Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

S’pura ingin kerjasama dengan AS perkukuh sistem berasas peraturan: DPM Wong

Oct 14, 2023 | 04:22 PM



WASHINGTON: Singapura ingin bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk membangunkan model globalisasi baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di acara anjuran salah satu badan pemikir paling berpengaruh di Washington pada Jumaat.


“Semakin lama, kami mendengar kebimbangan mengenai kelemahan dalam susunan global, bahawa ia tidak menangani kebimbangan mengenai keselamatan negara, daya tahan rantaian bekalan dengan secukupnya dan lain-lain lagi,” kata Encik Wong di penghujung lawatan kerja pertamanya ke Amerika sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Kami ingin sangat bekerjasama dengan Amerika mengenai model baru globalisasi; bagaimana kami boleh mengemas kini peraturan susunan global baru, supaya ia sesuai dengan zaman kita,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Susunan berasaskan peraturan merujuk kepada institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua untuk menjaga keamanan dan mewujudkan kemakmuran melalui aliran perdagangan dan idea yang bebas.

Bagaimanapun, sistem itu tidak mencerminkan dinamik geopolitik baru yang ditimbulkan oleh kebangkitan China dan percubaannya untuk menegaskan pengaruhnya di pentas dunia, lapor The Straits Times.


Encik Wong memerhatikan bahawa kepimpinan Amerika, yang membentuk susunan berasaskan peraturan yang memberikan manfaat kepada semua negara, terus kekal penting.

“Singapura menghargai kehadiran penting dan membina Amerika di Asia-Pasifik,” katanya sambil menyatakan bahawa Amerika telah menjadi tonggak di rantau itu selama hampir 80 tahun.

“Kami semua ingin anda terus kekal aktif dan terlibat secara konsisten di bahagian dunia ini.

“Bukan hanya untuk satu, dua tahun; bukan sahaja untuk pentadbiran seterusnya; bahkan untuk 80 tahun akan datang dan seterusnya,” tambahnya.

Dalam perbincangan selama sejam di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), sebuah badan pemikir terkemuka, yang menjemput pemimpin utama Asia Tenggara untuk bercakap tentang isu-isu mendesak kepada penggubal dasar dan penganalisis yang berpangkalan di Washington, Encik Wong menjawab pelbagai soalan.

Antara isu yang kerap timbul dalam perbincangan itu adalah cara Singapura merundingkan persaingan yang semakin sengit antara Amerika dengan China.

Encik Wong berkata Singapura memilih kepentingan nasionalnya.

“Dari sudut pandangan Singapura, apabila kami melihat hubungan antara Amerika dengan China, perspektif kami adalah ini bukan tentang mengimbangi antara Amerika dengan China.

“Akhirnya, kami membuat keputusan berdasarkan kepentingan kami sendiri. Dan kepentingan negara kami akan dipandu oleh prinsip undang-undang antarabangsa.

“Sebagai sebuah negara kecil, kami memerlukan rangka kerja kedaulatan undang-undang untuk beroperasi,” jelasnya.

Dalam beberapa keadaan, Singapura membuat keputusan yang mungkin kelihatan memihak kepada satu pihak berbanding yang lain, katanya.

“Tetapi itu tidak bermakna kami pro-China atau pro-Amerika.

“Ini bermakna kami pro-Singapura,” tambahnya.

Encik Wong berkata terdapat ruang untuk Singapura berkawan dengan kedua-dua China dan Amerika pada masa yang sama.

“Dari perspektif Singapura dan sudah tentu dari perspektif semua negara di Asia Tenggara, kami menghargai persahabatan yang kami ada dengan Amerika. Amerika telah menjadi kawan baik sejak sekian lama.

“China kini juga merupakan rakan bagi negara-negara di Asia Tenggara. Dan kami ingin kekal berkawan dengan kedua-duanya.

“Lagipun, ada kemungkinan seseorang mempunyai lebih daripada seorang kawan baik,” katanya sambil penonton tertawa kecil dan bertepuk tangan.

Encik Wong turut bertemu Setiausaha Perdagangan Amerika, Cik Gina Raimondo, dan Wakil Perdagangan Amerika, Cik Katherine Tai, pada Jumaat, dengan mengalu-alukan penglibatan ekonomi yang berterusan oleh Amerika di rantau ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >