Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Skim pelengkap keupayaan asatizah hadapi cabaran masa kini

Idea asal skim dicetus pada 1994 bagi selaras pembangunan asatizah secara berstruktur, ajar ilmu agama dalam konteks S'pura
Oct 01, 2016 | 05:30 AM



Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) menjadi mandatori mulai 1 Januari tahun depan. Namun masih ada lagi 20 peratus golongan asatizah di sini yang belum mendaftar untuk skim ini. Apakah cabarannya untuk menarik golongan ini, tujuan melaksanakannya, dan manfaat jangka panjang bagi asatizah yang diiktiraf di bawah ARS? Perbincangan meja bundar Berita Harian mengenai ARS mendapatkan perinciannya. ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan SHAHIDA SARHID (sshahida@sph.com.sg) melaporkan.



 



SKIM Pengiktirafan Asatizah (ARS) bukan diadakan semata-mata kerana didorong keprihatinan terhadap pengganasan dan fahaman pelampau kini, kata Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.



Malah, permintaan bagi skim tersebut wujud lama sebelum peristiwa serangan pada 11 September (9/11) di New York, Amerika Syarikat, 15 tahun lalu.



Idea bagi ARS itu dicetuskan pada 1994 oleh Allahyarham Ustaz Haji Abu Bakar Hashim, yang ketika itu presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), dengan hasrat pembangunan asatizah dapat dijalankan dengan lebih berstruktur dan pengajaran agama dapat disampaikan sejajar dengan konteks di Singapura.



Dalam sesi perbincangan meja bundar Berita Harian mengenai ARS baru-baru ini, Dr Fatris berkata ancaman pelampau itu muncul di seluruh dunia, termasuk di Singapura, lama selepas skim itu dilaksanakan.



Oleh itu, selain memainkan peranan memastikan asatizah berkelayakan dan ajaran agama juga boleh dipertanggungjawabkan, ARS yang akan dijadikan mandatori mulai 1 Januari 2017 juga memainkan peranan menangani risiko dan pemikiran pengganasan di kalangan masyarakat, selaras dengan perkembangan dunia hari ini.



Sesi perbincangan meja bundar itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Ali Haji Mohamed; pengasas Safinah Institute, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid; dan seorang ibu yang ketiga-tiga anaknya mengikuti kelas madrasah sambilan aLIVE, Cik Hartini Inawati Hamzah.



Dalam pada itu, Ustaz Ali menekankan bahawa ARS bukan bertujuan menyekat atau membebankan asatizah dan masyarakat tetapi diadakan demi kebaikan semua pihak.



"Sebagai contoh, kita mempunyai banyak fahaman namun kita tidak memberi (tumpuan) kepada sesuatu fahaman.



"Malah, apa sahaja fahaman mereka nak jalankan, mereka boleh jalankan tetapi sudah tentunya harus mengikut lunas Islam yang sebenar dan apa yang hendak disampaikan tidak membawa sesuatu yang tidak baik kepada yang lain," katanya.



Tambahnya, skim itu juga mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa yang ingin anak mereka belajar agama dengan bimbingan yang betul.



Ini kerana ARS melengkapi bukan sahaja asatizah dengan ilmu agama malah kemahiran untuk menyampaikannya dalam konteks Singapura yang majmuk, ujar Ustaz Ali.



Bagi Cik Hartini, seorang penolong pentadbiran, isu ARS ini amat penting kepada ibu bapa sepertinya bagi memastikan anak mendapat bimbingan agama dengan sempurna.



"Saya tidak akan hantar anak saya ke sesuatu tempat yang saya rasa asatizahnya tidak diiktiraf atau tidak berkelayakan.



"Jadi saya lebih yakin kalau hantar mereka ke kelas di masjid umpamanya kerana saya tahu anak saya diajar mengikut garis panduan yang ditetapkan," ujarnya.



ARS sekarang dijalankan secara sukarela namun sekitar 80 peratus asatizah setempat iaitu lebih 1,800 asatizah menyertai skim itu kini.



Menurut Dr Fatris, segelintir asatizah yang belum menyertai ARS termasuk mereka yang berkelayakan dan berkelulusan universiti.



Selain itu, ada juga anggota masyarakat yang tidak menganggap ARS itu sebagai satu keperluan yang mendesak dan merasakan bahawa mereka boleh membuat keputusan sendiri misalnya dengan meminta jasa baik individu yang mereka kenali mempunyai kelulusan tinggi dalam bidang agama untuk membimbing mereka dalam hal agama di rumah, katanya.



"Tetapi apabila kita berbincang tentang tahap selanjutnya... bagaimana kita nak meyakinkan asatizah dan masyarakat bahawa ini bukan satu langkah untuk menyekat, mengawal dengan ketat dalam bentuk negatif, atau satu kawalan yang akan menyebabkan terbantutnya proses pendidikan Islam.



"Antara cabaran ialah agar masyarakat dan asatizah yang belum mendaftarkan diri mempunyai keyakinan dan kepercayaan bahawa ini satu perkara yang perlu," kata Dr Fatris sambil menambah bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk ARB bagi menangani cabaran itu.



Beliau turut menekankan bahawa selain bertujuan menjadi panduan agar masyarakat mendapat bimbingan agama hanya daripada asatizah yang layak, ARS juga mempunyai matlamat mempertingkat kemahiran dan pengetahuan asatizah menerusi pelbagai program latihan.



Bagi Ustaz Tarmizi pula, golongan asatizah daripada sektor pendidikan Islam swasta memandang langkah menjadikan ARS mandatori itu sebagai sesuatu yang bermanfaat dan bukan cabaran.



"Walaupun... terdapat semakin ramai asatizah yang berkelayakan tinggi, tetapi pastinya kelayakan dan asatizah yang bertauliah itu satu perkara dan satu hal lagi ialah mutu dan kemampuan mereka untuk menyampaikan (ilmu) dengan baik bukan sahaja dari segi kemahiran penyampaian malah pemahaman mereka tentang konteks negara ini.



"Saya pasti sebagai pusat swasta, kami pastinya tidak inginkan yang tidak baik untuk pelajar kami dan sudah pastinya inginkan yang terbaik untuk mereka," ujarnya.



Meskipun akur akan beberapa cabaran yang mungkin wujud dalam peringkat awal menjadikan ARS mandatori, Ustaz Tarmizi percaya pelbagai program yang akan dijalankan seiring dengannya akan menghasilkan jauh lebih banyak manfaat dalam jangka masa panjang.




"Saya ingin tekankan bahawa kebimbangan terhadap fenomena pengganasan atau pemikiran ekstrem bukan satu-satu faktor yang mendorong untuk adanya skim ARS.



Permintaan telah ada lama sebelum peristiwa 9/11.



Bila dalam pelaksanaannya, kebetulan trend ekstremisme muncul di Singapura dan dunia.



Ia mempunyai dua peranan.



Satu peranan dari sudut memastikan guru agama berkelayakan, ajaran agama boleh dipertanggungjawabkan.



Dalam masa yang sama diperlukan juga untuk menangani risiko pengganasan dan pemikiran pengganasan di tengah-tengah masyarakat."



- Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.



"Salah satu faedah skim ARS ialah untuk mengekang ekstremisme.



Golongan ekstremis ini bukan orang yang hanya dipanggil untuk berjihad perang.



Tetapi ekstrem juga dalam menyampaikan agama.



Jadi ini yang kita perlu kawal juga. Apa yang kita katakan bahawa kita mempunyai asatizah yang ada kelulusan baik dan tinggi yang datang daripada institusi luar.



Untuk menerapkan ajaran-ajaran yang mereka terima, yang tidak sesuai dengan keadaan Singapura ini, sudah tentu kita tidak boleh terima. Ini akan membawa lebih masalah atau mereka rasakan ajaran mereka sahaja yang betul, yang lain semua salah.



Ini dinamakan ekstrem. Kalau orang katakan cara dia sahaja yang betul, yang lain salah, ini akan dijadikan masalah dalam masyarakat."



- Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Ali Haji Mohamed.



"Walaupun semakin ramai asatizah yang berkelayakan tinggi, tetapi pastinya kelayakan dan asatizah yang bertauliah satu perkara dan satu lagi ialah kualiti dan kemampuan mereka untuk menyampai dengan baik bukan sahaja dari segi kemahiran penyampaian malah pemahaman mereka tentang konteks negara Singapura ini."



- Pengasas dan Ketua Eksekutif pusat penyedia pendidikan Islam swasta Institut Safinah, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.



"Pendidikan Islam yang asas seperti solat memang sudah diterapkan dari kecil.



Jadi saya menghantar anak-anak saya ke madrasah separuh masa supaya anak saya lebih memahami ajaran ilmu agama dengan lebih mendalam.



Mana-mana yang mungkin saya sebagai ibu, tidak begitu fasih seperti ilmu fiqah, tauhid atau sejarah, jadi apabila menghantar anak-anak saya ke pusat-pusat seperti ini di mana asatizahnya bertauliah dan berkelayakan membuat saya rasa lebih rasa yakin daripada saya menghantar anak saya ke sesuatu tempat yang saya sendiri tidak yakin sama ada betulkah ajaran agama ini?



Saya tidak mahu ragu-ragu."



- Ibu tiga pelajar kursus aLive, Cik Hartini Inawati Hamzah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >