Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Scoot ambil langkah tangani tekanan kos, tambah pendapatan

Mar 08, 2024 | 03:23 PM



Memandangkan terbatasnya cara mengurangkan kos, Scoot – cabang bajet syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) – akan berusaha meningkatkan pendapatan daripada penjualan tempat duduk dan tawaran tambahan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos ke atas margin keuntungannya.

Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Encik Leslie Thng, pada 7 Mac, selepas SIA Group mencatatkan kemerosotan 19.3 peratus dalam keuntungan operasi bagi suku ketiga tahun kewangan (FY) 2024..

Ini disebabkan peningkatan 9.5 peratus dalam perbelanjaan bukan bahan api, dan kenaikan 9.1 peratus dalam kos bahan api bersih, lapor The Business Times.


Dalam kemas kini suku tahunannya baru-baru ini, keuntungan operasi Scoot bagi suku tersebut berjumlah $39.8 juta, susut 70.5 peratus daripada suku ketiga FY2023.

Pendapatan daripada penumpang susut 15.3 peratus apabila pesaingnya menambah kapasiti; kos seunit meningkat sebanyak 3.2 peratus dalam persekitaran inflasi.

Memandangkan peningkatan kos menjejas keuntungan dan kekangan mengurangkan kos bahan api dan perbelanjaan lain, syarikat penerbangan itu akan berusaha meningkatkan pendapatannya untuk mengurangkan kesannya.

“Kami kemudian mengukur bagaimana kami boleh memaksimumkan pendapatan yang kami boleh jana daripada tempat duduk yang kami jual, (dan) bagaimana kami boleh melihat inisiatif untuk menambah baik hasil sampingan...” kata Encik Thng.

Penerbangan dalam segmen kos rendah menjana 15 hingga 20 peratus daripada jumlah pendapatan daripada tawaran sampingan seperti membenarkan penumpang memilih tempat duduk, lebihan bagasi, penyediaan makanan dan insurans perjalanan.

Scoot, yang beroperasi pada kapasiti yang setanding dengan tahap prapandemik, akan meningkatkan kapasitinya.

Apa yang dikatakan ialah Scoot akan terbang ke lima hingga tujuh lagi destinasi di Asia Tenggara pada tahun kewangan 2025, meningkatkan rangkaian kepada 74, ketika syarikat penerbangan itu menambah pesawat Embraer dalam armadanya.

Scoot akan menerima penghantaran lima pesawat Embraer pada 2024 dan empat pada 2025.

Pada 5 Mac ia mengumumkan dua laluan baru – ke Koh Samui di Thailand dan Sibu di Malaysia Timur.

Apabila syarikat penerbangan itu menerima penghantaran 18 pesawat berbadan sempit dari Airbus mulai 2025, ia akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak destinasi.

China kini menyumbang kira-kira 20 hingga 22 peratus daripada jumlah kapasiti Scoot atau 80 penerbangan seminggu, ke 17 destinasi.

Ini masih 20 peratus di bawah paras prapandemik, kerana permintaan bagi perjalanan di China – yang membuka semula sempadannya hanya pada Januari 2023 – masih belum kembali ke tahap sebelum penutupan sempadan.

Tetapi Scoot telah mencatatkan peningkatan dalam permintaan perjalanan sejak pengumuman perjanjian perjalanan bebas visa bersama antara Singapura dengan China.

Tempahan meningkat dua hingga tiga kali ganda sejurus selepas pengumuman pada Januari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >