Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Presiden Tharman seru tingkat jalinan S’pura-M’sia ke peringkat seterusnya

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Presiden Tharman seru tingkat jalinan S’pura-M’sia ke peringkat seterusnya

Ucapan di jamuan negara bagi Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, sempena lawatan ke sini
May 06, 2024 | 08:09 PM



Isu yang perlu diselesaikan antara Singapura dan Malaysia tidak harus menjejas daya tahan hubungan keseluruhan dua negara itu, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam. Beliau juga berharap kededua negara dapat terus mencari cara yang saling menguntungkan dan mampan untuk bergerak ke hadapan dalam menangani isu-isu itu.

Presiden Tharman berkata demikian dalam ucapan tahniah dan penghargaannya di majlis jamuan negara yang dihos beliau untuk Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, di Istana pada 6 Mei.

Sultan Ibrahim dan isterinya, sedang mengadakan lawatan negara ke Singapura selama dua hari dari 6 hingga 7 Mei atas undangan Presiden Tharman.

Sultan Ibrahim, yang menerima sambutan istiadat di Istana, diiringi isterinya, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah; Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Encik Azfar Mohamad Mustafar, dan pegawai kanan lain.

Presiden Tharman diiringi isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Presiden Tharman berkata: “Seperti semua jiran, kita ada yang perlu diselesaikan, tetapi kita tidak sepatutnya membiarkan ia mengubah daya tahan keseluruhan hubungan kita.

“Kita harus terus mencari cara yang saling menguntungkan dan mampan untuk bergerak ke hadapan menangani isu-isu ini, sambil memberi tumpuan pada banyak bidang kerjasama positif dan baru kita.”

Singapura dan Malaysia bakal meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik mereka pada 2025.

Dua negara ini mengumumkan beberapa perjanjian baru pada 2023 untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, penyelidikan dan inovasi, pelancongan, dan dalam bidang baru muncul seperti ekonomi hijau dan ekonomi digital dan pembayaran.

Antara inisiatif penting itu ialah Zon Ekonomi Khas-Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan meneroka cara meningkatkan ketersambungan rentas sempadan, mengukuhkan pembangunan sumber manusia, dan memacu kerjasama dalam sektor pertumbuhan utama seperti tenaga boleh diperbaharui.

Hubungan erat antara Singapura dan Malaysia juga melampaui kerjasama ekonomi, tambah Presiden Tharman. Ini dilihat menerusi pemeliharaan warisan budaya serantau, berkongsi sokongan bagi bakat dan pencapaian dalam bidang seni dan sukan, serta cinta pada makanan yang sama.

“Sama ada melalui pertukaran pendidikan, sukan atau seni, atau pelancongan dalam semua cita rasanya, adalah penting kita mengekalkan pertukaran antara rakyat kita dan memastikan bahawa rakyat Singapura dan Malaysia yang lebih muda membesar dengan kebiasaan, penghayatan dan persefahaman baik antara satu sama lain,” ujar Presiden Tharman.

Beliau juga berkata bahawa Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang dijadualkan siap pada hujung 2026, dijangka memperkukuhkan lagi hubungan antara dua negara ini.

“Di bawah pimpinan Tuanku dan dengan sokongan padu Tuanku, kita boleh bersama-sama meningkatkan hubungan Singapura-Malaysia ke peringkat kerjasama dan persahabatan seterusnya,” tambah Presiden Tharman.

Sultan Ibrahim, dalam ucapannya, berkata hubungan Singapura dan Malaysia adalah istimewa.

“Hubungan Singapura-Malaysia adalah istimewa, terikat oleh sejarah dan budaya yang serupa serta ekonomi hubungan ekonomi yang erat,” katanya, sambil menambah bahawa salah satu unsur terasnya ialah ikatan erat yang dinikmati Singapura dan Johor selama berdekad-dekad.

Pada 2024, Singapura dan Johor menyambut ulang tahun ke-100 Koswe. Presiden Tharman dan Sultan Ibrahim turut melancarkan reka bentuk setem bagi sambutan seabad itu sebelum majlis jamuan negara. Setem itu akan dikeluarkan bersama Singpost dan Pos Malaysia. Mereka juga melihat pameran foto yang memaparkan sejarah panjang dan penting Koswe.

Ia adalah lawatan luar negara pertama Sultan Ibrahim ke sini sejak pemasyhurannya pada 31 Januari. Ia juga antara lawatan utama terakhir sebelum peralihan pucuk pimpinan Singapura, dengan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 15 Mei.

Sultan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee atas sumbangannya mengeratkan hubungan antara dua negara ini dan mengucapkan tahniah kepada Encik Wong atas pelantikan barunya.

“Saya yakin bahawa kepimpinan yang terhormat ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara ini,” tambah Sultan Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >