Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

GrabFood segarkan gerai Geylang Serai melalui pendigitalan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

GrabFood segarkan gerai Geylang Serai melalui pendigitalan

Dec 29, 2020 | 05:00 AM



PASAR dan pusat makanan Geylang Serai bukan sahaja tempat orang tua mereka bertungkus-lumus siang dan malam mencari rezeki untuk membesarkan mereka dahulu.





Bahkan, tempat itu juga mempunyai seribu kenangan bagi mereka yang bermain bersama anak pegerai lain, membantu menyiapkan hidangan buat pelanggan serta menyaksikan jerih payah yang terpaksa diharungi orang tua mereka semasa mengendalikan gerai makanan mereka sepanjang mereka membesar.



Kini, inilah tempat mereka mencari rezeki buat keluarga mereka sendiri.





(GANDINGAN AYAH ANAK: Sheik Abdul Hannan yang menguruskan gerai Geylang Briyani Stall bersama bapanya, Sheik Abdul Hamid Sheik Daud, sejak 10 tahun lalu. – Foto-foto SHINTARO TAY)



 



TURUN-TEMURUN



Bahkan, mereka juga membesar di hadapan mata pelanggan yang terus menyokong gerai keluarga mereka dari dahulu hingga sekarang.



Antara mereka termasuk Sheik Abdul Hannan Sheik Abdul Hamid, 32 tahun, yang menguruskan gerai Geylang Briyani Stall bersama bapanya, Sheik Abdul Hamid Sheik Daud, 68 tahun, sejak 10 tahun lalu.



“Ada pelanggan yang datang dan menegur saya ‘eh, kau dulu kecil, sekarang dah besar ya’!



“Saya tak kenal mereka tapi rasa gembira jugalah ada orang ingat saya kerana saya membesar di hadapan mereka,” ujarnya sambil tertawa.



Menurut Sheik Abdul Hannan, beliau menyertai bapanya selepas selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa.



Meskipun berminat menceburi bidang aeroangkasa dahulu, minat dalam bidang perniagaan nasi beriani kemudian timbul selepas menolong di gerai bapanya itu setiap hari.



Beberapa penjaja lain di pusat makanan itu pula pernah menceburi bidang lain sebelum mengambil alih gerai daripada orang tua mereka.



Cik Nina Husin, 31 tahun, yang mengendalikan gerai Nasi Ayam Sambal Chicken Rice pernah berkhidmat sebagai pramugari sebelum mengambil alih perniagaan bapanya, yang diwarisi daripada neneknya, sekitar lima tahun lalu.



Encik Mohamed Ishak Oli Abdul Latiff, 40 tahun, yang kini mengendalikan gerai Geylang Serai Oli pula pernah bekerja dalam beberapa bidang yang berbeza termasuk penerbangan dan tenaga sebelum mengambil alih gerai arwah bapanya tiga tahun lalu.



Mereka melakukan demikian bukan kerana terpaksa, tetapi terdorong menyambung warisan keluarga dan terus menyediakan sajian untuk dinikmati pelanggan setia yang telah memberi mereka sokongan selama ini.





(TERUSKAN NIAGA AYAH: Encik Mohamed Ishak dan ibunya Cik Herbebah Beve. Encik Mohamed Ishak yang kini kendalikan gerai Geylang Serai Oli pula pernah bekerja di beberapa tempat sebelum mengambil alih gerai arwah bapanya tiga tahun lalu.)



 



PAHIT MANIS DILALUI BERSAMA



Membesar dengan satu sama lain, penjaja generasi kedua dan ketiga di pasar dan pusat makanan Geylang Serai itu sudah menjadi ibarat sebuah keluarga besar.



Mereka berkongsi pengalaman suka duka dan pahit manis bersama.



Semasa Ramadan misalnya, Sheik Abdul Hamid berkata suasana di tempat itu cukup meriah, dengan semangat gotong-royong antara pegerai cukup menyerlah.



“Selalunya bulan puasa seronok sekali, nampak semangat tolong-menolong antara pegerai.



“Kami pun berganti-ganti sumbang makanan buat orang berbuka puasa,” katanya.



Mereka turut berkongsi jerih payah bersama sebagai penjaja yang perlu bangun awal pagi semasa kebanyakan orang masih nyenyak tidur untuk menyiapkan juadah bagi pelanggan yang ingin menjamu sarapan sebelum pergi kerja atau menjalankan urusan harian masing-masing.





(AMBIL ALIH NIAGA BAPA: Cik Nina Husin yang mengendalikan gerai Nasi Ayam Sambal Chicken Rice pernah berkhidmat sebagai pramugari sebelum mengambil alih perniagaan bapanya, Encik Husin Abdul Kadeh (kiri), yang diwarisi daripada neneknya, sekitar lima tahun lalu.)



 



KRISIS GENERASI INI



Namun, antara cabaran paling berat yang pernah mereka hadapi bersama adalah pandemik Covid-19 sekarang.



Sepanjang 35 tahun beliau mengendali gerainya di pasar dan pusat makanan Geylang Serai selepas mengambil alih daripada arwah bapanya, Sheik Abdul Hamid berkata ini kali pertama beliau melihat pusat makanan itu hampir kosong dan sunyi, dengan langsung tiada orang duduk

menjamu selera semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan untuk membendung penularan Covid-19.



Ketika itu, pusat penjaja hanya dibuka bagi pesanan bungkus.



Dengan kerusi meja dikepung untuk mengingatkan orang ramai mereka tidak boleh makan di sana, pinggan mangkuk dan sudu garpu juga tidak kelihatan di kaunter gerai.



Dengan jumlah orang yang dibenarkan ke pasar Geylang Serai dihadkan dan bazar tahunan dibatalkan semasa Ramadan lalu pula, suasana ini membuat hati Sheik Abdul Hannan rasa amat berat memikirkan bagaimana untuk menampung perniagaan mereka.



Menurut Cik Nina, mereka tidak bersedia ketika itu dan khuatir akan kesannya terhadap mata pencarian mereka.



“Ini kan periuk nasi kami, jadi mestilah bimbang macam mana kami nak terus menjana pendapatan, dengan orang ramai tidak dibenarkan makan di luar waktu itu.



“Memang banyak dugaannya,” ujarnya.



Namun, mereka tetap mencekalkan hati dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan perniagaan mereka terus berdaya tahan.



Ini bagi memastikan mereka dapat terus menyajikan hidangan mereka buat masyarakat dan warga Singapura yang telah menyokong mereka selama ini, meskipun di tengah-tengah krisis pandemik sekarang.



Bagi Encik Mohamed Ishak, beliau mula menggunakan khidmat Grab sekitar Mac lalu.



“Sebelum itu, saya tak pernah gunakan Grab untuk pesan makanan sendiri pun tapi saya nak cuba kerana semasa pandemik ini, saya tahu ramai yang lebih suka memesan makanan menerusi dalam talian.



“Kini sudah sembilan bulan saya menggunakan khidmat penghantaran Grab ini dan sambutannya baik.



“Walaupun jualan saya merosot 20 hingga 30 peratus akibat Covid-19, Grab dapat mengurangkan kesannya,” katanya.



Cik Nina dan Sheik Abdul Hannan yang telah menggunakan Grab sejak tahun lalu pula mengambil peluang menggiatkan lagi khidmat penghantaran menerusi wadah itu semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dari 7 April hingga 1 Jun lalu.



Menurut mereka, tidak sukar untuk meyakinkan bapa masing-masing menggunakan khidmat Grab itu bagi gerai mereka kerana hasilnya yang memuaskan dan sambutan hangat daripada pelanggan sudah cukup untuk membuktikan keberkesanannya.



Malah, bapa mereka juga terus menggalak dan memberi mereka ruang meneroka idea baru untuk mempertingkat perniagaan mereka.



Dengan menggunakan khidmat Grab ini, mereka dapat memastikan keselamatan pelanggan mereka yang tidak ingin keluar rumah jika tidak perlu dalam keadaan pandemik sekarang namun tetap dapat menikmati juadah gerai mereka dengan selesa di rumah.





(‘MIX AND MATCH’ SELESA: Di bawah daya usaha Hawker Centre 2.0 Grab, wadah itu turut menawarkan ciri ‘mix and match’ yang membolehkan pelanggan memesan makanan dan minuman dari gerai berbeza yang menyertai wadah Grab dalam satu pusat penjaja, dengan satu bayaran penghantaran. – Foto GRAB)



 



SEMANGAT GEYLANG SERAI DI RUANG DIGITAL



Di bawah daya usaha Hawker Centre 2.0 Grab, wadah itu turut menawarkan ciri mix and match yang membolehkan pelanggan memesan makanan dan minuman dari gerai berbeza yang menyertai wadah Grab dalam satu pusat penjaja, dengan satu bayaran penghantaran.



Sebagai contoh, ini bermakna pelanggan boleh memesan nasi beriani dari Geylang Briyani Stall, nasi ayam dari Nasi Ayam Sambal Chicken Rice dan thosai dari Geylang Serai Oli sekali jalan menerusi satu pesanan.



Ini juga menyemarakkan lagi semangat saling membantu di kalangan penjaja pada saat ramai orang terjejas akibat Covid-19 sekarang.



Sebagai contoh, Cik Nina juga memperkenal khidmat Grab itu kepada beberapa penjaja lain di pasar dan pusat makanan Geylang Serai supaya mereka juga dapat meraih manfaat daripadanya.



“Kami kongsi pengalaman kami dengan mereka dan kadang-kadang kalau mereka perlukan bantuan menggunakan aplikasi Grab, mereka datang ke gerai kami.



“Jadi, kami ibarat tech support Grab di Geylang Serai ini,” ujarnya, berseloroh.



Selain mempunyai pelanggan tetap yang selalu berkunjung ke gerai mereka, kini mereka juga mendapat pelanggan tetap baru menerusi Grab.



Encik Mohamed Ishak berkata:



“Kami tidak dapat melihat wajah mereka tapi kami kenal nama mereka apabila pesanan mereka masuk dan kami lihat nama yang sama sekurang-kurangnya seminggu sekali.



“Walaupun tak dapat lihat wajah mereka, mereka sudah menjadi pelanggan tetap kami dan ini cukup bermakna buat saya.”



 



KEUTAMAAN BARU



Gembira dengan pelbagai ciri khidmat penghantaran Grab, Sheik Abdul Hannan berkata ciri yang membolehkan orang ramai memesan makanan dari gerai berbeza menerusi satu pesanan itu memberi manfaat kepada keduadua pelanggan dan penjaja.



“Banyak manfaatnya. Apabila kami gunakan khidmat ini ia boleh membantu meningkatkan perniagaan kami.



“Khidmat ini juga tentunya dapat menyenangkan orang ramai di kawasan itu memesan makanan dari Geylang Serai tanpa perlu keluar rumah,” ujarnya.



Oleh itu, tidak hairanlah jika penjaja yang kini menggunakan khidmat Grab itu berkata khidmat penghantaran kini telah menjadi keutamaan perniagaan mereka.



Daripada tidak pernah memikirkannya langsung sebelum ini, kini Encik Mohamed Ishak berkata khidmat penghantaran seperti GrabFood sudah menjadi satu keperluan dan akan terus menjadi keutamaan bagi gerainya.



Bersetuju, Cik Nina berkata bapanya sebelum ini hanya mengharapkan rezeki daripada pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka.



“Bapa saya kata kalau ada rezeki kami, pelanggan akan datang dan beli. Kalau tak, tak perlulah kita nak pergi mencari mereka.



“Tapi bagi saya, saya tahu generasi saya dah biasa dengan khidmat penghantaran makanan, jadi apa salahnya kami cuba?” ujarnya.



Malah bagi Sheik Abdul Hannan, wadah Grab juga dapat membantu penjaja sepertinya mempromosikan perniagaan mereka di dalam talian.



“Menerusi Grab, lebih ramai orang sekarang kenal dan tahui tentang gerai saya,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >