Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Aneh dan Ajaib

Oct 10, 2021 | 05:30 AM



"Berapa harga telur ikan ini," perempuan itu menuding ke arah longgokan telur ikan sambil bertanya kepada lelaki lansia penjual berbagai jenis ikan di hujung pasar itu. Diperhatikan muka sang penjual, yang hanya berpakaian t-shirt tanpa lengan berwarna hitam, yang berdiri di hadapan tempat menjualnya. Bajunya tidak lusuh, juga bukan baru. Sementara dia berpakaian ranggi, seperti orang mahu ke suatu majlis atau pesta dan meranggit beg berjenama di bahunya.



"Setengah kilo tiga belas dolar setengah," jawab si penjual dengan senyuman. Hatinya penuh doa agar perempuan itu setuju dengan harga yang ditawarkan.



"Aii… mahalnya!" perempuan itu meningkah. "Boleh kurang tak? Bagilah saya $11.50, boleh?" dia menawar.



"Mana boleh cik, kalau macam ini saya berniaga buluh kasap, cik!" balas penjual dengan suara yang agak malas melayan perempuan itu. "Rugilah saya," tambahnya.



Kepala otaknya bercongak untung ruginya menjual harga telur itu sebegitu kepada perempuan itu. Sang penjual mengeleng-gelengkan kepalanya.



"Kalau cik mahu juga, saya kasi $12 untuk ini," penjual menurunkan harganya sambil menunjukkan telur ikan yang ditanya perempuan itu tadi. Tambahnya, "Ambillah cik dengan harga itu, biar kita sama-sama mendapat berkat."



"Mahal sangat. Tak 'naklah. Tak apa, saya cari di gerai lain," kata perempuan itu yang tidak mahu menaikkan harga tawarannya meskipun sang penjual telah menurunkan tawarannya. Dia melengos dari penjual ikan itu. Hatinya jengkel kepada sang penjual, seolah-olah sang penjual bersalah terhadapnya dengan menetapkan harga jualan yang tinggi.



"Berpada-padalah cik bila menawar. Kalau cik tak 'nak, tak apalah," lembut suara sang penjual kepada perempuan itu. Hatinya membara dengan tawaran yang tidak munasabah itu. Dia tidak mahu berniaga buluh kasap. Tetapi kemarahannya hanya disimpan dalam dirinya. Dia tidak mahu bertengkar dengan perempuan itu. Diperhatikan sahaja perempuan itu beredar dari gerainya.



Sebaik keluar dari pasar tadi dia meletakkan barang-barang pembeliannya diletakkan di but keretanya, perempuan itu mengeluarkan telefon bimbitnya dari beg. Ditekannya beberapa nombor yang ada di papan telefon itu. Lama juga dia menunggu panggilannya dijawab. Dia duduk dalam keretanya sambil berbual dengan orang yang dihubunginya.



"Hai… kau dah habis berbelanja ke?" tanyanya kepada orang yang dihubungi itu. "Kalau dah selesai, aku tunggu kau di tempat biasa, ya. Aku pandu ke sana nanti. Boleh kita sembang dan minum-minum." Dia memberitahu orang yang berbual dengannya.



"Ala… tak kan sekejap pun kau tak boleh," katanya seolah-olah kecewa. Mungkin orang yang dihubungi menolak tawarannya untuk bersembang.



Dia masuk ke 'coffee house' di tingkat bawah hotel itu. Dia memilih meja yang khas untuk dua orang di sudut hujung ruang tempat minum itu yang menghadap pintu masuk ke situ. Jadi dia akan dapat melihat pelanggan yang keluar masuk ke situ. Sementara menunggu, dia memesan espresso dengan beberapa cemilan.



"Manalah dia 'ni dah setengah jam pun belum tiba lagi. Dah nak habispun kopi aku ini," hatinya berbisik melihat kawannya belum lagi tiba di tempat yang mereka sering singgah. "Tak 'kan 'gitu lama masa diambil untuk 'nak sampai ke sini," rungut hatinya.



Sedang asyik menatap dan bertonyeh di Facebook telefonnya bila kawan melangkah masuk ke 'coffee house' itu. Dia tidak nampak dan perasan apabila kawannya masuk dan berjalan ke arah mejanya.



"Hoii..hantar mesej kepada boyfriend ke? Hingga tak sedar orang dah sampai ni," kawannya menyergah, sebaik tiba di tepi meja yang didudukinya.



"Bertuah kau." Dia menyambut kedatangan kawannya dengan kata seranah. "Dah lama tau aku duduk di sini, hingga nak kematu punggung aku," dia meleterkan kawannya yang baharu tiba. Kawannya hanya tersengeh dengan seranahnya. Sudah tegal biasa, dengan cara mereka berkomunikasi, meskipun jauh dari basa-basi Bahasa.



"Aku tersangkut dalam jem untuk ke sini tadi," kawannya memberi alasan.



"Aku drive tak pun jem! Kau janganlah mengakalkan aku pula," dia membalas jawapan kawannya itu. "Kau berbelanja di mana, dan ke sini ikut jalan mana?" tanyanya. Ditunjukkan wajah tonyernya. Dia mengolengkan-mata.



"Oklah jangan kita bertengkar tentang aku lambat sampai. Kita cerita pasal lainlah," kata temannya setelah duduk di kerusi berhadapannya. "Kau nak minum lagi, aku nak pesan minuman ni," kata menyambung. Temannya menggamit pelayan yang sedang berdiri di hujung ruang itu.



Mereka berbual mengadun berbagai cerita seperti orang yang sudah lama tidak bertemu meskipun mereka baru dua hari lalu bertemu di sebuah 'coffee house' yang lain. Mereka sering bertemu, bukannya jarang bersua. Tetapi perbualan mereka berrencah mencakupi berbagai topik dan arah hingga payah untuk menentukan ke mana arah perbualan mereka.



"Apa yang kau beli di pasar basah tadi?" kawannya bertanya. "Kan kau jarang berbelanja di pasar basah. Mimpi apa hari ini kau ke situ," bertubi kawannya bertanya. "Dan apa ke jadahnya kau ke pasar basah berpakaian seperti nak menghadiri suatu majlis aje." Kawannya menyindir dengan pakaian yang dikenakan olehnya pergi ke pasar basah.



"Ah… sajalah aku ke pasar basah. Kan dah lama aku tak ke pasar. Sesekali. Bukannya selalu, seringnya ke 'super market' atau beli 'online' aje. Ia lebih mudah untuk aku kerana tidak payah berasak-asak dengan mereka yang tidak sekelas dengan aku." dia menjawab.



"Apa yang kau beli di pasar tadi?"



"Adalah beberapa ikat sayur kampung yang dah lama aku tak makan. Adalah aku beli seikat pucuk ubi dan beberapa papan petai yang besar-besar matanya." Dia menjelaskan.



"Kau makan petai dan pucuk ubi?" kawannya bertanya seolah-olah terkejut sambil membeliak matanya. "Aku tak sangka kau masih kampungan walaupun membesar di bandar," katanya sambil ketawa. Seolah-olah lucu mendengar orang membeli sayuran yang sinonim dengan makanan orang yang tinggal di kampung.



"Ala… sesekali aku makan sayur kampung apa salahnya. Takkanlah aku nak menyental broccoli, tomato setiap hari. Sesekali aku tukar seleralah." Jawabnya.



"Tadi aku teringin nak beli telur ikan. Tetapi mahallah harganya. Pakcik penjual 'tupun mengada-ngada, tidak bersetuju dengan harga yang aku tawarkan," dia mengadu kepada temannya. Walaupun apa yang berlaku antaranya dengan sang penjual tadi lain senarionya.



"Berapa harganya?" kawannya bertanya.



"Dia kata tiga belas setengah. 'Kan mahal itu."



"Habis kau tawar ke tidak"?



"Aku minta sebelas setengah, tapi dia tak bagi. Benci betul aku dengan sikapnya yang tidak mahu bertolak ansur," dia melapurkan berita yang kabur. "Harga yang dia letak itupun untuk seberat setengah kilo aje. Kan mahal tu!" dia memberikan pendapatnya.



"Kau inipun satu. Harga sebegitu adalah berpatutan untuk telur ikan. Bukan ikan. Kau tau tak?" rakannya menempelak. "Harga telur ikan adalah lebih mahal dari harga ikan itu sendiri, tau." Jelas temannya lagi.



"Penjual tu pun dapat harga telur 'tu jauh lebih murah dari yang ditawarkan tu." Dia mempertahankan diri.



"Ooiii.. kau tau tak, harga di pasar tu naik turun mengikut harga yang dibeli dari peraih. Jadi jika dia mendapat dari peraih mahal, dijualnya dengan harga yang mahal." Temannya menjelaskan. "Mereka bukan seperti pasar raya yang mempunyai pembekal yang banyak dan berbagai. Dan mereka tidak perlu meletakkan tanda harga seperti di pasar raya."



"Tulah aku ingatkan telur ikan yang tak seberapa beratnya begitu mahal. Dan si penjualpun tak mahu bertolak ansur," masih lagi dia menyalahkan sang penjual. Seolah-olah sebab penjual yang tidak bersikap tolak ansur, dia tidak jadi membeli telur ikan itu.



"Oklah kita lupakan saja kejadian kau tak jadi beli telur ikan. Cerita pasal lainlah," temanya mengusulkan. "Kau nak ke mana selepas ini?" kawannya bertanya.



"Baliklah. Mungkin petang atau malam aku nak keluar lagi. Belum hilang rasa amarah aku terhadap pakcik jual ikan itu," dia membalas. Dia menggamit pelayan meminta bil makanan yang mereka telah selesaikan.



Dia mengeluarkan dompetnya bila pelayan membawa bil makanan mereka. "Keep the change," dia menambah sembari menghulurkan wang kertas lima puluh dolar. Dia tahu wang itu banyak berbaki daripada harga makanannya.



Kawannya tercengang dengan tingkahnya….




Dia mengeluarkan dompetnya bila pelayan membawa bil makanan mereka. "Keep the change," dia menambah sembari menghulurkan wang kertas lima puluh dolar. Dia tahu wang itu banyak berbaki daripada harga makanannya.

Kawannya tercengang dengan tingkahnya.




"Tulah aku ingatkan telur ikan yang tak seberapa beratnya begitu mahal. Dan si penjualpun tak mahu bertolak ansur," masih lagi dia menyalahkan sang penjual. Seolah-olah sebab penjual yang tidak bersikap tolak ansur, dia tidak jadi membeli telur ikan itu.




KOSA KATA



lansia = lanjut usia
tonyer = mengejek dengan mengerutkan muka
olengan mata = ''eye rolling''




BIODATA PENULIS 



Sumadi Sarkawi mantan wartawan yang aktif dalam penulisan sastera sejak berusia 16 tahun.

Beliau kini seorang pendidik Lembaga Ragbi Antarabangsa.

Beliau telah menerbitkan empat buku puisi dan sebuah antologi cerpen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >