Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Arwah baru adakan rumah terbuka Hari Raya pertama

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Arwah baru adakan rumah terbuka Hari Raya pertama

Apr 23, 2024 | 06:37 PM



Kucupan terakhir dari seorang ibu sebelum Allahyarhamha Norzihan Juwahib dikafankan disambut dengan linangan air mata dari mereka yang hadir di Masjid Pusara Aman pada 23 April.

Arwah disifatkan sebagai seorang anak yang sangat bertanggungjawab dan penyayang.

“Saya tidak sangka beliau akan pergi dahulu sebelum saya,” kata Cik Saniah Sali, 79 tahun, sambil menitiskan air mata ketika Berita Harian (BH) menghampiri beliau.


Allahyarhamha Norzihan, 57 tahun, merupakan salah seorang mangsa yang terkorban akibat nahas jalan raya yang melibatkan enam kenderaan di persimpangan antara Tampines Avenue 1 dan Tampines Avenue 4 pada pagi 22 April.

Seorang lagi mangsa yang terkorban ialah Allahyarhamha Afifah Munirah Muhammad Azril, pelajar tahun pertama Maktab Rendah Temasek (TJC), 17 tahun.

Kedua-duanya telah selamat dikebumikan di Pusara Aman pada petang 23 April.

Allahyarhamha Norzihan merupakan anak keempat dalam kalangan sembilan beradik.

Sebelum ini, dua lagi adik beradiknya juga telah meninggal dunia dalam tempoh dua tahun lalu, menurut abang arwah, Encik Salimi Juwahib. 

Ketika ditemui BH, Encik Salimi, 63 tahun, berkata adiknya itu pernah berkongsi bahawa beliau telah bermimpi bertemu arwah bapa dan adik-beradiknya yang telah pergi terlebih dahulu.

“Mungkin itu satu petanda beliau akan meninggalkan kami,” kata Encik Salimi menahan sebak.

Encik Salimi turut berkongsi bahawa Allahyarhamha telah mengadakan rumah terbuka di rumah barunya di Sengkang pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata arwah baru berpindah sekitar tiga bulan lalu.







Mengenang detik tersebut, beliau berkata pelukan serta kelakuan adiknya itu terasa lain.

“Ketika kami meminta maaf, beliau memeluk saya dengan begitu erat.

“Nada suaranya pun kedengaran lain, dan tidak seceria seperti biasa,” kata Encik Salimi lagi, sambil menambah keluarganya reda dengan takdir dan ketentuan Ilahi.

Lebih 100 orang datang menziarahi Allahyarhamha Norzihan sebelum beliau disemadikan.

Antara mereka yang hadir termasuk rakan sekerja beliau dari syarikat First Choice Pest Control.

Arwah dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Tampines Street 93 bersama dua rakan sekerja yang lain sebelum kejadian mengerikan itu berlaku.

Mengimbas kembali kemalangan yang meragut nyawa rakan karibnya, Encik Azman Mohd berkata semuanya berlaku dengan begitu pantas.

Encik Azman, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan syarikatnya ketika kejadian, berkongsi bahawa beliau masih tidak dapat melupakan detik kemalangan itu.

“Kami sedang berbual seperti biasa di dalam van selepas rakan kami menjemput kami dari rumah masing-masing.

“Arwah duduk di belakang apabila kejadian itu berlaku. Impak pelanggaran itu begitu kuat hingga menyebabkan arwah tercampak ke belakang van.

“Naluri pertama saya adalah memeriksa Arwah dan melihat beliau sudah terbaring tidak bergerak dengan darah mengalir dari hidung dan mulutnya.


“Saya cuba memeriksa nadinya untuk melihat sama ada masih ada tanda bernafas,” kata Encik Azman, 40 tahun, yang hanya mengalami kecederaan ringan.

Encik Azman segera membawanya keluar dari kenderaan dan meletakkannya di persimpangan pejalan kaki sebelum melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atasnya.

Difahamkan rakan sekerja mereka yang merupakan pemandu kenderaan itu, dikenali hanya sebagai Encik Chia, mengalami beberapa kecederaan dan kini sedang dirawat di Hospital Besar Changi (CGH).







Rakan sekerja Allahyarham Norzihan yang lain turut berasakan satu kehilangan besar. 

Mereka menganggap beliau sebagai seorang rakan sekerja yang prihatin dan sering memberi nasihat kepada rakan sekerja yang lebih muda.

“Kami semua menganggap beliau seperti kakak kami sendiri,” kata Encik Joedzuanir Harun, pengurus pembangunan perniagaan syarikat itu.

“Beliau seorang yang tidak lokek berkongsi ilmu dengan yang lain. Pemergian beliau memang sangat dirasakan.

“Secara peribadi saya juga sangat rapat dengan arwah. 


“Kami sudah merancang untuk ke Batam dalam masa terdekat ini. Namun hasrat itu tidak kesampaian.”


Encik Joedzuanir turut berkongsi bahawa Allahyarhamha seorang yang pemurah dan suka bersedekah.


“Beliau akan menghubungi saya dan memberitahu bahawa beliau mempunyai baju-baju lama yang ingin didermakan kepada mereka yang kurang bernasib baik di Batam, kerana isteri saya orang sana.


“Itulah keperibadian beliau dan tentunya kami semua akan merinduinya,” ujar Encik Joedzuanir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >