Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Francais mi soto Adam Rd terima bimbingan penjaja mapan

Hawkers Collective bantu penjaja baru raih pengalaman niaga makanan warisan S'pura
Jun 04, 2022 | 05:30 AM



DULU beliau sering pergi 'dating' di gerai makanan kegemarannya di Adam Road, kini beliau mengendalikan sebuah francais gerai tersebut melalui program Mentor Penjaja, Hawkers Collective.



Cik Marliya Munawar, 55 tahun, dan suami sudah lama berkeinginan untuk membuka sebuah perniagaan keluarga dan 20 tahun dahulu pernah berangan-angan mendekati pemilik gerai popular Selamat Datang Mee Soto and Mee Rebus - Warong Pak Sapari di Pusat Penjaja Adam Road untuk membuka francais tetapi tidak berkesempatan.



Angan-angannya kini menjadi kenyataan apabila pemilik gerai ini kini, Encik Sumadi, menjadi mentornya melalui program Hawkers Collective.



Dan gerai francais pertamanya, Mee Shiok!, yang menjual mi soto, mi rebus dan bubur ayam, baru dibuka di Pusat Penjaja Old Airport Road pada 23 Mei lalu.



"Kami tidak ada pengalaman jadi kami mula secara kecil-kecil dahulu, mudah untuk dijaga.



"Kami ada minat, kalau nak buka perniagaan kami nak makanan terutama makanan tradisional. Kalau tidak ada yang teruskan, kita punya makanan keturunan…pupuslah," kongsinya tentang keputusan memilih jenis makanan bagi perniagaan pertamanya.



Hawkers Collective ialah program perusahaan sosial yang dilaksanakan dengan kerjasama NTUC Learning Hub.



Ia menyediakan wadah kepada calon penjaja atau bakal penjaja untuk belajar daripada Mentor Penjaja yang terkenal dan telah berjaya bagi menyokong calon penjaja memulakan gerai mereka sendiri dan mengekalkan Legasi Makanan Warisan Singapura.



"Melalui program ini kita pun dapat memahami tentang peraturan dan keperluan bagaimana untuk membuka sebuah gerai,"jelas Cik Marliya tentang program ini dan menambah beliau dan suami turut perlu lakukan kajian sendiri tentang peralatan, perkakas, persekitaran dan bagaimana meminimumkan pembaziran makanan.



Antara cabaran awal mereka hadapi adalah mendapatkan pekerja kerana mereka akur anak muda generasi kini kurang berminat bekerja di pusat penjaja.



Pemilik gerai popular Selamat Datang Mee Soto and Mee Rebus - Warong Pak Sapari, Encik Sumadi Sapari, 54 tahun, yang berhenti kerja sebagai jurutera telekomunikasi pada 2014 untuk mengambil alih gerai penjaja ibu bapanya yang telah beroperasi sejak 1970-an, mengalu-alukan usaha program ini.



Dalam rangka perniagaan francais, pemilik francais menggunakan pes yang dihasilkannya serta menggunakan jenama gerainya yang popular.



Dengan itu, menurut Encik Sumadi, Cik Marliya membayar yuran francais dan membeli produk iaitu pes darinya dalam perjanjian mereka. Namun jumlah yuran enggan didedahkan.



Menitik beratkan imej gerainya itu Encik Sumadi juga prihatin akan siapa yang mengendalikan francais tersebut.



"Pertama sekali, saya mahu tahu apa latar belakang mereka jadi saya tahu bagaimana untuk bantu.



"Saya perlu lakukan dengan ikhlas kerana mereka menggunakan produk saya. Kalau mereka tak berjaya saya juga tidak berjaya. Saya perlu tunjukkan apa yang perlu dilakukan," terang Encik Sumadi.



Selain itu beliau juga membimbing pemegang francais antara lain dari segi cara menyediakan makanan serta di mana untuk mendapatkan bahan-bahan seperti sayur, telur dan ayam serta peralatan yang sesuai.



Bagi Cik Marliya, beliau turut hargai bantuan mentornya:



"Beliau kongsi pengalamannya, cara beliau masak dan tekniknya. Untuk kami, semuanya sangat baru semuanya pertama kali dilakukan, kami perlukan mentor untuk membimbing kami. Lagipun beliau orangnya senang didekati jadi senang kita bincang."



Hal masakan mungkin biasa dan mudah untuk dilakukan bagi Cik Marliya dan suami, namun hal-hal perniagaan merupakan sesuatu yang dirinya dan suami perlu pelajari lagi.



Mereka bakal juga diajar tentang pemasaran tidak lama lagi melalui program ini.



Encik Sumadi berharap mereka tidak berhenti belajar dan mendalami ilmu perniagaan ini.



Sebagai mentor beliau turut antara lain menasihati mereka tentang bagaimana menjaga kos dan penyewaan serta harga yang diletakkan kepada mi soto, mi rebus dan bubur ayam yang dijual.



Mereka perlu peka akan pelanggan-pelanggan yang datang di Pusat Penjaja Old Airport Road yang rata-rata merupakan warga tua jadi tidak digalakkan meletakkan harga tinggi.



Cik Marliya meletakkan harga $3.50 untuk mi soto, mi rebus dan bubur ayamnya.



Dalam minggu pertama gerainya dibuka, beliau dan suami bersyukur impian mereka dari 20 tahun dahulu kini menjadi kenyataan dan sangat teruja dengan kehadiran seorang pelanggan tetap iaitu seorang warga tua yang menggunakan kenderaan bermotor yang akan datang setiap hari dan memesan makanan dari gerai mereka.



Selain dari ingin menyediakan makanan yang baik, harga yang baik dan khidmat yang baik, harapannya dan suami adalah untuk berkongsi rezeki dan membantu masyarakat dari usaha perniagaan ini.



Sudah lama mereka menyimpan niat ini.



"Apa yang kita buat harus ikhlas. Rezeki datang dari Allah swt. Dengan rezeki itu saya ingin membantu siapa yang memerlukan," kongsinya yang berhasrat untuk menggajikan pekerja kurang upaya setelah perniagaannya mula stabil.



Gerai francais Mee Shiok! terletak di Pusat Penjaja Old Airport Road, #01-143.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >