Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Sejarah beri pengajaran cara jalani hidup secara harmoni

Feb 11, 2018 | 05:30 AM



FAHAMI sejarah Islam dengan lebih mendalam dan mengambil pelajaran daripadanya untuk melangkah ke depan dan hidup harmoni dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.



Mesej ini disampaikan oleh Eksekutif Kanan Pusat Harmoni, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, dalam sesi sembang mengenai 'Hubungan Antara Agama Di Ambang Moderniti: Pengalaman Andalusia' (Interfatih Realtions at the Brink of Modernity: The Andalusian Experience) di Pusat Harmoni.



Sesi itu merupakan sesi pertama tahun ini di bawah Kumpulan Sembang Harmoni (HCC) - sebuah wadah bagi penggiat antara agama berkumpul dan berkongsi sumber dan pengalaman dalam isu-isu yang berkaitan dengan agama. Setiap tahun, Pusat Harmoni menganjurkan tiga sesi sembang.



Dalam sesi Rabu lalu (7 Februari) sempena Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia pada awal Februari, Encik Mohamed Imran berkongsi pengamatan dan pengetahuan yang ditimba semasa kembara ke Andalusia (selatan Sepanyol) tahun lepas.



Menurutnya, kehadiran Islam di Andalusia selama hampir 800 tahun telah membentuk peradaban tinggi yang turut memberi kesan terhadap kebangkitan Eropah di zaman moden.



"Islam bukanlah agama yang asing di Eropah tetapi menjadi sebahagian daripada identiti Eropah yang kini dilupakan oleh masyarakat Eropah sendiri," ujar beliau.



Hubungan antara agama, khususnya Kristian-Muslim, di zaman itu terkait dengan kondisi politik di mana empayar Islam dan Kristian saling bermusuhan.



Semasa Muslim berada di puncak kuasa misalnya, terdapat segelintir penganut Kristian yang tidak senang kerana berasa identiti Kristian terhakis dan dipinggir.



Sebahagian mereka menentang secara ekstrem, seperti kes 48 pejuang Cordoba yang dihukum kerana murtad dan merendahkan Nabi.



Maka timbul prejudis dan permusuhan antara umat.



Ia serupa dalam konteks moden dengan peralihan hubungan kuasa, semacam hegemoni peradaban Barat, menjadikan sebahagian Muslim berasa identiti Islam terhakis lalu mengambil pendekatan ekstrem dan malah ganas, untuk menegaskan semula identiti mereka.



"Kita tidak mahukan ini.



"Kita mahukan cara lebih baik dalam menangani ketidakseimbangan hubungan menerusi dialog dan kerjasama, seperti yang pernah berlaku di Andalusia di mana Muslim, Yahudi dan Kristian bekerjasama untuk membangunkan peradaban seperti yang kita tahu sebagai peradaban Andalusia," kata beliau.



Menurutnya, walaupun permusuhan politik wujud, masyarakat Muslim, Kristian dan Yahudi di zaman itu tetap berkongsi budaya sehingga identiti masyarakat beragama saling terkait antara satu sama lain.



Terdapat aspek kehidupan harian bersama - merangkumi makanan, muzik, sastera, seni bina dan malah perkahwinan dan bahasa - yang membentuk kisah positif yang perlu digali.



"Pertukaran budaya yang kaya ini terjadi kerana wujudnya konsep 'convivencia' (kehidupan bersama)," jelasnya.



"Jika kita faham konteks sejarah, kita tidak akan terjebak dengan prejudis dan permusuhan antara agama yang wujud di zaman itu," jelas beliau lagi.



Encik Mohamed Imran juga berkata kita juga harus merenung sikap ingin mendominasi agama dan penyatuan negara dan agama kerana konteks hari ini berbeza daripada zaman pramoden.



"Di zaman moden yang berasaskan sistem negara-bangsa yang juga bersifat majmuk, setiap masyarakat beragama harus bebas mempraktikkan agama masing-masing dan diatur secara saksama dan setara bagi mengelak konflik agama seperti yang terjadi pada waktu Perang Salib dan Reconquista di Sepanyol," kata Encik Mohamed Imran.



Menekankan perlunya memahami dan belajar daripada sejarah, beliau menambah bahawa masyarakat Islam tidak harus berkhayal dengan kegemilangan masa lalu tetapi merenung bagaimana masyarakat Islam di zaman itu boleh berkembang maju dan kenapa masyarakat masa kini tidak mempunyai pencapaian yang sama.



Antara sebab, jelasnya, ialah mereka lebih yakin, lebih terbuka terhadap ilmu pengetahuan daripada sumber berlainan.



"Mungkin, kita berasa rendah dan ada mentaliti berasa terkepung bahawa ada pihak yang cuba menekan kita hingga kita hilang keyakinan untuk bersikap terbuka.



"Keterbukaan adalah penting bagi kita membangunkan diri.



"Muslim zaman lalu membina peradaban tinggi kerana mereka mempunyai sikap terbuka terhadap ilmu pengetahuan, budaya dan belajar daripada situ.



"Kita harus membawa kembali keterbukaan itu daripada berasa diri sebagai masyarakat yang terkepung," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >