Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Mencari Kristal - Karya 5/8

Baik Ayah!

Nov 01, 2016 | 10:00 AM



Oleh Amanah Mustafi



Ayam jantan nyaring berkokok. Burung pipit riuh berkicau di pinggir hutan. Langit pagi samar-samar membiru. Matanya celik tetapi masih berbaring, lemah akibat berubat semalam. Tetiba telinganya menangkap bunyi langkah kaki datang ke arah biliknya. Yati pantas bingkas, berdiri di balik pintu. Pintu dikuak. Mata Pak Amin liar berkeliar sekitar bilik. 



“Yati, ayah nak ubatkan kau!”



Yati matikan diri. Kalau boleh dia tidak mahu menarik nafas pun, bimbang didengari ayahnya. Pak Amin menolak kuat pintu ke dinding hingga mencecah dada Yati. Yati kecutkan tubuhnya dan pejamkan mata. Takut! Pak Amin mengetap bibir, mendengus hampa dan beredar. 



Yati juga sudah lama hampa. Malah dia juga marah dan sedih. Namun, biar betapa besar gejolak perasaannya, lidahnya tidak mampu mengungkap kata-kata apabila Roslan bertemunya di depan warung. Diamnya lebih banyak berkata-kata. Roslan dapat merasakan ada sesuatu tersembunyi di balik mata kekasihnya. Dia sengaja membuat usulan agar mereka dapat berbual lama. 



“Esok ada majlis keramaian di rumah Tok Wan. Mari kita pergi.” Seperti biasa, Yati berdiam. Matanya menunduk. Setelah seketika baru terpacul kekata.



“Tak boleh, ayah nak ubatkan saya esok malam.”



“Lagi? Tapi awak kan tak sakit!”



“Ayah kata, banyak makhluk halus dalam badan saya. Ayah nak keluarkan satu persatu.”



“Keluarkan? Dengan cara apa?”



Dengan sekilas wajah Yati menyinga, sesuatu yang Yati tidak pernah lakukan sebelum ini. Roslan terpana seketika. Roslan hendak bertanya lagi.



Tetapi Yati sudah menjauh pergi. 



Sejak pertemuan itu hati Roslan semakin gundah. Roslan ingin tahu apa rahsia bahasa yang tersimpan dalam hati Yati. Malam itu, dorongan hatinya membuatkan dia sudah pun berada di kolong rumah Yati. Kolongnya agak tinggi, memudahkan Roslan bergerak. Tidak ada rumah lain di sekitar terataknya selain dari hutan dan tanah perkuburan lama. Dinding papannya kelabu gelap. Atap rumbia yang kering memburuk menjerit minta diganti. Lubang sebesar cangkir kelihatan di bumbung sebelah dapur. Sekeping papan di tangga sudah tercabut tapi masih bergantungan.



Malam itu cahaya bulan tidak sudi menembusi awan. Ampaian kain yang terletak di jarak satu meter di laman rumah juga sukar Roslan lihat.



Pintu dan tingkap rumah Yati bertutup rapat. Roslan harus mencari lubang untuk mengintai. Ternyata sukar kerana gelap. Tapi tidak sukar jika digunakan deria dengarnya.



Sahutan burung hantu dari belakang rumah meremangkan bulu romanya. Tapi yang lebih mencemaskan hati Roslan apabila dia terdengar derap kaki menapak di lantai papan, berhenti betul-betul di atas kepalanya. Dengan lincah tapi cermat, Roslan keluar dari kolong dan berdiri mendekati jendela.



Kesepuluh jari-jemarinya mencengkam tepi kanan dan kiri jendela, cuba menguaknya. Keras! Roslan menekapkan telinganya ke papan jendela.



Walaupun bunyi cengkerik datang bertubi-tubi dari arah hutan, Roslan dapat mendengar alunan nafas yang kencang datang dari bilik sebelah jendela itu.



Kencang nafas ayah Yati turun naik. Bebiji peluh merecup-recup di dahinya. Cahaya pelita membuatkan bintik keringat itu nampak berkilat seolah-olah kilauan semangatnya. Tengkuknya mula membasah. Badan belakangnya sudah lama melekit basah. Sesekali matanya dikatup perlahan-lahan. Menyerapi nikmat agar sirna segala keresahan.



Namun Roslan semakin keresahan kerana dia tidak mendengar apa-apa yang mencemaskan datang dari dalam bilik itu. Matanya merayap di setiap pelosok dinding, mencari celahan yang renggang. Hatinya melonjak bila matanya ternampak celahan lubang dinding. Malangnya ketinggian Roslan yang hanya 5 kaki 4 inci itu tidak membolehkan dia mengintai di lubang yang berada agak tinggi di atas kepalanya.



Roslan pantas kembali merayap di perkarangan rumah. Mujur ada sebuah tempayan tua terlungkup di tepi pokok senduduk yang tumbuh meliar.



Roslan mengheret tempayan itu, ditelungkupkan tepi dinding. Dia segera panjat dan berdiri di atas tempayan. Matanya cepat diacukan ke celahan. 



Ayah Yati juga berada dalam celahan yang menikmatkan. Matanya lama terpejam menikmati damai setiap detik dan membiarkannya hingga ke titisan terakhir.



Dia akan membiarkan nikmat itu meresap ke dada, ke ruang hati dan akhir sekali ke kepalanya. Sengaja dia berlama begitu seolah-olah mendapatkan persinggahan terakhir. Biar kenikmatan itu dapat menghilangkan dahaga nafsu yang terbetik dari batang tubuh Yati yang tidak berdaya itu. 



“Dua makhluk dah dihalau keluar dari batang tubuh kau.” Ayahnya menghela nafas lega sebelum menyambung, “Semangat kau akan pulih semula.” Terkial-kial Yati bangun sambil menyarungkan pakaiannya. 



Serta-merta tubuh Roslan menjadi lemah, terkulai seperti baju basah jatuh dari jemuran. Kesedihan hatinya dikelek bersama sewaktu berlari pulang. Mukanya berembes dengan air mata yang mencurah tanpa mampu dikawal. Dia mesti bertemu Yati jika tidak mahu hatinya hancur. 



“Kalau betul badan awak dimasuki makhluk halus, awak mengaji, berzikir!”



“Ayah saya lebih tahu. Dia tukang ubat! Ayah kata dalam badan saya banyak sial.”



“Karut! Ayah awak gunakan awak untuk melayan nafsu buasnya!” 



“Tidakkkk….jangan hina ayah saya. Dia nak selamatkan nyawa emak dan nyawa saya. Pergiiiiiii……!” Yati yang terus meluru pergi. 



Membiarkan dirinya lama bersanggama dengan tahyul dan kurafat telah mengaburi fikiran rasional pak Amin hingga tergamak ‘memakan’ anak sendiri. Kasih seorang ayah luput semata-mata didorong nafsu serakah yang tidak terkawal.



Roslan pasti ibu Yati tidak mengetahuinya kerana naluri seorang ibu tetap murni dan tulus. Seorang ibu sanggup menentang sesiapa sahaja, biarpun suaminya demi keselamatan anaknya. Roslan bertekad untuk mendapatkan bantuan ibu Yati bagi menghentikan perbuatan yang keji itu. 



Lama Roslan menyembunyikan diri di balik rimbunan semak di tepi hutan, menanti Pak Amin keluar rumah. Sebaik sahaja Pak Amin pergi, dia melangkah naik ke teratak Yati. Roslan duduk bersila di depan tilam nipis yang dibaringi sekujur tubuh yang kurus kering.



Yati baru menyudukan air ke mulut ibunya. Roslan tidak menduga bertemu ibu Yati dalam keadaan sebegini. Wajah wanita itu mencuka selepas mendengar kata-kata nasihat Roslan.



“Semua orang tahu suami aku tukang ubat terbaik. Dia tahu apa yang dia lakukan,” suara lemah itu berhenti sejenak untuk menarik nafas dalam-dalam.



“Berani kau buruk-burukkan suami aku! Kau sengaja nak porak-perandakan keluarga kami. Keluar kau sekarang!” Bahang api bersemarak di sebalik nada lemah itu. 



Roslan hampa kerana tidak berjaya meyakinkan ibu Yati. Ia memberi petanda jelas yang dia juga gagal menyelamatkan gadis yang telah mencuri hatinya. Dengan hati yang amat berat, Roslan perlahan-lahan bangun dan menghayunkan langkah ke muka pintu. Ibu Yati juga dalam hayunan perasaan.



Fikirannya mulai berkecamuk. Wajahnya merudum layu. Perasaan bersalah yang sangat besar menginjak hatinya, menerjah benaknya, menghentak-hentak dinding perasaannya. Air mukanya menjadi lebih malap dan lunyai. Wajah Roslan juga kelam dan mendak.



Sewaktu tiba di ambang pintu, Roslan terdengar sayup-sayup suara ibu Yati menyebut namanya. Ibu Yati melambai lemah agar Roslan datang kembali kepadanya. 



Suara yang lemah dan terputus-putus, berbisik ke telinga Roslan, “Ba…….ba……bawa Ya….Yati lari dari rumah malam ini.” 



Yati tunduk. Air matanya mengalir deras di pipi. Akhirnya dia mendapat persetujuan ibunya. Hatinya menjerit minta segera dibantu. Tidak seperti selalu, kini Yati merenung tepat mata Roslan. Roslan pula tidak tergamak melihat mata yang kian lama menderita.



Mata Roslan terus tunduk sambil berjalan ke pintu. Yati merenggut tangan Roslan, digenggamnya erat. Yati bersuara rendah. 



“Jadikan malam ini, malam terakhir aku di rumah ini.” Roslan angguk sambil menggenggam erat tangan Yati. 



Langkah Pak Amin terhenti apabila dia nampak Roslan berada di luar rumahnya. Rokok daun nipah yang menyala dibiarkan tergantung di bibirnya tanpa disedut. Mata Pak Amin terpacak tajam bukan pada Roslan tapi Yati. Terpana melihat air muka yang tidak pernah dilihatnya sejauh ini.



Terbayang sinar harapan di bawah lapisan kulit wajah yang merudum itu. Rokok daun nipah itu ditolak dengan lidahnya. Matanya tidak lepas memerhatikan Roslan, cuba menyerap muslihat anak muda itu. 



Malam itu bulan mengambang penuh seperti menyerikan cahaya harapan pada Yati. Beg sudah menanti di tepi pintu biliknya. Pak Amin duduk dalam gelap di ruang tamu, menyedut rokok daun nipah yang baru digolong dengan tembakau China. Fikirannya liar menerawang. Yati tidak menghidangkan air kopi seperti biasa. Dia berkurung dalam bilik. Perasaan takut sudah lebih dulu menyelubunginya.



Ayahnya bijak menelah seperti pecahnya asap rokok di ruang udara. Dia menyedut lagi rokoknya lalu mencampakkan puntung rokok itu ke luar tingkap. Dia bingkas bangun dan berjalan keluar. Yati menarik nafas lega. Sekarang juga dia boleh lari rumah. Tapi Roslan sudah pesan, tunggu sampai dia menjemputnya. Jantungnya terus berdegap-degup, resah menunggu. Tiba-tiba dia tersentak kerana ada tangan memegang bahunya. 



“Ayah kau suami yang baik. Mak cuba senangkan hati ayah biarpun mak sakit. ” Perlahan-lahan ibu menangkup kedua tangannya ke muka Yati.



“Ayah tak bersalah. Mak yang cadangkan ini semua. Mak lakukan demi menjaga ayah. Dari mencari di luar, lebih baik ayah ambil dari kepunyaan mak sendiri. Mak pasti kau juga sayangkan ayah.”



Mata Yati menjadi merah, menahan kesengsaraan yang dipendam sekian lama. “Emak selalu cakap, kalau tak ada ayah, tak tahu apa jadi pada emak, pada Yati. Kita perlukan ayah.”



Ibu Yati mengangguk berkali-kali. Bukan setuju dengan kata-kata yang baru Yati ucapkan. Tapi setuju yang dia telah membohongi Yati selama ini. 



“Yati tahu apa yang Yati lakukan selama ini salah………salahhhh!” Yati terus menangis hiba sebelum menyambung semula kekatanya, “Tapi Yati lakukan juga sebab Yati tahu apa yang tersirat di hati emak. Ya….Ya…..Yati sayangkan emakkkk………” 



Hati ibu Yati hancur lumat menyaksikan kesengsaraan gadisnya dek perbuatannya sendiri. 



“Maafkan emakkkkk…...” 



Kededua beranak berdakapan, saling mengenangkan nilai maruah yang rapuh. Malam itu, ibu berdoa untuk kehidupan baru Yati. Esok pagi tidak akan sama seperti pagi-pagi sebelumnya. 



Ayam jantan nyaring berkokok. Burung pipit riuh berkicau di pinggir hutan. Langit pagi samar-samar membiru.



Ibu Yati sedih kerana dia tidak akan mendapat layanan patuh dan ikhlas daripada Yati lagi. Dia sudah bulatkan fikiran untuk menentang suaminya. Sebenarnya, dia tidak bersedia menemuinya hari itu. Hari yang sangat menakutkan. Dari luar, dia mendengar suara lantang suaminya.



“Yati, buatkan ayah kopi.” 



Tidak ada jawapan. Pak Amin melaung lagi. Kali ini nada suaranya lebih keras. Ibu Yati terpisat-pisat cuba duduk. Dia akan berterus-terang biar apa yang akan terjadi. Dalam keadaan terkial-kial itu, ibu Yati terdengar suara lagi.



“Baik ayah.”



Ibu Yati terjelepuk ke lantai. Pak Amin membuka jendela dan menuruni tangga, menuju ke pojok kolong rumah. Dia mencapai parang yang berbungkus kain batik. Dia mesti segera membasuh parang berlumuran darah sebelum matahari naik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >