Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HSA gugurkan 12 iklan jualan ubat kurus badan dalam talian sejak awal 2023

Jun 30, 2023 | 05:31 AM



Sebanyak 12 iklan jualan ubat suntikan kurus badan, Ozempic, Wegovy dan Saxenda dalam talian telah dikenal pasti dan dipadamkan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sejak awal 2023.


Kenyataan penguasa itu menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai beberapa iklan yang dilihat akhbar ini di platform perdagangan elektronik popular seperti Lazada dan Shopee.


Ketiga-tiga ubat suntikan kendiri itu, yang diguna bagi merawat keadaan kronik kencing manis serta kegemukan, hanya boleh diperolehi menerusi preskripsi doktor dan dilarang menjualnya secara terbuka.

Ozempic antara lain menjadi tarikan besar di luar negara dalam media sosial, hingga menyebabkan kekurangan bekalan di Amerika Syarikat, Australia dan Eropah.

BH mendapati sekurang-kurangnya satu iklan wujud di Shopee dan Lazada masing-masing yang menjual pena suntikan kendiri ubat Saxenda.


Saxenda adalah sejenis ubat suntikan harian bagi mengurangkan berat badan individu yang disahkan gemuk dan hanya boleh didapatkan menerusi preskripsi.


Salah satu iklan dilihat BH awal Jun di Lazada menunjukkan sebanyak 18 ubat sedemikian dijual.

Tinjauan BH baru-baru ini mendapati iklan-iklan tersebut telah dipadamkan.

Namun, satu lagi iklan serupa masih wujud di Lazada.

Kesemua iklan tersebut menyembunyikan nama penuh ubat dan menggantikannya dengan beberapa kata kunci. Ia juga memadamkan beberapa ciri tertentu dalam imej bungkusan ubat tersebut yang digunakan dalam iklan itu.

Saxenda mendapat kelulusan HSA pada Mei 2022 sebagai suplemen pengurusan berat badan bagi pesakit berusia 12 tahun ke atas.


Ia mengandungi liraglutide, yang meniru hormon semula jadi “glucagon-like peptide-1” dan dapat mengawal paras gula dalam darah dan mendorong rasa kenyang serta mengurangkan selera makan pengguna.


Fungsi ubat itu hampir sama dengan ubat merawat diabtes melitus Jenis 2, Ozempic, yang diluluskan HSA pada 2021 dan Wegovy – varian dengan dos lebih tinggi – yang diluluskan pada April.


Wegovy dilulus bagi merawat kegemukan manakala Ozempic, selain merawat penyakit kencing manis, ada digunakan untuk menurunkan berat badan.

Kedua-dua ubat yang mengandungi Semaglutide itu hanya boleh diperoleh menerusi preskripsi doktor.

Saxenda perlu disuntik setiap hari, manakala Ozempic dan Wegovy disuntik setiap minggu.


HSA menegaskan: “Penjualan ubat preskripsi dalam platform e-dagang adalah dilarang.”

Ia juga menasihatkan supaya orang ramai supaya mendapatkan ubat itu menerusi sumber rasmi dan di bawah arahan doktor.

“Apa yang dijual di platform e-dagang kemungkinan barang palsu atau kurang bermutu, dan boleh menimbulkan risiko lain, meskipun ubat dan bungkusan itu kelihatan serupa dengan yang betul,” kata HSA.

Penguasa itu berkata ia melakukan pemantauan kerap dalam platform e-dagang dan mengambil tindakan serius terhadap mereka yang terlibat dalam urusan penjualan dan pembekalan dadah secara haram.

Ia juga sedar terhadap perbuatan menyelindungi iklan dalam kalangan penjual di platform itu.

“Walaupun penjual sering menggunakan beberapa jenis kata kunci tertentu untuk mengelak daripada ditangkap dalam talian, HSA dan pentadbiran platform e-dagang bekerjasama secara aktif untuk mengenal pasti kata-kata kunci itu dan memadamkan iklan tersebut tepat pada masanya.”

HSA juga menambah, bilangan iklan tersebut di Singapura agak kecil.

Mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan penjualan ubat preskripsi boleh dikenakan denda sehingga $50,000 dan dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Produk Kesihatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan ubat secara haram boleh menghubungi Cabang Penguatkuasaan HSA menerusi talian 6866-3485 atau menerusi e-mel: hsa_is@hsa.gov.sg.

*Dalam versi awal artikel ini, kami menyatakan Ozempic diizinkan bagi penggunaan “luar label” untuk mengurangkan berat badan. Ini adalah tidak benar. Penggunaan ‘luar label’ tidak memerlukan kebenaran. Artikel ini telah disemak bagi memperjelas kenyataan ini. Kami mohon maaf kesilapan ini menyebabkan kekeliruan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >