Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

Keutamaan Ratcliffe jadi sorotan selepas ambil alih operasi bola sepak Man Utd

Urus jangkaan penyokong, perjelas masa depan ten Hag, Sancho, dijangka antara keutamaan
Jan 02, 2024 | 05:30 AM



Ineos Group milik jutawan Jim Ratcliffe akhirnya telah mencapai persetujuan dengan pemilik Manchester United untuk membeli 25 peratus kelab itu.

Ini adalah kali pertama keluarga Glazer, yang membeli United pada 2005, menjual bahagian sebesar itu kepada pihak luar.

Sementara keluarga Glazer yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengekalkan hak milik majoriti dan menguasai hampir semua kuasa mengundi, Ineos Group kini menguasai seluruh operasi bola sepak dan beliau boleh membuat keputusan yang dianggap terbaik demi mempertingkat prestasi United di padang.

Dalam laporannya, BBC berkata proses peralihan itu dijangka mengambil masa enam hingga lapan minggu dan sehingga Ratcliffe benar-benar berkuasa. BERITA HARIAN meneliti beberapa aspek operasi bola sepak yang boleh dijadikan keutamaan Ratcliffe.


Perbelanjaan semasa
tempoh perpindahan pemain Januari

Peralihan kuasa kepada Ratcliffe dijangka muktamad pada Februari, yang bermakna beliau akan mempunyai kuasa terhad untuk membeli pemain pada Januari, apabila tempoh sebulan perpindahan pemain dibuka.

Dalam tempoh 18 tahun keluarga Glazer memiliki United, kelab itu telah membelanjakan £1.94 bilion ($3.26 bilion).

Ini adalah perbelanjaan ketiga tertinggi di Eropah dalam tempoh itu, hanya di belakang Chelsea (£2.7 bilion) dan Manchester City  (£2.33 bilion)

Difahamkan, United boleh berbelanja lebih besar untuk membeli pemain jika keluarga Glazer sanggup mengeluarkan duit sendiri, selain pendapatan kelab, untuk berbuat demikian. 

Satu perkara yang selalu dikatakan mengenai tempoh perpindahan pemain pada Januari ialah kesukaran membeli pemain yang handal pada harga berpatutan.

Justeru, besar kemungkinan pengurus United, Erik ten Hag akan diminta menurut bajet yang ditetapkan dan mencari huraian kreatif jika ingin mendapatkan pemain baru. 

Pada tempoh perpindahan Januari lalu,  ten Hag membawa ke United penjaga gawang Jack Butlan, pemain midfield Marcel Sabitzer dan pemain barisan depan, Wout Weghorst, melalui perjanjian pinjaman.

Pada Ogos, beliau membawa ke United pemain midfield, Sofyan Amrabat, dan pemain pertahanan, Sergio Sabitzer. 

Buat masa ini, United berkata ia tidak menjangka melibatkan diri dalam urusan perniagaan mendalam pada Januari, keadaan yang dirumitkan situasi Jadon Sancho, yang putus hubungan dengan ten Hag.

United tidak mampu menjualnya dan menanggung kerugian besar. Justeru, besar kemungkinan Sancho akan dipinjam ke kelab lain yang rela membayar sebahagian gajinya.

Masa depan Erik ten Hag







Buat masa ini, belum ada sebarang tanda kedudukan ten Hag terancam akibat prestasi United yang hambar di padang. 

Seperti pengurus lain, masa depan kerjaya ten Hag di United bergantung pada perkembangan di padang dan United berdepan dengan beberapa lagi perlawanan sukar pada Januari.

Kemenangan 3-2 yang memberangsangkan ke atas Aston Villa menyemarak semangat, tetapi rupa-rupanya, ia bukan kebangkitan yang nyata.

Sebaliknya, United kembali mengecewakan pada malam Tahun Baru, tewas 1-2 kepada Nottingham Forest, yang bermakna United kini telah tewas 14 perlawanan pada musim ini - kali pertama ini berlaku sejak musim 1930-31, apabila ia mengakhiri musim di kaki liga.

Ini juga adalah permulaan musim paling buruk bagi United, di mana ia telah lebih banyak kali kalah daripada menang (12 kali) dalam 26 perlawanan.

Ini bermakna anak didik ten Hag kini terjerumus ke tangga ketujuh, sembilan mata di bawah tangga keempat liga dan di luar kedudukan yang membolehkannya layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Walaupun ten Hag menerima anugerah pengurus terbaik Liga Perdana England (EPL) pada November, United hanya menang dua daripada lapan perlawanan terakhir dan tewas dalam 13 daripada 27 perlawanan sepanjang musim ini, tanpa mengambil kira perlawanan dengan Nottingham Forest pada 31 Disember.

 Ia juga tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Liga.

Dalam EPL, United kini menduduki tangga kelapan, 12 mata di belakang Arsenal dan lapan mata memisahkannya daripada kedudukan keempat.

Keputusan yang diraih United dalam perlawanan mendatang akan menentukan peluangnya mengakhiri musim di kedudukan yang membolehkannya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, walaupun tangga kelima mungkin memadai untuk berbuat demikian. 

Paling penting, selepas membelanjakan hampir £400 juga dalam tiga tempoh perpindahan, ten Hag perlu membuktikan beliau berjaya membentuk pasukan yang memenuhi jangkaan yang mengiringi pelaburan itu. 

Isu Jadon Sancho 







Antara isu paling genting yang perlu ditangani Ineos Group ialah masa depan Jadon Sancho.

Mengikut teori, pemain sayap England itu boleh dibenarkan ten Hag menyertai latihan dan ditimbangkan untuk beraksi dalam kesebelasan utama jika beliau memohon maaf kepada ten Hag.

Pemain itu telah mendakwa beliau dijadikan mangsa selepas Arsenal menewaskan United pada 3 September.

Beliau telah digugurkan daripada pasukan bagi perlawanan itu dan beliau membuat hantaran di sosial media yang mempertikaikan hujah ten Hag mengenai penggugurannya daripada pasukan.

Masalahnya, hubungan antara ten Hag dengan Sancho kekal tegang dan kededua pihak tidak memberi isyarat masing-masing ingin berbaik-baik semula.

Justeru, perpisahan pada Januari ini, sama ada secara tetap atau buat sementara, adalah satu kemungkinan besar.

Apa pun kesudahan tengkarah ini, kerugian adalah pasti bagi United.

Ratcliffe dan penasihatnya SIr Dave Brailsford terpaksa membuat keputusan ke atas dua pilihan – iaitu meminjamkan Sancho kepada kelab lain yang rela membayar sebahagian gaji pemain itu, atau menelan kerugian besar dan menjual pemain itu pada harga yang jauh lebih rendah berbanding £73 juta yang dibayar United kepada Borussia Dortmund pada 2021 untuk membeli Sancho.

Buat masa ini, tindakan ten Hag terhadap Sancho telah menerima sokongan 100 peratus daripada pemilik United. 

Stadium Old Trafford 

Sebahagian perjanjian Ratcliffe dengan Glazer memperuntuk £236 juta bagi pelaburan masa depan untuk mengembangkan stadium Old Trafford dan prasarananya.

Namun, wang itu tidak mencukupi untuk membiayai kerja ubah elok yang diperlukan untuk membangunkan stadium dan prasarana kepada standard yang setaraf dengan kedudukan United. 

Apa yang akan diteliti pihak media, pemerhati dan penyokong United sendiri adalah bagaimana bayaran bagi tambahan pada stadium dan prasarana akan ditampung.

Buat sekian lama, penyokong United berkata hutang dan perbelanjaan lain yang ditanggung apabila Glazer mengambil alih kelab itu – kini dianggarkan lebih £1 bilion – seharusnya digunakan untuk memperbaiki pasukan.

Namun, tiada sebarang contoh projek binaan prasarana pada skala yang diimpikan oleh United yang dibiayai sepenuhnya oleh pemilik, tanpa pendanaan luar.

Satu contoh paling dekat ialah stadium milik Tottenham yang menelan belanja £1 bilion untuk dibina.

Kos membina stadium itu dibahagikan kepada tempoh yang panjang dan bagi kelab yang menanggung banyak hutang, masa depan sebegini adalah sesuatu yang dijangka sukar diterima penyokong.

Pangkalan penyokong United







Semasa perbincangan dimulakan antara Glazer dengan pihak luar mengenai masa depan kelab itu, kumpulan penyokong utama United bersatu menyokong pendirian yang mereka lebih suka jika Glazer tidak lagi berkuasa di kelab itu dan beredar secara keseluruhan.

Kesudahan yang diharapkan itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Tidak akan berlaku juga adalah kesudahan di mana peniaga dari Qatar, Sheikh Jassim menabur pelaburan berbilion dolar buat United sebagaimana yang dijanjikannya jika beliau dibenarkan membeli kelab itu secara keseluruhan.

Buat masa ini, penyokong United perlu menunggu dan memerhati bagaimana hubungan antara Glazer dengan Ratcliffe disemai. 

Berpandukan sejarah Ratcliffe mengendalikan perniagaannya, beliau tidak akan berpuas hati dengan peranan ‘pasif’ semata-mata.

Pada masa yang sama, cara Glazer berurusan di United mencadangkan ia juga tidak terburu-buru melaksanakan sesuatu dan berpengalaman menangani sebarang tekanan.

Satu sumber yang rapat dengan cara United dikendalikan memberitahu BBC baru-baru ini:


“Jim Ratcliffe hanya akan merosakkan diri sendiri jika beliau tidak meremehkan kuasa Glazer. Tapi pada masa yang sama, Glazer juga tidak boleh meremehkan kuasa Ratcliffe.”

Buat masa ini juga, Ratcliffe perlu mengimbangi cara dan hujah beliau semasa berurusan dengan media.

Sementara beliau perlu menerima hakikat United telah beraksi di bawah jangkaan sejak sedekad yang lalu, beliau juga tidak boleh mempersalahkan pihak yang kini memiliki majoriti United.

Pada masa yang sama, Ratcliffe perlu memberi isyarat kepada penyokong United beliau sedang berusaha mencapai matlamat sebenar – mengambil alih kuasa di Old Trafford.

Jika ini tidak berlaku, bantahan di United dijangka akan berterusan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >