Bahasa jiwa bangsa

BH/BM giat manfaatkan pelbagai wadah bagi dekati pelbagai golongan pembaca

MENGHIDUPKAN penggunaan bahasa Melayu menerusi pelbagai wadah menjadi antara usaha yang dilakukan oleh akhbar ini sepanjang 2019.

Skopnya luas merangkumi pelbagai aspek bahasa, mendekati pelbagai golongan dan peringkat usia dengan menggunakan pelbagai pendekatan. Antaranya ialah:

Podcast

Sejajar dengan trend semasa, Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) melancarkan dua Podcast - No Tapis dan Cakap Masjid.

Podcast No Tapis mengetengahkan pelbagai personaliti membincangkan pelbagai topik yang dekat di hati masyarakat.

Podcast Cakap Masjid mengetengahkan asatizah membincangkan topik agama.

Tablet dan Berita.Sg

Memanfaatkan perkembangan teknologi, BH/BM menawarkan langganan istimewa yang membolehkan pembaca menikmati 'sentuhan' akhbar tradisional menerusi Tablet BH/BM, sekali gus mendekati pembaca muda yang lebih mesra teknologi. Tablet Samsung Galaxy Tab A Wi-Fi memuatnaik akhbar elektronik atau e-akhbar BH/BM secara automatik setiap hari.

BH/BM sudah lama menyediakan berita di wadah digital BeritaHarian.SG yang memudahkan pembaca mengikuti berita di mana sahaja.

Anugerah Guru Arif Budiman (Agab)

BH/BM terus terlibat dengan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) menganjurkan Agab bagi mengiktiraf guru-guru Bahasa Melayu yang cemerlang dalam mempromosikan dan meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu melalui pengajaran dan pembelajaran.

Enam guru Bahasa Melayu cemerlang diiktiraf pada majlis penyampaian Agab 2019 di Orchid Country Club bagi 2019.

Dekati golongan muda

Banyak yang dilakukan untuk mendekati golongan muda. Ini termasuk menerbitkan akhbar versi perlajar - GenG, singkatan bagi Generasi Geliga yang dilancarkan pada 2010 - yang menghidangkan sajian berita terpenting setiap minggu kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, yang dipermudah untuk bacaan mereka.

- Menganjurkan Kem Kewartawanan pada Jun secara berasingan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah. Kem itu mendedahkan pelajar kepada kemahiran kewartawanan, seperti mewawancara dan menulis berita untuk akhbar. Di samping itu, pelajar menjalani bengkel merakam video bagi media sosial. Mereka juga didedahkan kepada pengalaman sebenar yang dilalui wartawan, termasuk bertanya soalan dalam sebuah sidang media.

- BH/BM menyertai Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) di Pusat Pameran dan Konvensyen Suntec Singapore, menampilkan akhbar Gen-G dan pelbagai acara. Antara lain, wartawan BH mengendalikan kegiatan menarik bagi murid prasekolah, sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

Forum dan simposium bahasa

Forum Guru anjuran BH/BM dan akhbar pelajar Gen-G membincangkan cara menggunakan wadah tersebut dalam merancakkan pembelajaran Bahasa Melayu.

Lebih 80 guru menghadiri forum itu yang turut mengundang pakar media sosial, Dr Elmie Nekmat, Penolong Profesor daripada Jabatan Perhubungan dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS), berkongsi mengenai trend media sosial dalam kalangan belia.

Wartawan BH/BM yang juga pengacara Podcast, Cik Shahida Sarhid, menekankan bahawa Podcast boleh digunakan guru untuk mengajar murid peribahasa, kemahiran lisan, kefahaman mendengar, menulis e-mel serta karangan ekspositori (esei berbentuk perbincangan). Malah, podcast juga boleh dihasilkan di dalam kelas.

Sokong kegiatan

BH/BM menyokong bermacam inisiatif bahasa di pelbagai peringkat. Ini termasuk:

- Bulan bahasa: Kegiatan berkaitan bahasa diberi liputan meluas bagi mengajak masyarakat menjengah dan menghargai warisan Melayu; dan beberapa acara lain seperti Pesta Budaya Melayu anjuran Taman Warisan Melayu (TWM) yang antara lain memaparkan peranan Orang Seletar dalam sejarah pulau ini termasuk ceramah, pameran dan pementasan drama.

- Pameran: Antaranya ialah pameran yang memaparkan guru-guru yang telah meninggalkan kesan mendalam terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di Singapura, selain menyumbang kepada pembangunan bangsa, masyarakat dan negara. Pameran itu dilakar pengkaji bahasa Melayu, Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz, yang juga merupakan penerima Agab 2017.

- Pertandingan menulis cerpen: Pertandingan 'Mencari Kristal' merupakan sebahagian daripada usaha menyuburkan kreativiti dan mencetus semangat dalam kalangan penulis Melayu setempat agar terus menghasilkan karya bermutu.

Program selama lima bulan itu bukan sekadar menawarkan peluang peserta mengirimkan karya dalam bentuk cerpen untuk dipertandingkan malah peluang mengikuti enam siri bengkel yang dibimbing oleh karyawan yang disegani dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, karya Darah Anjing Jatuh dari Langit tulisan Encik Adam Fadila, 70 tahun, dipilih sebagai karya terbaik

- Mengetengahkan tokoh bahasa: Antara tokoh bahasa yang diketengahkan, sama ada mewawancara mereka, menerbitkan tulisan mereka atau menyokong usaha yang mereka lakukan dalam bidah bahasa dan pendidikan, ialah Sasterawan mapan Encik Suratman Markasan, Encik Mohd Ma'mun HM Fadhlullah Suheimi, dan Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz.

Ruangan khas bahasa

Bagi terus melestarikan bahasa Melayu, akhbar ini mengadakan ruangan wacana tetap berkaitan bahasa di BH/BM dengan tema 'Bahasa Melayu, Warisan kita', semarakkan bahasa Kebangsaan bersama BH/BM. Pelbagai aspek bahasa Melayu diketengahkan. Antaranya ialah kerencaman perkataan, pengaruh bahasa asing dalam bahasa Melayu, ketajaman fikiran dan pemerhatian masyarakat Melayu di sebalik peribahasa, percambahan bahasa semasa dan sebagainya.


ANTARA TOPIK YANG DIUTARAKAN

Serupa tapi tak sama, sama tetapi tidak serupa

Wacana ini membincangkan kerencaman bahasa. Antara lain mengetengahkan betapa satu perkataan boleh memberi banyak makna yang berlainan, dalam konteks berbeza. Antara perkataan yang dicontohkan ialah fitnah, masak, potong, ahli, penggal, rapat dan sumbang.

Kerencaman itu sekali gus menunjukkan keindahan bahasa Melayu. Lantas, perkataan yang tepat wajar digunakan sesuai dengan waktu, tempat dan keadaan agar menepati maksudnya.

Istimewanya bahasa... tepat pada tempat

Membincang kehalusan dan lenggok bahasa yang digunakan pada tempatnya - ada bahasa agama, ada bahasa istana, ada bahasa sastera, ada bahasa persuratan, ada bahasa pasar dan bahasa anak muda yang berubah dari masa ke masa. Pemilihan perkataan yang digunakan berlainan dalam menerangkan sesuatu. Ia mengetengahkan aspek bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah, anjal dan boleh disesuaikan mengikut masa, tempat dan keadaan, baik sebagai bahasa yang menerangkan agama, bahasa yang menyifatkan keadaan sesuai dengan istana, dan puisi, bahasa padat untuk akhbar dan bahasa bagi orang kebanyakan, dan tentunya bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Keunikan kaitan bahasa dan budaya Melayu

Membincangkan tentang perkataan dari bahasa asing yang terserap dalam bahasa Melayu. Antara perkataan yang dicontohkan ialah beberapa perkataan seperti rezeki, berkah, hidayah, umur dan sihat wal afiah yang asal perkataan daripada bahasa Arab. Namun kerana sudah lama dan biasa digunakan, perkataan itu sudah dianggap sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu.

Pengaruh sedemikian bukan sahaja terserap dalam bahasa, malah dalam beberapa kehidupan masyarakat, termasuk dalam menamakan anak.

Akronim dan perkataan semasa

Membincangkan beberapa akronim - kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan. Ada akronim yang telah diterima di sini dan ada akronim di negara jiran yang biasa didengar tetapi belum biasa digunakan di sini. Wacana juga membincangkan perkembangan bahasa sesuai dengan perubahan semasa dan teknologi, menceduk bahasa, bersikap fleksibel terhadap perubahan yang mempunyai implikasi terhadap bahasa sambil memastikan perkataan baru dapat memakmurkan lagi bahasa, bukan mencemarkannya.