Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Gempa Maghribi: Palang Merah S’pura, pemerintah masing-masing ikrar AS$50,000

Sep 10, 2023 | 06:07 PM



Palang Merah Singapura (SRC) mengikrar sejumlah AS$50,000 ($68,000) sebagai bantuan kemanusiaan untuk menyokong usaha bantuan berterusan oleh Bulan Sabit Merah Maghribi (MRC) berikutan gempa bumi yang menelan lebih 2,000 nyawa di Maghribi pada Jumaat.

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud pada skala Richter itu melanda kawasan pergunungan 72 kilometer barat daya bandar pelancongan Marrakesh, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.


Lebih 2,000 orang terbunuh setakat ini, kata pihak berkuasa pada Sabtu, ketika perkhidmatan kecemasan dan tentera bergegas untuk sampai ke perkampungan pergunungan terpencil di mana mangsa masih dikhuatiri terperangkap.


Pemerintah Singapura juga akan menyumbang AS$50,000 untuk menyokong usaha mengumpul dana awam SRC ke arah krisis kemanusiaan, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada Ahad.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, juga telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Maghribi, Encik Nasser Bourita, untuk mengucapkan takziah di atas gempa yang berlaku itu.

Dalam surat itu, beliau melahirkan rasa sedihnya atas kehilangan nyawa yang tragis dan kerosakan yang timbul susulan gempa bumi di bandar Marrakesh dan kawasan sekitarnya.

“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga mereka yang terjejas akibat bencana itu. Saya mendoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh. Ingatan dan doa kami bersama rakyat Maghribi sewaktu tempoh sukar ini,” tulis Dr Balakrishnan.

MFA menambah pihak kementerian telah menghubungi warga Singapura yang berdaftar secara elektronik di kawasan yang terjejas. Pada masa ini tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang terjejas akibat bencana itu, tambahnya.

Dalam satu kenyataan berasingan, SRC berkata bahawa ia telah mengaktifkan khidmat Pautan Penyatuan Keluarga, yang boleh membantu penduduk Singapura mencari ahli keluarga terdekat mereka yang mungkin terjejas dan yang mungkin sukar dihubungi.

Pihak MRC sedang menyelaras usaha bantuan secara rapat dengan pihak berkuasa di negara itu untuk menghantar barangan bantuan segera kepada masyarakat yang terjejas, kata SRC.

Bantuan yang diberi termasuk bantuan kecemasan, pemindahan, pengangkutan mangsa yang cedera ke hospital dan sokongan psikologi. Sukarelawan terlatih bantuan kecemasan dan paramedik juga telah dikerahkan ke kawasan terjejas untuk memberikan bantuan kecemasan segera kepada mereka yang cedera.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah juga telah mengerahkan unit tindak balas kecemasan untuk membantu dari segi sanitasi air dan penjagaan kesihatan.

“Kami amat berdukacita dengan kehilangan nyawa dan kecederaan, serta kerosakan harta benda dan mata pencarian, yang timbul daripada bencana yang dahsyat itu. Kami berhubung dengan Persatuan Kebangsaan yang berkait dengan kami dan kami akan terus memantau dengan teliti perkembangan bencana ini dalam beberapa hari mendatang, kata Setiausaha Agung dan Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >