Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

LALUAN SG-M'SIA DIBUKA TANPA KUARANTIN

Harapan peniaga JB agar perniagaan rancak semula

Apr 01, 2022 | 05:30 AM



PENIAGA di seberang tambak nampaknya boleh menjangkakan kemungkinan penjualan lebih rancak - khususnya di bulan Ramadan - dengan pembukaan semula sempadan darat di antara Singapura dan Johor hari ini.



Menurut beberapa persatuan perniagaan, pembukaan semula sempadan darat itu menjadi pemangkin dan pendorong bagi para peniaga yang sedang membuat persiapan untuk berjualan semasa Ramadan.



Namun, di tengah-tengah keghairahan menyambut kepulangan pelanggan Singapura ke pangkuan, ada peniaga tetap berhati-hati dalam melakukan persediaan dan menjangkakan permintaan.



Ini kerana mereka percaya ia akan mengambil masa lebih lama untuk keadaan kembali sediakala memandangkan ada warga Singapura yang masih berwaspada tentang pandemik.



Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian Malaysia, pembukaan semula sepenuhnya pergerakan darat di antara kededua negara dijangka menjadi pemangkin kukuh dalam pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.



Pembukaan semula sempadan darat akan merangsang dagangan luar dan pekerjaan yang kemudiannya menyumbang kepada pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar, anggaran di antara 5.5 peratus dengan 6.5 peratus.



Menyahut sentimen ini, Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Encik Muhammed Farhan Basheer Ahamed berkata masyarakat perniagaan dan penyedia perkhidmatan di Johor khususnya di Johor Bahru, selaku bandar paling hampir dengan Singapura, sangat mengalu-alukan kemasukan semula pelancong asing termasuk rakyat Singapura mulai hari ini.



Sebelum pandemik, sekitar 415,000 orang menyeberangi pusat pemeriksaan di Tuas dan Woodlands setiap hari.



"Sudah semestinya, pembukaan sempadan khususnya Malaysia-Singapura akan mendorong kemasukan semula ribuan rakyat republik itu ke negara ini, setiap hari.



"Kehadiran mereka sekali gus membawa masuk hasil negara menerusi transaksi apabila masing-masing berurusan termasuk di restoran, bengkel serta pusat aksesori dan mencuci kereta, membeli pakaian, menginap di hotel, mengisi minyak petrol mahupun makan di gerai serta warung kesukaan mereka.



"Kehadiran pelancong, khususnya warga Singapura akan menghidupkan dan merancakkan semula hampir semua kegiatan ekonomi seperti dalam sektor peruncitan, pelancongan serta perkhidmatan di Johor Bahru yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19, sejak lebih dua tahun lalu," ujar Encik Muhammad Farhan.



Justeru, menurut beliau, pihak DPMM Johor berharap, hasil pendapatan jualan semua aktiviti perniagaan dan perkhidmatan itu akan meningkat beberapa peratus pada peringkat awal mulai 1 April ini dan terus meningkat.



Kata Encik Muhammad Farhan, mentelah lagi, para peniaga sedang bersiap sedia sempena kedatangan bulan Ramadan beberapa hari lagi.



"Oleh itu, persiapan dibuat untuk menerima kunjungan pelanggan dari Singapura yang pasti akan membeli pelbagai juadah berbuka puasa selain membeli kuih-muih, kek serta pakaian bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," tambahnya.



Agensi berita Malaysia telah melaporkan bahawa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah meluluskan sekitar 44 lokasi bazar Ramadan dan empat lokasi bazar Aidilfitri yang melibatkan 2,817 petak niaga di sekitar Johor Bahru untuk tahun ini.



"Jumlah itu adalah lebih banyak berbanding tahun lalu. DPMM Johor percaya pertambahan jumlah lokasi dan lot bazar ini antara lain turut didorong oleh pembukaan sempadan negara dengan Singapura," terang Encik Muhammad Farhan.



Sementara itu, peniaga seperti pemilik Miltiqa Cookies & Cake, Cik Salina Badros, melahirkan rasa gembira dengan pembukaan semula sempadan.



Namun beliau yang berjualan di Pasar Tani Datin Halimah, berkongsi bahawa persiapan yang dibuat sederhana dan tidak berlebihan.



Ini meskipun sudah ada pelanggannya dari Singapura yang ghairah untuk kembali ke kedainya. Sebelum pandemik, lebih 70 peratus pelanggannya dari seberang tambak.



"Apabila diumumkan pembukaan semula sempadan sahaja, sudah ada pelanggan kami dari Singapura yang mesej dan ghairah mahu ke bertemu di kedai nanti. Memang ramai pelanggan yang gembira dengan berita ini."



"Tapi bagi pihak kami, persiapan kami seperti biasa. Walau gembira, kami masih berhati-hati dan tidak mahu terburu-buru membuat tempahan barangan yang terlalu banyak.



"Sebab walaupun dah buka sempadan, belum tahu semua pelanggan Singapura akan masuk," ujarnya.



Bagi sesetengah peniaga pula, mereka berpendapat pengumuman itu seharusnya dibuat lebih awal agar perniagaan dapat membuat persiapan lebih rapi dalam menyambut pelanggan khususnya bagi Ramadan.



Antara mereka ialah Encik Roslan Harun, pemilik butik baju Lan Collection, yang dihubungi pelanggan Singapura dan mahu menempah serta membeli pakaian sejurus selepas pengumuman itu.



"Saya beritahu mereka supaya hubungi saya sebelum datang ke butik sebab saya tidak siapkan stok pakaian lebih.



"Sebab masa agak suntuk untuk saya siapkan stok tambahan untuk pelanggan Singapura kerana pengumuman itu agak mendadak.



"Saya pun tidak dapat buat persiapan tambahan kerana ramai juga pelanggan di Johor ini yang menempah kerana kita di sini pun ghairah dapat beraya tahun ini," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >