PANDANGAN: PEMILIHAN PRESIDEN BARU MYANMAR

Tabir baru hari muka Myanmar

MYANMAR kini jelas menyingkap lembaran baru sejarahnya.

Buat kali pertamanya sejak 1962, demokrasi dipulihkan, dengan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), yang menang besar dalam pilihan raya umum pada 8 November lalu, membentuk pemerintah awam di ibu kota pentadbiran Naypyidaw.

Namun, kehadiran pihak tentera (tatmadaw) secara automatik mengisi 25 peratus kerusi parlimen - menurut syarat perlembagaan - jelas menunjukkan sukarnya bagi laluan NLD.

UJIAN PERLEMBAGAAN

Namun, halangan itu tidak sedikit pun mematahkan pengharapan Cik Aung San Suu Kyi, 70 tahun, pemimpin utama NLD.

Perlembagaan Myanmar menghalang tokoh yang mempunyai anak atau suami dari luar negara - jelas ditujukan kepadanya. Oleh sebab itu, peluangnya menjadi presiden Myanmar memang terjejas.

Akhirnya, Encik Htin Kyaw, 69 tahun, seorang ahli siasah veteran dan akrab dengan Cik Suu Kyi, dipilih dalam pengundian yang mendebarkan lalu dirasmikan sebagai presiden pada 30 Mac lalu.

Ketika berkempen, Cik Suu Kyi berikrar bahawa beliau tetap akan menentukan laluan Myanmar.

Selain mempunyai presiden eksekutif daripada NLD, Cik Suu Kyi mengisi tiga jawatan penting - selaku penasihat negara yang sebenarnya bertaraf perdana menteri, menteri ehwal luar dan menteri di Pejabat Presiden.

Yang pasti, beliau perlu bekerjasama dengan tatmadaw.

Mantan Presiden Thein Sein, yang baru berundur dan berbakti besar 'merubah' watannya, telah meninggalkan pesan tegas - bahawa tentera masih menentukan masa depan Myanmar.

Hakikatnya, tentera Myanmar masih menguasai tiga perempat kementerian yang menyangkut keselamatan.

Parlimen Myanmar terdiri daripada dua dewan: atas dan rendah.

Cik Suu Kyi telah menggunakan pengaruhnya bagi memastikan tokoh politik ternama yang mewakili minoriti besar seperti Kachin, Karen dan Rakhin juga hadir di parlimen.

Sayangnya, golongan daif lagi tertindas yang mendapat sorotan dunia, kaum Rohingya yang beragama Islam, masih dipinggirkan di Myanmar.

"Mereka yang dipilih itu oleh parlimen memancarkan usaha berbaik-baik," kata Cik Suu Kyi, sambil menambah bahawa gerakan kaum minoriti yang mendukung NLD ketika detik-detik sukar lalu.

SENGKETA KAUM

Sengketa kaum telah mewarnai Myanmar yang dulunya dipanggil Burma, sebuah jajahan British, sejak merdeka pada 1947.

Ayah Cik Suu Kyi, Jeneral Aung Sann, yang dianggap 'wira negara', telah dibunuh pihak tentera yang menolak pemerintahan demokratik. Namun, tentera hanya dapat menerajui negara itu selepas rampasan kuasa pada 1962.

Kaum majoriti Barma (68 peratus penduduk dan nama lama Myanmar iaitu Burma sempena mereka) memang sukar mahu berkongsi kuasa dengan kaum minoriti. Hal ini diperkuat dengan sikap tentera yang tegar sejak zaman Jeneral Ne Win sehingga Than Shwe.

Demi menyantuni kaum minoriti, Cik Suu Kyi mendorong NLD supaya memberikan pengiktirafan dan layanan sama rata. Antara pilihan NLD ialah tokoh Kachin daripada Parti Kesatuan Perpaduan dan Pembangunan (USDP), Encik T. Khun Myat, yang menjadi timbalan Speaker Dewan Rendah. Beliau dituduh bersubahat dengan tetuan dadah ketika memimpin USDP, sebuah kumpulan separa tentera. Namun, beliau menafikan keras dakwaan tersebut.

TAMBAT KEYAKINAN

Selain memastikan perimbangan antara kaum majoriti dengan minoriti bagi zaman demokrasi Myanmar, Cik Suu Kyi akan memerlukan sokongan dunia, terutama Asean.

Cik Suu Kyi, penerima Hadiah Nobel bagi Keamanan pada 1992, kini mengatur siasah dengan menyantuni tentera. Ini dilakukan demi memastikan proses ambil alih kuasa yang mulus.

Umumnya, NLD mendapat dwisokongan genting, iaitu sami Buddha yang berhaluan sederhana dan golongan elit-intelektual.

Namun, terdapat gerakan sami Buddha yang radikal dan benci akan golongan Rohingya yang beragama Islam atau minoriti Kristian seperti Kachin.

Kebanyakan ahli parlimen NLD memang masih mentah dalam soal mentadbir negara. Ini bermakna NLD perlu berhati-hati melatih dan membentuk barisan pimpinan yang cekap, bersih rasuah dan mengutamakan amanah rakyat serta suasana berbilang kaum.

"Kami menjangka perubahan besar bagi negara kami," kata Encik Soe Paing Htay, wakil NLD bagi kota Myeik. "Tetapi, kami belum diberitahu apakah rancangan parti kami. Inilah halangan perlembagaan yang perlu dipinda."

NLD pimpinan Cik Suu Kyi pernah memenangi pilihan raya umum 1990, tetapi dihalang oleh tentera. Cik Suu Kyi dan ramai pemimpin NLD disumbat ke dalam penjara.

Baru-baru ini, ratusan tahanan politik telah dibebaskan.

BAKAT DAN AMANAH

Pada usia lebih 70 tahun, Cik Suu Kyi, seorang balu, menghadapi cabaran besar mengisi jangkaan luar biasa 52 juta rakyat nusanya. Bertubuh kurus dan lemah, beliau dikatakan cepat penat.

Myanmar yang kaya hasil mahsul dan murah kos buruhnya kian dibuka kepada pelaburan asing dan dianggap watan 'emas'.

Namun, pembangunannya perlu tangkas ditangani agar tidak menimbulkan masalah sekitaran sehinggalah perampasan tanah rakyat akibat perundangan yang tidak jelas serta rasuah.

Menurut perkiraan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia, potensi Myanmar cukup besar. Cik Yanghee Lee, pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Myanmar, yakin jika hak asasi rakyat terpelihara, Myanmar boleh berjaya.

Jelas, Cik Suu Kyi dan angkatannya tidak mampu gagal.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.