CATATAN

MINYAK: Esok masih cerah?

KRISIS minyak mencengkam ekonomi, tetapi ia juga mendetik pertanyaan - apakah komoditi hitam itu dapat kekal 'berkuasa' di masa hadapan?

Baru-baru ini, teman saya, bekas pengurus besar firma minyak, pernah memberikan gambaran malap masa depan industri itu.

Sejak berkecimpung hampir 30 tahun, beliau kini kurang yakin industri tersebut akan terus maju.

Menurutnya, minyak akan menjadi kurang diperlukan di masa hadapan kerana adanya teknologi canggih yang lebih mesra alam.

Kuasa tenaga alternatif seperti suria, angin, hidro, hidrogen dan biofuel pula bakal menjadi lebih dominan. Pengguna mudah memanfaatkannya kerana teknologi membenarkannya.

Teknologi jimat tenaga pula membolehkan mesin seperti kereta kurang bergantung kepada minyak. Bahkan kita sudahpun mempunyai kereta hibrid atau yang menggunakan bateri untuk bergerak.

Ini belum lagi kereta tanpa pemandu yang diusahakan Google.

Justeru, teman saya berpendapat krisis minyak bukan sahaja ekoran bekalan berlebihan, tetapi juga kerana bermulanya pengurangan penggantungan terhadap komoditi itu.

Kami bincangkan perkara ini akhir tahun lalu, tanpa menyangka harga minyak terus menjunam lebih 70 peratus bulan lalu. Akibatnya, pasaran kewangan merosot, ekonomi global kelam.

Pandangannya berasas dan ada benarnya, kerana peralihan kepada pengunaan tenaga alternatif sudah pun berlaku.

Bahkan, Perjanjian Paris menguatkan trend itu. Ia menggesa negara dunia supaya mengurangkan penggunaan hidrokarbon (komponen utama minyak dan gas) dan menggalakkan penggunaan tenaga baharu (renewable).

Namun, sejauh mana tenaga baharu itu bolah mengambil-alih minyak sebagai tenaga sepenuhnya, sukar untuk diramalkan.

Apa yang pasti ia tidak mungkin berlaku tahun depan atau tahun-tahun sesudahnya kerana peralihan mungkin mengambil masa yang lama.

Seperti kata seorang tokoh industri minyak dalam satu seminar mengenai industri itu baru-baru ini.

Minyak, katanya, diramal masih merupakan komponen tenaga yang amat penting sehingga menjelang 2035.

Encik Choo Chiau Beng, mantan ketua eksekutif Keppel Corp, sememangnya sudah masak dengan industri minyak dan gas.

Beliau sudah melalui jatuh bangun bersama industri itu, justeru tahu apa yang dikatakannya.

Menurutnya, minyak masih penting di masa hadapan kerana tenaga alternatif tidak dapat dimanfaatkan secara berterusan.

Ia sekejap ada, sekejap tiada. Untuk memanfaatkan tenaga suria misalnya, kita perlu ada matahari sepanjang hari, tetapi di Singapura matahari muncul 12 jam sahaja.

Kalau mahu menggunakan tenaga angin pula, perlu ada angin. Kalau tidak, kita tidak semudah memetik suis mendapatkan cahaya.

Tenaga hasil minyak sentiasa ada sepanjang masa, bahkan pembinaan tempat-tempat menyimpan tenaga alternatif masih bergantung pada sumber komoditi asli seperti plumbum dan zink.

Untuk menghasilkan kuasa hidrogen pula, kita masih tidak boleh lari daripada menggunakan kuasa elektrik. Dari sumber mana kuasa elektrik itu dihasilkan? Tentu sekali minyak.

Bahkan, industri minyak juga menjalani perubahan teknologi yang membolehkanya mencari dan menggali dengan lebih berkesan.

Beliau memberi contoh Keppel Corp yang sentiasa menjalani kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk terus berada di hadapan dalam industri tersebut.

Menurutnya, dunia masih mempunyai banyak negara membangun yang belum maju, dan mereka masih memerlukan minyak dan sumber asli bagi menghidupkan lampu dan menjalani kehidupan lebih baik.

Singapura pula mungkin berada dalam keadaan kekurangan bagi memanfaatkan tenaga alternatif. Kalau adapun, mungkin tenaga nuklear sebagai alternatif. Namun, kita masih memerlukan minyak.

Pasaran industri minyak sememangnya menjalani pasang surut. Ia kini tenat, tetapi tidak semestinya ia tidak boleh bangkit dan pulih.

Meskipun rentak peralihan dalam penggunaan tenaga alternatif mesra alam itu pesat, kita tidak boleh menolak pentingnya minyak.

Hakikatnya, sumber hitam itu masih mempunyai masa depan yang cerah, sekurang-kurang untuk beberapa dekad mendatang.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.