Topik diikuti
Pergi ke BHkuAbang Hezb Kontraktor Potong Rumput
Abang Hezb Kontraktor Potong Rumput
BUNYI mesin pemotong rumput melegakan hati Abang Hezb, kontraktor potong rumput itu. Ertinya, orang yang mahu ditemuinya ada. Segera dia keluar dari Toyota Picnic model lamanya.
Langkahnya terhenti oleh sergahan bunyi hon kereta. Wajah lelaki muda dalam BMW biru muda jelas menunjukkan jengkel dan sombongnya kepada pejalan kaki berpakaian lusuh itu.
Menyedari silapnya kurang berhati-hati, Abang Hezb spontan menundukkan kepala. Cepat-cepat dia meneruskan langkahnya. Dikhabarkannya peristiwa itu kepada Nuh, pekerjanya.
"Fenomena biasa," ujar Nuh tersenyum. "Dia tak tahu Abang Hezb kontraktor kaya, boleh beli kereta besar kalau mahu!"
Abang Hezb tersenyum sama.
Dia melihat kerja Nuh sudah hampir beres. Cuaca redup pagi itu tentunya membantu mempercepat pekerjaannya.
"Mion dan Sam ada di belakang bangunan," Nuh berkata sambil menunjuk ke arah belakang. "Mungkin juga hampir habis."
Kawasan berumput di sekeliling kompleks bercampur unit perumahan dan unit komersial itu memang dalam kontrak Abang Hezb. Sudah lebih setahun kontrak itu berjalan.
"Alhamdulillah, kerja kita terus mengikut jadual," katanya gembira.
Abang Hezb memang gembira dengan kesungguhan pekerjanya. Selain pasukan Nuh, Mion dan Sam, sebuah lagi pasukan pemotong rumputnya bertugas di sebuah kawasan lain sekitar dua kilometer dari situ.
Sudah diberitahunya Nuh rancangan membesarkan syarikatnya dan memenangi beberapa kontrak tambahan. Dia mahu Nuh sebagai pembantu kanannya membantu rancangannya menjadi kenyataan.
Sudah lama Nuh dikenalinya, dan Abang Hezb amat mempercayainya. Mereka juga menjadi anggota persatuan dakwah yang sama.
"Jangan lupa jamuan kesyukuran keluarga kami esok selepas asar," katanya sebelum beredar. "Ingatkan lagi kawan-kawan untuk hadir."
Nuh mengangguk patuh. Diperhatikannya Abang Hezb berjalan pantas menghayun gagah tangannya. Memang lelaki yang dihormatinya itu tinggi besar orangnya.
Kalau dia seorang askar, mungkin sekali sesuai menjadi pegawai kanan. Bisik hati kecil Nuh.
**********
Esok lepas asar, tetamu Abang Hezb sudah siap berkumpul di apartmennya. Mereka meriah bertukar-tukar khabar walaupun ada beberapa undangan masih tidak pasti tujuan kesyukuran yang mahu diraikan.
"Terima kasih kerana kehadiran kawan-kawan. Saya dan Kak Munah berbesar hati walaupun majlis ini kecil-kecilan saja."
Hadirin menyambut baik alu-aluan Abang Hezb.
"Kami pun gembira dengan undangan ini. Cuma kami belum tahu tujuan majlis kesyukuran ini." Sambut seorang undangannya, disambut gelak yang lain.
"Nuh yang sampaikan undangan ini pun kurang tahu. Begitulah kawan baik kita ni, dia patuh menjalankan amanah tanpa banyak bertanya itu dan ini."
Tertawa semakin besar. Terasa kelucuannya.
"Sebenarnya kami undang kawan-kawan ini untuk menyatakan kesyukuran kami mendapat tambahan rezeki. Bisnes kecil-kecilan yang saya usahakan nampaknya menjadi."
"Alhamdulillah. Amin."
"Semoga bisnes itu dapat dimajukan dan niat saya itu dimakbulkan Allah."
"Amin. Amin." "
"Juga..."
Abang Hezb tidak meneruskan kata-katanya. Semua yang hadir diam. Masing-masing berpandangan sama sendiri. Nuh terus dengan senyumnya.
"Pada kesempatan ini juga saya merasmikan nama baru saya Hezbolah, menggantikan nama lama Pungut."
Hadirin sedikit terkejut, tetapi lega.
"Bunyi nama itu sedikit militan," Taib mencelah gaya orang berseloroh.
"Hezbolah bermakna tentera Allah," sambut Murad spontan.
"Itu panggilan bagi pejuang-pejuang Islam di Lubnan," sambungnya, yang memang berminat mengikuti perkembangan politik di Timur Tengah.
Tuan rumah mengangguk tenang. Terasa juga sedikit kelucuan menyambut komen dua tamunya itu.
"Benar kata Taib dan Murad," balas Abang Hezb, "Tapi bukanlah niat saya nak membentuk pasukan tentera Allah."
Kawan-kawan lain tergelak menyambutnya.
"Nama tu mungkin kurang terpakai di sini. Jadi, panggil saja singkatannya, Hezb. Panggil saya Abang Hezb. Nama Hezb atau Abang Hezb lebih mudah diingat dan disebut."
Abang Hezb berhenti sebentar, memikir-mikir sesuatu untuk melanjutkannya. Tetamu yang hadir menunggu penuh minat.
"Nama Hezb ini rasanya lebih baik untuk tujuan bisnes saya, berbanding nama Pungut," sambungnya menjelaskan.
Kawan-kawannya semakin memberi perhatian.
"Nama Pungut itu lucu, boleh mengelirukan. Lucu kepada orang kita yang tahu makna perkataan itu. Mengelirukan bagi sesetengah orang lain."
Diam.
"Orang cepat tahu Pungut itu nama Melayu. Ada juga yang berasa ganjil kenapa pakai nama yang kurang enak maknanya.
"Dalam bisnes sekarang, saya kerap berdepan masalah menjelaskan kepada pertanyaan-pertanyaan begitu."
"Dalam bisnes, nama Melayu turut mengundang prasangka," Taib mencelah.
Abang Hezb mengangguk menghargai pandangan kawannya itu.
"Gabungan semua sebab itulah membuat saya memutuskan memakai nama baru," balasnya tegas."Semoga ini langkah baik dan ada keberkatannya."
Selamat Abang Hezb! Selamat maju jaya perniagaan Abang Hezb!
Para tetamu bersorak meriah penuh kemesraan.
Jamuan sederhana menyusul bacaan doa.
**********
Abang Hezb mendekati isterinya, Kak Munah, yang jelas cukup teruja. Dia benar-benar kenal dan cukup menghargai isterinya yang telah banyak membantu merubah kehidupannya menjadi seperti apa yang ada sekarang.
Berbeza daripada isterinya, pemegang sijil 'O', dirinya hanya tamat menengah satu. Dengan kelulusan rendah dan penguasaan bahasa yang hanya begitu-begitu, sukar baginya mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan.
Isterinya, yang memahami kekurangan suaminya, bertekad mengambil peranan membantu suaminya. Dia mendorong suaminya menghadiri pelbagai kursus yang dimampuinya. Dia membantu Abang Hezb menguasai kemahiran membaca dan menulis lebih baik.
Dengan bimbingan Kak Munah juga Abang Hezb memperbaiki penguasaan asas bahasa dan tulisannya, bahkan juga dalam mengaji Al-Quran.
Lucu juga Abang Hezb melihat perkembangan itu. Sepatutnya sebagai suami, dia yang menjadi imam memimpin isterinya. Tetapi daripada isterinya pula dia belajar untuk hidup lebih bermakna.
Abang Hezb bersyukur. Semua kelebihan itu menjadi bekal kepadanya melebarkan usaha meningkatkan tahap kehidupan keluarganya.
Dia bertambah yakin dalam pekerjaannya dan mencuba beberapa usaha niaga kecil-kecilan termasuk kerja memotong rumput dan mengambil kontrak.
Kini, usaha niaganya sedang menuju ke ambang kejayaan.
"Terima kasih Munah kerana menjadi obor menyalakan semangat dan kehidupan saya sampai ke tahap sekarang. Semoga Allah akan terus merahmati kehidupan kita sekeluarga."
"Amin."
Sambut Kak Munah dalam pelukan penuh kasih sayang suaminya. Dua anak remaja mereka, Habibah dan Saifudin, mengongsi kebahagiaan orang tua mereka.
**********
Abang Hezb bergegas menemui Nuh setelah mendapat panggilan cemas daripadanya.
"Kerja memotong rumput di kilang itu digantung sampai masalah sekarang diselesaikan!"
Berita buruk itu disampaikan Nuh sebaik sahaja Abang Hezb datang menemuinya.
"Digantung? Masalah? Saya tak faham."
Abang Hezb benar-benar keliru. Baginya itu berita buruk.
Kontrak pekerjaan di kilang itu baru sahaja dimenangi tiga minggu lalu. Penggantungan kontrak itu akan menjejas empat pekerjanya.
Tetapi mengapa? Ini masalah pertama yang dihadapinya sejak memulakan usaha niaga sebagai kontraktor pemotongan rumput. Apa silapnya? Mungkinkah dalam keghairahan meluaskan usaha niaganya dia telah terjebak dalam unsur-unsur tidak beretika?
Pelbagai pertanyaan berkecamuk dalam fikiran Abang Hezb.
"Cuba ceritakan sejelasnya, biar saya faham."
Menurut Nuh dia dipanggil pengurus kanan kilang memberitahunya perihal pintu masuk ke sebuah stor kilangnya pecah.
"Bahagian luar stor itu jadi tempat biasa pekerja kita berehat," Nuh menjelaskan. "Asim yang mula perasan keadaan itu lalu segera memberitahu pihak kilang. Pengurus kanan datang dan membuat pemeriksaan."
Katanya lagi, "Pengurus memberitahu saya tiga pekerja kita Asim, Daud dan Sabri sudah berada di situ. Muin tidak ada. Pengurus memutuskan memanggil ketiga-tiga mereka ke pejabatnya."
Abang Hezb cemas.
"Asim yang meminta pengurus kilang memanggil saya datang menjelaskan jika ada urusan syarikat perlu diketahui. Waktu saya tiba, saya nampak Encik Basiron, baru hadir ke pejabat pengurus."
Sebutan nama Basiron mengejutkan Abang Hezb. Basiron itulah yang khidmat kontraknya tidak dilanjutkan.
"Pengurus beritahu kerja memotong rumput hari itu tak perlu diteruskan. Katanya, dia perlu menyelesaikan beberapa urusan dulu. Sementara itu, katanya, kontrak kita digantung. Dia akan panggil Abang Hezb kemudian apabila ada keputusan baru dibuat."
Abang Hezb mencatatkan sesuatu. Dimintanya Nuh mengatur jadual seterusnya untuk pekerja-pekerja yang terjejas.
Dua hari kemudian Abang Hezb menerima panggilan pihak kilang memintanya datang petang itu.
"Kami minta maaf kerana kesusahan sedikit ini," kata pengurus kanan menyambut kedatangan Abang Hezb.
Hati Abang Hezb masih mencurigai sesuatu.
"Berlaku sedikit salah faham."
Abang Hezb masih keliru.
"Dua hari lalu pintu masuk stor pecah. Ada sedikit barang yang sudah berubah tempat. Kebetulan itu hari pekerja-pekerja awak bekerja. Tapi ada seorang pekerja tak ada."
"Jadi awak syak pekerja saya yang buat kerja jahat itu."
"Itu yang saya nak terangkan, dan minta maaf. Ada orang beritahu pekerja seorang itu buat hal lalu dia larikan diri. Saya dapat tahu dia pulang ke Kajang."
Abang Hezb menunggu penjelasan lanjut.
"Saya telefon. Dia respon. Memang dia di Kajang. Tapi, dia ke sana sebab ibunya sakit kuat. Dia beri cukup bukti."
"Jadi tiada kena-mengena dengan kes pintu stor pecah."
"Benar. Saya terlalu cepat dengar cakap Basiron sampai mengesyak pekerja awak."
"Mengapa begitu sikap Basiron?" Abang Hezb terkejut. Wajah Basiron segera muncul di kepalanya.
"Tiada kaitan soal stor dengan pekerja awak. Mereka boleh sambung kerja."
Keputusan pengurus kanan itu melegakan Abang Hezb.
Dia percaya para pekerjanya memang bercakap benar. Memang itulah dasar yang sentiasa diterapkannya kepada mereka. Dasar itu terpakai bukan sahaja dalam urusan urus niaganya bahkan dalam urusan kehidupannya.
Abang Hezb bersyukur. Azamnya bertambah untuk terus maju menjadi kontraktor potong rumput yang dipercayai dan berjaya dalam dunia usaha niaga.
BIODATA PENULIS
Maarof Salleh pernah menjadi zamil kanan kajian di Institut Pengajian Asia Tenggara. Beliau pernah mengajar subjek Bahasa Melayu, Sastera, Ekonomi dan Sejarah pada pelbagai peringkat, dan mengetuai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sedekad.