Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Jadikan S'pura tempat hebat besarkan anak, bina keluarga

Mar 11, 2017 | 05:30 AM



RAMAI rakyat Singapura mungkin bimbang tentang prospek masa depan kita. Ekonomi global kian perlahan dan pelaburan perniagaan serta pasaran buruh tidak menentu.



Model perniagaan kini berbeza daripada dahulu. Ada pekerjaan juga berubah atau secara beransur-ansur, digantikan teknologi.



Landskap sosial kita juga kian berubah sejajar dengan negara yang semakin membangun dan matang.



Kitaran ekonomi dan perubahan demografi pasti akan memberi kesan kepada institusi keluarga, yang merupakan unit paling asas dalam pembentukan masyarakat.



Bagi mengatasi cabaran ini, kita perlu memastikan institusi keluarga kekal kukuh dan berdaya tahan.



Ahli keluarga juga perlu terus memberi sokongan antara satu sama lain untuk mengharungi masa senang ataupun susah. Saya ingin memberi jaminan kepada semua keluarga bahawa pemerintah akan menyokong anda pada setiap langkah perjalanan.



Pengukuhan keluarga sentiasa menjadi keutamaan kementerian saya. Sejak beberapa tahun lalu, kementerian saya telah melaksanakan beberapa langkah yang meluas bagi mengukuhkan institusi keluarga.



Kami terus menyokong keluarga dalam mengharungi setiap peringkat kehidupan, daripada peringkat sebelum berumah tangga kepada peringkat awal sebagai ibu bapa baru hingga tahun-tahun mencabar membesarkan anak remaja.



Sebagai contoh, kami telah meningkatkan cuti paterniti atau cuti kebapaan dan memperkenal Langkah Pertama Akaun Pembangunan Kanak-kanak (CDA) untuk semua ibu bapa.



Sejak 2012, tempat penjagaan kanak-kanak meningkat lebih 40 peratus kepada kira-kira 140,000 tempat pada masa kini.



Kami akan terus menyokong keluarga yang mempunyai anak kecil dengan menambah 10,000 tempat di pusat penjagaan kanak-kanak di estet perumahan yang mempunyai ramai keluarga muda.



Kami juga akan meningkatkan lagi sokongan bagi keluarga yang mempunyai bayi, dengan menambah tempat penjagaan bayi daripada 4,000 yang ada kini kepada melebihi 8,000 pada 2020.



Bagi menampung tambahan tempat penjagaan bayi dan kanak-kanak, kami akan meningkatkan usaha menarik lebih ramai pekerja menyertai sektor penting ini.



Kami akan mencuba pendekatan latihan baru bagi menarik individu yang berkebolehan dan berpengalaman untuk menjaga bayi.



Kami juga akan menambah peluang kerjaya dan pembangunan bagi profesional dalam sektor pembangunan awal kanak-kanak.



Kami juga akan memberi sokongan khusus buat kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan. Ini demi memastikan mereka juga mendapat sokongan pembangunan awal kanak-kanak yang bermutu.



PROGRAM KIDSTART



Saya ingin berkongsi tentang perkembangan program perintis KidSTART yang kami lancarkan pada Julai tahun lalu.



Di bawah program perintis ini, kami bekerjasama dengan Pejabat Khidmat Sosial, Pusat Khidmat Keluarga, hospital and rakan masyarakat yang mengendalikan program KidSTART.



Kami mengenal pasti, mendekati dan kemudian memberi sokongan bersepadu kepada kanak-kanak dan keluarga ini.



Sebagai contoh, Pengunjung Rumah KidSTART sering mengunjungi ibu bapa yang mempunyai bayi untuk mengongsi pengetahuan dan kemahiran tentang pembangunan, kesihatan dan pemakanan kanak-kanak.



Antara keluarga yang meraih manfaat daripada program perintis ini ialah keluarga Cik Azlinah Jumali.



Cik Azlinah merupakan ibu empat anak. Dua anaknya menghadiri pusat penjagaan kanak-kanak dan anak bongsunya pula akan didaftarkan di pusat penjagaan bayi.



Menerusi program KidSTART, beliau lebih mengetahui tentang isu pembangunan awal kanak-kanak. Cik Azlinah juga dapat bergaul dengan ibu-ibu lain yang menyertai program ini serta mendapatkan bantuan bagi keperluan anak-anaknya.



Daya usaha ini membawa kesan positif kepada pembangunan anakanak dan kesejahteraan keluarga Cik Azlinah.



Kami berharap KidSTART akan terus mencipta kejayaan seperti ini, buat ibu bapa dan anak-anak mereka.



Sejauh ini, lebih 300 kanak-kanak di kawasan Bukit Merah-Kreta Ayer, Boon Lay-Taman Jurong dan Geylang Serai dibantu program ini.



Walaupun kami masih dalam proses melancarkan program perintis ini, kami teruja dengan kesan positifnya terhadap interaksi dan hubungan ibu bapa dengan anakanak setakat ini.



Dalam tempoh terdekat ini, Agensi Pembangunan Awal KanakKanak (ECDA) akan bekerjasama dengan badan-badan masyarakat untuk melancarkan lebih banyak lagi kumpulan bermain atau community playgroup di kawasan-kawasan program perintis KidSTART.



Kami merancang membantu 1,000 kanak-kanak melalui KidSTART dalam masa tiga tahun yang akan datang.



Keluarga merupakan asas bagi pembangunan masyarakat dan tunggak sokongan utama untuk individu. Kami mahu menjadikan Singapura sebuah tempat yang hebat untuk membesarkan anak-anak dan membina keluarga.



Kami juga akan berusaha sedaya upaya untuk terus menyokong keluarga melalui fasa-fasa hidup yang penting, terutama mereka yang memerlukan lebih sokongan agar terus utuh dan kukuh.



Saya menggesa rakyat Singapura supaya berganding bahu dan bekerjasama dengan kami untuk menjadikan Singapura tempat tinggal yang hebat untuk keluarga kita dan untuk generasi akan datang.



  • Penulis Setiausaha Parlimen (Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga).


 "Kami terus menyokong keluarga dalam mengharungi setiap peringkat kehidupan, daripada peringkat sebelum berumah tangga kepada peringkat awal sebagai ibu bapa baru hingga tahun-tahun mencabar membesarkan anak remaja."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >