Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

SEMBANG BERSAMA USTAZ DR MOHAMMAD HANNAN HASSAN

Muslim perlu bina fikiran kritikal bagi nilai kesahihan berita

Jan 14, 2018 | 05:30 AM



SETIAP orang, apatah lagi Muslim, harus membina pemikiran kritikal dan tidak menerima bulat-bulat apa yang sampai atau disalurkan kepada mereka.



Pola pemikiran itu akan memboleh kita menilai sama ada maklumat atau berita itu betul sebelum diterima sebagai sahih atau disalurkan kepada orang lain.



Pada masa yang sama, ia harus diiring dengan hati yang hidup - menimbangkan dengan kerendahan hati, berlapang dada dan bersikap ihsan.



Pemikiran kritikal dengan hati yang hidup lagi cerdik ini penting dan memang dianjurkan Islam dalam mengharungi kehidupan, terutama dalam zaman yang dibayangi dengan pelbagai maklumat daripada media sosial dan Internet.



Hasilnya ialah ia membantu membentuk masyarakat yang rahmah dan penyayang.



Hal ini dijelaskan Timbalan Dekan Akademi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, semasa menerangkan tentang satu posting beliau mengenai pemikiran kritikal.



Kehidupan ini, ujarnya, dipenuhi dengan kepelbagaian pandangan dan orientasi pemikiran - ada sesuai dan ada yang tidak dengan konteks Singapura.



Isu dalam media sosial begitu rencam, merangkumi maklumat tidak tepat dan berita palsu.



"Walaupun usaha seperti meletakkan undang-undang tertentu dan menghalang seseorang daripada bercakap mungkin dapat membantu, ia tidak memadai.



"Yang jauh lebih mencabar ialah membangunkan sistem dalaman kita - sistem penilaian, pemikiran kritikal menilai perkara.



"Kita perlu ada kemampuan menilai secara kritikal, meskipun maklumat itu daripada golongan berpengaruh seperti agamawan," ujarnya.



Namun ini perlu diiringi dengan 'hati yang hidup' - ada perasaan kasih sayang dan sikap rahmah - yang akan membantu menjaga adab dalam berhujah, membetulkan keadaan atau menegakkan kebenaran.



"Kritikal sahaja tidak cukup. Hati yang hidup penting bagi menjaga kesatuan sosial," jelasnya.



Dr Hannan akur bahawa ramai mempunyai niat baik dalam menyampaikan atau menyalurkan maklumat atau berita, termasuk daripada golongan agamawan.



Beliau memetik contoh kiriman maklumat kononnya sebuah pasar raya menawarkan baucar $400 sempena ulang tahun tetapi ternyata ia tidak betul, walaupun niatnya baik.



"Kita harus teliti.



"Saya menganjurkan keluarga supaya menjadikan satu kaedah bahawa hukum asal daripada Internet ialah tidak sahih dan tidak betul, berbeza daripada hukum fikah yang menyatakan semua halal kecuali ada penjelasan menyatakan ia haram.



"Ini supaya kita berfikiran kritikal dan mengambil langkah memeriksa sumber dan mengesahkannya sebelum menerimanya sebagai betul dan berkongsi.



"Pendekatan itu penting supaya kita tidak membantu menyebarkan berita palsu yang kadangkala boleh membangkitkan emosi, sekalipun tujuannya baik tetapi boleh menimbulkan masalah," kata beliau.



Jika itu berlaku, ia boleh menimbulkan masalah seperti menjejas kesatuan sosial atau hubungan antara kaum.



Membentuk pemikiran kritikal



Dr Hannan berkata ia harus bermula daripada pendidik - ibu bapa, sekolah dan asatizah.



Menurutnya, dalam Al-Quran tidak ada kata nama 'akal', 'fikir' atau 'fikah'.



Semua yang berkaitan akal berbentuk kata kerja yang menganjurkan tindakan seperti "kenapa tidak berfikir".



"Masalahnya bukan kita ada akal atau tidak, tetapi sama ada kita berfikir atau tidak.



"Ia harus mula dengan pendidik, dan pendidik harus menggalakkan ini sebagai suatu yang sihat.



"Semua orang harus ada minda kritikal dan ia memerlukan ilmu.



"Namun darjah minda kritikal mungkin berbeza, seperti pemain bola dengan tahap kemahiran berbeza," jelas beliau.



Masyarakat Islam yang berfahaman sunni menerima bahawa semua orang tidak maksum (sempurna) kecuali para nabi.



"Permasalahan bukan maksum atau tidak, tapi soal adab - bagaimana kita bersifat kritikal.



"Kita harus ada rasa rendah hati dan sedar bahawa pemikiran kita juga boleh tertakluk pada pemikiran kritikal orang lain.



"Sebagaimana orang lain tidak maksum, kita juga tidak maksum. Kita juga boleh buat silap. Kita mungkin belum menemui dalil atau fakta yang ditemui orang lain.



"Namun kita harus biasakan pemikiran kritikal sehingga terbentuk secara semula jadi," kata beliau.



Bertindak wajar



Oleh kerana agama amat dekat di hati dan sensitif, Dr Hannan berkata ada pihak yang menggunakan agama untuk menghambat hati, sama ada untuk tujuan perniagaan bagi mempromosi produk air atau makanan, atau tujuan politik.



Beliau memberi contoh ada yang mendakwa memakan makanan tertentu yang diiring dengan ayat suci boleh meninggalkan kesan tertentu, seperti menjadi bijak.



"Kalau begitu, masalah ummah mudah diselesaikan.



"Ia tidak semudah itu. Kita harus berfikiran kritikal dan faham bahawa bukan begitu sahaja penyelesaiannya. Ada faktor lain dan usaha yang perlu dibuat," jelas beliau.



Menggilap potensi



Semua manusia berpotensi dan boleh berfikir secara kritikal kerana ia dianjurkan Al-Quran.



Jika ada orang ketuk pintu rumah minta kad pengenalan kononnya mahu memberi hadiah atau pindahkan wang dan sebagainya; atau orang menggunakan agama untuk menambat hati, kita tidak mudah terpedaya.



Kita perlu membentuk dan menggilap tabiat itu, kata Dr Hannan.



Semua orang ada hak membuat analisis berdasarkan ilmu atau pengetahuan yang ada, tetapi harus ada kesedaran, kerendahan hati, adab dan bersangka baik.



Ia penting sehingga Singapura pernah mengetengahkan pendekatan konsep thinking school, learning nation.



Pembelajaran matematik, jelasnya, tidak menjadikan semua orang pakar matematik tetapi ia melatih proses pemikiran.



Dalam tradisi Islam, terdapat bidang ilmu mantik (logik) yang membina fikiran kritikal.



"Pemikiran kritikal mesti diiring dengan hati yang hidup... agar timbul masyarakat yang rahmah dan penyayang.



"Di tengah-tengah kepelbagaian, walau kita tidak setuju, kita masih tetap ada rasa kasih sayang, ingin melihat kebaikan pada orang lain dan berlapang dada, bukan menjatuhkan," kata beliau.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >