Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Hariss buru ijazah untuk beri inspirasi kepada anak

Kapten pasukan bola sepak nasional Hariss Harun akan genggam ijazah jurusan Perniagaan dan Pemasaran Julai 2023
Jun 16, 2023 | 04:25 PM



Keinginan memaparkan contoh yang baik kepada anaknya membakar semangat kapten bola sepak nasional Singapura Hariss Harun untuk menuntut ilmu lagi, setelah hampir 10 tahun meninggalkan bangku sekolah dan bakal menggenggam ijazah.

Pemain midfield Lion City Sailors itu dijadual menerima ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pemasaran dari Universiti Coventry yang berpangkalan di England, Julai ini.

Beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Akademi PSB.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Harris, 32 tahun, yang menyarung jersi pasukan Singa untuk dua perlawanan persahabatan pada Jun, berkata ia bukan mudah tetapi beliau gembira telah berjaya melakukannya.

“Sebab pertama ialah saya ingin menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak saya. Ini termasuk menunjukkan kepada mereka peri penting meneruskan pendidikan sementara mengejar minat anda,” kata bapa tiga cahaya mata – Naufal, lapan tahun; Nadine, enam tahun; dan Nabil, dua tahun.

Hariss terdetik untuk kembali ke sekolah pada 2020. Ketika itu beliau mengalami kecederaan dan mempunyai masa lapang semasa sedang menjalani pemulihan.

Keputusan tersebut juga dipengaruhi pandemik Covid-19 ketika itu, yang menyebabkan pertandingan bola sepak dibatalkan disebabkan sekatan pergerakan dan langkah pengurusan selamat.

Hariss berkata tempoh itu mendorongnya bermuhasabah diri dan beliau mula memikirkan secara lebih mendalam rancangan bagi masa depan beliau sendiri dan keluarga, terutama anak-anaknya yang masih kecil.

“Hidup dalam waktu yang belum pernah terjadi sebelum ini dan dunia yang sentiasa berubah, saya memutuskan bahawa adalah penting untuk meneruskan pengajian tinggi saya.

“Sukan, bola sepak terutamanya, sentiasa menjadi minat saya, dan sesuatu yang akan sentiasa dalam hati,” kata beliau, yang telah mewakili pasukan nasional Singapura sebanyak 120 kali.

“Bagaimanapun, saya mahu melakukan lebih banyak lagi untuk industri bola sepak Singapura pada masa hadapan, membawanya ke tahap yang lebih tinggi, selain daripada beraksi sebagai atlet negara,” ujarnya lagi.

Azam itu mendorong Hariss memilih jurusan perniagaan dan pemasaran, kerana beliau percaya ia dapat membuka lebih banyak pintu untuknya menceburi sudut pentadbiran dan perniagaan bola sepak selepas bersara sebagai pemain nanti.

Hariss juga berharap beliau dapat memberi inspirasi dan menggalak bapa lain untuk mendakap pemikiran pembelajaran sepanjang hayat.

“Pelajar dewasa seperti saya mempunyai lebih banyak tanggungjawab dan komitmen untuk diimbangi, tetapi apabila anda meletakkan hati anda pada usaha itu, peluangnya tidak berkesudahan.

“Saya percaya pembelajaran adalah perjalanan sepanjang hayat dan tidak pernah terlambat untuk kembali kepada apa yang anda telah tinggalkan,” ujar Hariss.

“Saya berharap ini juga akan memberi inspirasi kepada semua bapa di luar sana untuk melakukan perkara yang sama, bukan untuk diri mereka sendiri sahaja bahkan sebagai contoh yang baik untuk anak-anak kita juga,” tambahnya.

Perjalanannya dalam memburu ijazah sambil mengimbangi peranan sebagai bapa dan pemain bola sepak profesional, bagaimanapun, mencabar.

Tempoh paling sukar bagi Hariss ialah semasa perintah kawalan pergerakan Covid-19, apabila beliau harus belajar dan menjaga anak-anaknya.

“Sudah tentu bukan mudah mengimbangi peranan yang berbeza ini, dan ia memerlukan disiplin diri yang tinggi dan pengurusan masa,” kata Hariss, sambil menambah bahawa isterinya, Syahirah Mohamad, 32 tahun, adalah tunggak kekuatannya pada masa itu.

“Namun, faktor utama yang mendorong saya terus berusaha gigih ialah keinginan menunjukkan kepada anak-anak saya bagaimana bapa mereka juga sedang bertungkus lumus dan belajar bersama mereka,” tambah Hariss.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >