Ramai kawan Tia dan Tio bekerja bebas dan buntu dalam menangani cabaran yang dihadapi. Ada yang bertanya tentang bantuan, tetapi ada ke bantuan? Jangan khuatir ya, kami telah merujuk kepada Cik Jean See (foto), Pengarah Unit NTUC Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri (U FSE).
SOALAN: Kami, pekerja ingin tahu adakah wadah atau kumpulan sokongan untuk kami berkongsi pendapat, isu dan pertanyaan? Dan apakah langkah yang boleh kami ambil bagi melindungi diri apabila mendapat kontrak tugas?
Cik Jean See berkata pekerja bebas boleh menghubungi U FSE NTUC dan menyertai kesatuan sekerja kerabatnya bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Ini termasuk panduan tentang pemfailan pendapatan kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras), Tabung Simpanan Pekerja (CPF), skim pemerintah dan platform bagi menyuarakan kebimbangan dan cabaran sebagai pekerja bebas, atau membina rangkaian dengan pihak berkepentingan industri dan individu berfikiran sama.
Apabila mendapat atau menandatangani kontrak, Cik Jean menyarankan mengambil langkah berikut:
- Lakukan rujukan – Pekerja bebas harus mengesahkan apakah mereka memasuki perkongsian dengan syarikat sah dan syarikat itu mempunyai rekod baik dalam pembayaran tepat pada masanya. Ini boleh dilakukan dengan bertanya kepada rakan-rakan, menyemak di Internet atau laman web Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra).
- Berunding bagi syarat pembayaran segera – Pekerja bebas boleh menimbangkan mengenakan deposit atau memasukkan bayaran penting dalam kontrak. Mereka digalak bekerja dengan syarikat yang menerima pakai Piawaian Tiga Pihak mengenai Berkontrak dengan Orang Bekerja Sendiri sebagai piawaian amalan terbaik.
- Sentiasa mempunyai kontrak bertulis – Perjanjian itu berfungsi menyelaras jangkaan dan memperinci skop kerja, syarat pembayaran, penamatan kontrak, dan mekanisme penyelesaian pertikaian. Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) telah membangunkan Templat Borang Syarat Utama Penglibatan yang boleh digunakan pekerja bebas apabila membuat kontrak dengan klien.