleh mengelakkan diri daripada dipengaruhi propaganda jahat seperti ISIS?



Sejauh ini, ramai pemimpin kita yang menasihati masyarakat agar belajar daripada asatizah bertauliah. Walaupun nasihat ini penting, saya rasa ia belum mencukupi. Kita perlu belajar daripada ramai guru, meluaskan pandangan kita dalam hal agama dan tidak taksub pada satu atau dua guru sahaja. Ini membolehkan kita mendapat perspektif yang berbeza dalam sesuatu isu.



Kita juga perlu mengawal perasaan marah dalam membincangkan sesuatu isu peka. Oleh itu, rujuklah juga kepada penulisan agama yang diterbitkan oleh penerbit berwibawa atau akhbar tempatan. Ini kerana setiap penulisan tersebut telah melalui proses semakan yang rapi dan kritikal. Kawalan sedemikian tidak ada pada tulisan dalam media sosial.



TIADA KAITAN DENGAN LATAR BELAKANG PENDIDIKAN SEMATA-MATA



Memandangkan penahanan kali ini melibatkan seorang bekas pelajar madrasah, kita tidak seharusnya cepat menuding jari terhadap madrasah kita. Namun, ini tidak bermakna bahawa madrasah setempat boleh mengambil sikap sambil lewa dan menyatakan ini hanya satu kejadian terpencil. Pokoknya, isu keganasan ini tidak ada kaitan dengan sistem pendidikan.



Pengamat masa kini sering menyalahkan Internet, yang menyebabkan seseorang boleh terpedaya dengan ideologi ganas. Dan penyelesaian mereka adalah: "Kita harus mengajar Islam yang tepat dan sederhana."



Usaha mengajar Islam yang tepat dan sederhana tidak harus diperlekehkan, tetapi ada aspek psikologi, ekonomi, siasah dan yang penting, kesan dipinggirkan, yang mendorong seseorang ke kancah pengganasan.



Kita semua terdedah kepada ideologi pengganas di Internet, tetapi mengapa kita tidak mudah terpedaya dengannya?



Mungkin kita mempunyai benteng yang kuat untuk menangkis idologi tersebut: kedudukan sosial kita baik, pertalian keluarga dan sahabat kita kukuh, dan kita mempunyai pekerjaan yang stabil.



Justeru, selain membekalkan masyarakat kita dengan ajaran agama yang sederhana, kita perlu mendekati individu yang berpotensi terjebak dalam pengganasan supaya mereka tidak rasa terpinggir.



Usaha menaik taraf mutu kehidupan setiap warga Singapura penting dan ia bukan hanya tanggungjawab masyarakat, bahkan pemerintah.



USAH TERPEDAYA DENGAN WACANA ANTISEKULAR DAN ANTI-BARAT



Baru-baru ini, Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram mengingatkan kita supaya menolak idea yang bertentangan dengan nilai Singapura. Tegurannya itu bersifat umum, tetapi kita boleh mengambil iktibar daripadanya agar kita lebih berwaspada terhadap wacana yang mengkritik pluralisme dan sekularisme yang diamalkan di sini.



Seorang yang antisekularisme tidak semestinya menjadi pengganas, namun ia boleh menyebabkan seseorang tertarik dengan idea utopia seperti konsep negara Islam alternatif atau mengembalikan sistem khalifah.



Sebaliknya, sebagai orang Islam Singapura yang baik, kita harus mengarahkan perbincangan kita terhadap bagaimana mengukuhkan institusi negara sedia ada yang juga mencerminkan nilai-nilai Islam, seperti tidak rasuah, bersih dan amanah, telus dan yang menekankan aspek pendidikan dan keselamatan.



Dengan sistem sekular yang ada, kita boleh tetap mengamalkan kehidupan sosioagama dengan aman dan baik, manakala sistem yang disebut-sebut sebagai khalifah Islam belum tentu boleh menjamin natijah sedemikian kerana asasnya adalah pengganasan dan bersifat eksklusif.



  • Penulis Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau pengamat politik rantau Asia Tenggara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >