Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Pentingnya kekalkan kesantunan Melayu

Jun 11, 2017 | 05:30 AM



Yang kurik kundi,

Yang merah saga;

Yang baik budi,

Yang indah bahasa.



KATA-KATA indah di atas jelas menggambarkan betapa budi bahasa amat dituntut dalam masyarakat Melayu kita.



Kesantunan amat dekat dengan jiwa orang Melayu, yang sememangnya lembut dan halus. Setiap domain kehidupan orang Melayu diwarnai dengan tatatertib, tidak kira sama ada hubungan tersebut melibatkan ahli keluarga terdekat ataupun masyarakat secara umum, dari rumah sehinggalah ke majlis keramaian.



Kesantunan Melayu merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk menggunakan bahasa yang baik, sopan dan beralas serta memaparkan peribadi mulia dan rasa hormat terhadap orang lain.



Orang yang mengakui dirinya mempunyai jati diri Melayu sewajarnya mempunyai akhlak yang sempurna - tingkah laku baik dan tutur kata yang sopan.



Saya teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok. Dalam adegan itu, Sudin ditegur oleh seorang jaga yang berbangsa India kerana memanggilnya dengan panggilan 'Oi', yang dianggap kurang sopan.



Jaga tersebut melahirkan kekesalannya terhadap Sudin yang walaupun berbangsa Melayu tidak mempunyai adab.



Kesantunan dalam bahasa Melayu jelas dapat dilihat, contohnya, melalui susunan hormat dalam penggunaan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri digunakan bagi merujuk kepada diri seseorang.



Terbahagi pada tiga, kata ganti nama diri boleh merujuk kepada diri sendiri, pendengar atau orang yang dicakapkan. Bagi setiap kata ganti nama diri pula, terdapat penggunaan kata tertentu.



Contohnya, apabila bercakap dengan orang yang lebih tua, kita menggunakan 'saya' bukan 'aku' kerana penggunaan 'aku' itu dianggap tidak hormat.



Apabila kita merujuk kepada orang kenamaan atau orang yang dihormati dalam masyarakat pula, kita menggunakan 'beliau' bukan 'dia'.



Dalam masyarakat Melayu, amalan membongkokkan badan sedikit apabila ingin lalu di hadapan orang yang lebih tua daripada kita menjadi satu kebiasaan.



Amalan yang diwarisi secara turun-temurun ini melambangkan penghormatan orang muda terhadap orang yang lebih tua.



Namun, amalan seperti ini kurang dapat kita lihat hari ini, terutamanya dalam kalangan generasi muda kita. Saya berharap perkara tersebut terjadi akibat kurangnya kesedaran terhadap amalan hormat ini dan bukan kerana pengaruh budaya Barat yang mencemarkan pemikiran generasi muda kita.



Apabila makan bersama, biasanya kita hanya mula makan apabila dipelawa oleh tuan rumah atau dimulakan oleh orang yang lebih tua.



Semasa makan pula, kita tidak seharusnya mencapai sesuatu lauk yang jauh dari kita.



Cara yang sopan ialah dengan menghulurkan lauk yang berdekatan dengan kita kepada orang lain. Ini akan memberi isyarat untuk orang tersebut untuk menghulurkan lauk yang berdekatan dengan mereka sebagai tukar ganti.



Selain itu, masyarakat Melayu juga amat menitikberatkan maruah diri dan maruah orang lain. Kita ditegah menceritakan keburukan diri sendiri atau orang lain.



Konsep 'usah membuka aib orang' dalam masyarakat Melayu mencerminkan betapa orang Melayu merasakan penting untuk memelihara air muka bukan setakat menjaga air muka sendiri, malahan termasuk air muka keluarga, sahabat-handai dan orang- orang lain dalam masyarakat.



Sering kali, dalam hidup bermasyarakat, hati dan perasaan perlu dijaga demi kemaslahatan umum.



Kesantunan dalam masyarakat Melayu juga boleh dilihat melalui cara orang Melayu berpakaian. Pakaian tradisional seperti baju Melayu dan baju kurung melambangkan kesopanan masyarakat Melayu.



Pakaian tradisional orang Melayu mementingkan penjagaan aurat. Selain itu, baju kurung yang dipakai oleh wanita Melayu mempunyai pengertian yang lebih mendalam. Dengan mengenakan pakaian tersebut, si pemakai terkurung - haruslah dia menjaga tingkah-laku dan adabnya serta menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang kurang sopan.



Secara peribadi, disebabkan nilainya yang tinggi, kesantunan Melayu menjadi lebih relevan dalam konteks kehidupan hari ini, yang kian dibanjiri dengan pengaruh-pengaruh budaya asing, yang kadangkala membuat kita terpesong atau terlupa akan tingginya nilai ketimuran kita.



Maka itu, kesantunan Melayu perlu diberi perhatian, dipraktikkan dan diraikan agar menjadi kebanggaan masyarakat Melayu.



Saya percaya ketamadunan sesebuah masyarakat bukan sahaja diukur dengan kemajuan mereka dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, malah dengan sahsiah mereka juga.



Pastinya, dengan menjadikan kesantunan sebahagian daripada kehidupan seharian kita, kita dapat 'mentamadunkan' masyarakat Melayu kita.



  • Penulis Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >