Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SCDF lancar tiga kemudahan baru, guna teknologi tingkat keupayaan

Jul 31, 2023 | 07:05 PM



Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah melancarkan sebuah kemudahan latihan baru bagi pelbagai kegunaan yang bertujuan membolehkan pegawainya menjalani latihan menyelamat dan memadam api dengan lebih realistik.

Mengumumkan demikian pada Isnin, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang–Undang, Encik K. Shanmugam, berkata kemudahan itu antara lain mencerminkan sekitaran bandar Singapura, lengkap dengan pusat pertukaran bas dan pusat membeli-belah.

“Pusat ini juga akan membolehkan pegawai berlatih dengan struktur yang mungkin akan menjadi lebih lazim pada masa akan datang seperti kebakaran melibatkan panel suria,” tambahnya.

Semasa berucap di Seminar Pelan Kerja SCDF 2023 di Akademi Pertahanan Awam, Encik Shanmugam turut mengumumkan dua lagi kemudahan baru yang ditubuhkan SCDF iaitu Pusat Penyelidikan Kebakaran dan pusat latihan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Nasional.

Ketiga-tiga kemudahan baru SCDF itu – yang dilancar pada Isnin – merupakan sebagian usaha SCDF terus melabur dalam kemudahan bertaraf dunia untuk mempersiap pegawainya menghadapi cabaran di barisan hadapan.

Sebagai contoh, Pusat Penyelidikan Kebakaran membolehkan SCDF untuk menjalankan penyelidikan dan reka bentuk teknologi baru untuk memadam api serta membuat analisis kebakaran menggunakan data daripada proses pembakaran.

Sebelum ini, analisis kebakaran dilakukan melalui ujian pembakaran berskala kecil dalam persekitaran yang terkawal dan hanya memberi data terhad untuk memahami kebakaran.

Dengan pusat tersebut, SCDF kini boleh mereplikasi tempat kejadian kebakaran untuk mencerminkan keadaan sebelum kebakaran berlaku dan mendapatkan maklumat penting untuk memahami kebakaran dan mengenal pasti faktor utama yang menyumbang kepada punca kebakaran.

“Pusat ini dilengkapkan dengan peralatan canggih bagi (SCDF) menjalankan ujian kebakaran, seperti menentukan masa yang diambil bagi kebakaran merebak ke pelbagai ruang dengan dinding yang menggunakan bahan berbeza atau menilai keberkesanan agen memadam api yang baru.

“Ini akan membantu SCDF meningkatkan teknik memadam apinya,” ujar Encik Shanmugam.

Pusat Penyelidikan Kebakaran SCDF itu turut dilengkapi dengan sebuah kalorimeter, iaitu peranti yang digunakan untuk mengukur jumlah tenaga haba dalam proses pembakaran.

Berukuran 30 meter panjang dan 17 meter lebar, kalorimeter itu berupaya menjalankan ujian dan mengukur kebakaran dengan kadar pelepasan haba 10 megawatt (MW).

Data yang diperoleh daripada ujian terbakar itu akan membantu SCDF mengesahkan pelan keselamatan kebakaran dalam bangunan dan menilai produk baru untuk dimasukkan dalam kod peraturan bangunan.

Produk ini termasuk kenderaan elektrik, sistem penyimpanan tenaga, panel fotovoltaik suria dan pelbagai inisiatif bangunan hijau seperti penggunaan kayu atau plastik dalam bangunan.

Sementara itu, pusat latihan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Nasional pula bertujuan meningkatkan keupayaan perubatan SCDF.

Pusat perubatan itu dilengkapi dengan sebuah simulator ambulans yang bertujuan lebih membiasakan pelatih dengan persekitaran operasi dan peralatan di dalam ambulans, serta peranan dan tanggungjawab ahli pasukan yang berbeza.

Dalam pada itu, Encik Shanmugam berkata SCDF juga akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat.

Menurutnya, SCDF kini mempunyai lebih 140,000 Responder Pertama Masyarakat (CFR) yang bersedia untuk menghulurkan bantuan semasa kecemasan.

Dari 2018 hingga April 2023, CFR telah membantu dalam lebih 7,000 kes serangan jantung dan lebih 5,000 kes kebakaran.

“Masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha menyelamatkan nyawa.

“Dalam keadaan kecemasan sebelum pegawai SCDF tiba, sebarang bantuan daripada masyarakat awam boleh membuat perbezaan besar, kadangkala antara hidup dengan mati,” ujar Encik Shanmugam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >