Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Belum tersurat ke puncak karya

Malam ini di The Pod, bangunan Perpustakaan Negara, sasterawan mapan Haji Suratman Markasan akan diraikan dalam majlis sederhana yang gemilang. Empat (lima) jilid karya pilihan genre puisi, cerpen, esei sastera, ucapan dan wawancaranya bakal dilancarkan. Berikut liku hayat kreatifnya. Suratman amat berdisiplin dalam hasilkan karya dan perjuangkan persuratan Melayu
Jan 14, 2014 | 01:14 PM



MOHD RAMAN DAUD


BERSAMA


RENDANG susuk tubuhnya dan lemah lembut tuturnya.


Namun di sebalik itu, beliau seorang yang teguh pendirian dan amat tinggi disiplinnya, terutama dalam memperjuangkan persuratan Melayu.


Itulah Haji Suratman Markasan.


Malam ini, beliau diraikan dalam majlis sederhana (sekitar 120 tetamu undangan) dengan kehadiran sasterawan ternama dari negara jiran - cukup bermakna gemilangnya.


"Alhamdulillah, saya terima geran Pingat Budaya tahun 2010 bernilai $80,000. Syarat penggunaannya ketat iaitu ia tidak boleh dikeluarkan tanpa projek atau usaha bermakna," kata beliau dalam wawancara di flat jumbonya di estet perumahan Woodlands.


Sesudah dua tahun, terkumpullah jerih payah persuratannya dalam empat (lebih tepat lima) jilid dari sejak menceburi bidang persuratan secara serius pada 1954 sehingga tahun lalu:


Jilid 1: sekitar 300 kuntum puisi (tahun 1954-2011), harga $42;


Jilid 2: lebih 100 cerpen (1955-2012), harga $55;


Jilid 3A dan Jilid 3B: lebih 95 makalah atau kertas kerja (19862012), harga $55 dan $42, dan


Jilid 4: lebih 100 ucapan dan temu ramah (1987-2012), harga $42.


Kesemuanya dijudulkan Kembali Ke Akar Melayu, Kembali Ke Akar Islam.


Beliau berharap hasil jualan empat jilid itu dapat disalurkan kepada dana pembangunan Madrasah Wak Tanjong, katanya.


KARYA ITU IBADAH


"Saya memilih judul tadi kerana amat sedar dan insaf bahawa menjadi penulis, terutama kreatif, sekadar laluan perjalanan hidup. Dan hidup bermakna, kita perlu sifatkan usaha kita sebagai ibadah kerana-Nya semata," kata pendidik, sasterawan perintis dan aktivis masyarakat yang berusia 83 tahun itu.


Beliau mensyukuri nikmat hidupnya yang masih sihat.


"Saya kerap bermain badminton setidak-tidaknya seminggu sekali atau berlari anak dengan isteri dan anak saya," ceritanya.


Hidupnya penuh drama, antaranya sesudah isteri tercintanya, Saerah Taris, seorang guru dan aktivis masyarakat yang dihormati, terkorban dalam nahas jalan raya di depan rumah mereka di Toh Tuck Road pada 1987.


Kehidupannya dengan Hajah Saerah sejak 1959 cukup merangsangkan minda kreatifnya. Bahkan rumah kembarnya itu menjadi inapan kalangan tokoh persuratan terkemuka dari negara-negara jiran.


Sebelum pemergian isterinya, beliau dipecat daripada jawatan kanan dalam Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura kerana isu dalaman. Beritanya menjadi tajuk dada akhbar di Singapura dan Malaysia ketika itu.


"Lama saya hidup dalam duka selepas kematian isteri. Mentelah ketika itu dua anak perempuan saya belajar di luar negara dan anak lelaki kami pula sedang menjalani Perkhidmatan Negara.


"Setiap hari selama sebulan saya mengunjungi kuburnya, menangis sepi.


"Entah bagaimana, pada hening awal pagi selepas solat subuh, saya disentuh oleh suatu suara yang menyebut: 'Bacalah Quran'. Berulang-ulang.


"Sejak itu saya kembali ke akar iaitu Islam walaupun tetap memperjuangkan ehwal Melayu seperti sebelumnya. Dengan kaca mata Islam, saya dapat melihat keadaan secara lebih menyeluruh," katanya dengan mata hampir berkaca.


BANGKIT DARI TRAGEDI


Haji Suratman, yang pernah memegang jawatan penting di Kementerian Pendidikan, terus aktif menulis tetapi tidak menyiarkannya.


Hidupnya terasa sepi.


Akhirnya, mantan Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Darussalam itu menemui seorang wanita yang agak muda, namun cukup matang memahami dirinya - Halimah Madon - pada 1996.


Mereka dikurnia anak lelaki tunggal, kini berusia 17 tahun.


Haji Suratman memang terkenal menulis secara berterus terang, termasuk menegur sikap pura-pura orang Melayu Singapura.


"Saya lakukan ini secara ikhlas semata-mata kerana inginkan masyarakat kita agar lebih baik. Menulis juga berdakwah. Memang ramai orang tidak senang, tetapi saya tetap dengan pendirian saya," katanya.


Beliau pernah memimpin sejumlah pertubuhan termasuk Angkatan Sasterawan '50, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan Majlis Pusat.


Baktinya juga disumbangkan dalam menyunting sejumlah penerbitan seperti Sasterawan dan Ikhwan Darussalam serta antologi karya sastera seperti Gema Temasek dan Tiga Warna Bertemu (koleksi sajak 41 penyair Singapura terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia).


Karya-karyanya dianggap seiringan dengan Almarhum Masuri Salikun (Masuri SN), terutama cerpennya yang mudah tetapi berat dan mendalam isunya seperti kisah penghulu yang kehilangan pulau dan hampir segalanya.


Beliau juga meraih banyak penghormatan dari dalam dan luar negara.


Selain penerima keempat Anugerah Tun Seri Lanang daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura, beliau juga menerima Anugerah Persuratan Asia Tenggara daripada kerajaan Thailand dan tokoh sasterawan Nusantara.


BELUM KE PUNCAK


Apakah beliau telah sampai ke puncak pengkaryaan?


Dengan rendah hati, beliau berkata: "Rasa-rasanya belum lagi. Pernah novel saya, Tiga Lelaki, diangkat oleh sarjana Malaysia, Dr Luthfi Abbas, sebagai bertaraf antarabangsa. Namun ia belum diterjemahkan untuk pasaran dunia.


"Namun, inilah masalah persuratan Melayu umumnya, terutama kita di Singapura yang kekurangan pengkritik berwibawa dan berpengaruh untuk mendorong kemajuan sastera," kata beliau dengan sebutan baku - antara lambang keperibadiannya sebagai pendidik dan pensyarah Bahasa Melayu.


SINGAPURA SEBAGAI HAB


Untuk penerbitan empat jilidnya yang bakal dilancarkan malam ini, beliau telah mendapatkan jasa baik dua pengkritik Malaysia - Dr Abdul Rahman Napiah (@Mana Sikana) dan Dr Hashim Awang - untuk masing-masing bagi jilid puisi dan cerpennya.


Dari Singapura pula, beliau bertuah kerana mendapat khidmat sarjana berbakat, Dr Azhar Alwee, untuk koleksi kertas kerjanya, dan Cik Kartini Anwar (sedang menyelesaikan kursus doktor falsafahnya di Universiti Teknologi Nanyang) bagi jilid ucapan dan wawancaranya.


"Alhamdulillah, kita kini sudah ada tiga institusi yang ada pengajian Melayu iaitu Universiti Nasional Singapura, Universiti Teknologi Nanyang dan UniSIM.


"Jika para pensyarah di sini dapat menjadi pengulas atau pengkritik karya sastera setempat, akan tercetus semacam perkembangan membina. Baru mutu sastera kita boleh naik macam 1950-an," kata beliau yang berharap Singapura kembali menjadi hab persuratan Melayu rantau ini.


"Saya harap dapat sihat tubuh dan fikiran untuk terus berkarya. Rutin saya ialah selepas solat, sarapan dan bersenam kemudian menulis dan menulis. Jika ada pertemuan di luar, saya cuba aturkan masa untuk menulis agar tetap tersisa. Disiplin ini perlu saya jaga di samping menimba ilmu dengan membaca dan sebagainya," katanya mengenai rumus kejayaannya.


Dan pada malam ini, beliau akan menyambut satu lagi detik dalam perjalanan hidupnya. Pada usia langka tetapi masih kreatif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >