CERPEN

Demi waktu

MEREKA datang lagi - orang tua dan orang muda itu. Mereka bertemu di tempat yang sama Ahad lalu. Aku tahu kerana aku ada berdekatan mereka meskipun mereka tidak sedar akan kehadiranku.

Aku percaya pertemuan kedua ini sengaja mereka atur. Di pertemuan lalu itu, kukira mereka bertemu secara kebetulan. Bukan dirancang. Mereka kelihatannya belum pernah berjumpa sebelumnya, belum mesra. Hanya kemudiannya baru kulihat mereka berbual panjang, menjadi lebih mesra, lebih ramah. Air muka masing-masing menggambarkan perubahan itu.

Ketika matahari hampir tenggelam dan wajah senja mula menjenguk, baru mereka berpisah. Mereka bersalaman erat. Dari jauh dapat kulihat wajah gembira dan terharu orang muda itu. Dia berasa beruntung benar berjumpa dan berbual dengan orang tua itu. Itu yang kurasakan melihatnya dari jauh.

Orang muda itu beredar setelah orang tua itu sudah jauh perginya dari bangku tempat mereka duduk. Dia bergerak perlahan membimbing basikal merahnya ke arah tempat aku berada.

"Syukur, ya Allah, menemukanku seorang yang tak pernah kukenal, tapi berjaya menyuntikku semangat yang kuat," kudengar bisikan hati orang muda itu.

Dia benar-benar berasa bahagia dan lega. Aku pastikan dapat mendengar lanjutan bisikan hatinya.

"Orang tua itu menyedarkanku betapa silapnya tindakanku melayan rasa kecewaku berdepan masalah sengketa dua orang tuaku yang tidak ada sudahnya," luah hatinya lagi.

Aku semakin berminat mengikutinya.

"Kekecewaanku membuatku memilih hidup sendirian, hidup mengasingkan diri. Aku tidak selera untuk bergembira dengan sesiapa pun. Aku mengabaikan pelajaranku walaupun aku berjaya masuk ke jurusan pilihan. Aku pilih bersendirian dengan basikalku melayan rasa benciku pada situasi yang kuhadapi. Aku benar-benar membuang waktu, mensesiakan usia mudaku."

Jelas kulihat ada air keluar dari kelopak matanya. Aku jadi bersimpati dengannya. Sayang, aku tidak dapat berbuat apa pun dalam keadaan begitu.

"Dia kembalikan kewarasanku untuk menghargai dan memanfaatkan waktu yang masih ada. Katanya, waktu adalah anugerah paling lumayan yang Allah berikan kepada manusia. Sayangnya, manusia banyak mensesiakannya."

Dan orang muda itu kulihat menengadah ke langit.

Hatinya berbisik lagi: "Aku berazam tidak akan terus menangisi nasib yang kualami sepanjang ini dengan mensesiakan waktu yang masih ada. Aku sedar diriku berharga. Aku akan berusaha mengikut nasihatnya. Aku tidak boleh menjadi antisosial hanya kerana marah dan kecewa atas sengketa orang tuaku."

Kudengar jelas semua luahannya. Aku dekat benar dengannya. Aku mengongsi rasa terharunya. Benar seperti yang diluahkannya, kehidupan dan perjalanan masa depanku sendiri banyak dipengaruhi waktu.

Tiba-tiba angin bertiup kuat. Aku gagal mengawal diri. Dedaun pokok bergoyang keras. Semacam bunyi sayu kedengaran. Orang muda itu menjadi cemas. Dan dia, kulihat, cepat-cepat mengayuh basikalnya pergi jauh meninggalkan tempat itu.

Dan kini, Ahad kembali lagi. Terik panas matahari sudah banyak berkurangan waktu itu. Cuaca begitu memang jadi pilihan pengunjung tempat itu. Desiran ombak di pantai berdekatan menambah kesantaian suasana.

Orang tua itu datang lebih awal. Walaupun berumur, dia kelihatan masih cergas. Aku tahu dia datang berkereta yang diletakkan di parkir sekitar lima puluh meter dari situ. Sekitar sepuluh minit kemudian menyusul orang muda itu. Kelihatannya dia tergesa-gesa menghampiri tempat orang tua itu duduk. Masih dengan basikal merahnya.

"Maaf, lewat," kudengar katanya sedikit mencungap.

Mungkin dia berasa bersalah datang terkemudian dari orang tua itu. Orang tua itu tersenyum mesra mengalu-alukannya. Jelas dia mahu orang muda kenalannya itu tenang, tidak gugup.

Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tegak tiga puluh meter dari mereka, aku sendiri terasa nyaman dipukul angin begitu. Kehadiranku masih tidak menarik perhatian mereka.

"Saya terus memikirkan hal yang kita bualkan minggu lalu," orang muda itu memulakan percakapan. "Mengenai waktu yang menjadi penentu utama terhadap setiap perlakuan kita," sambungnya lagi mengingatkan.

Melebar senyuman orang tua itu. Dipandangnya ke arah pantai.

"Saya ingat kata pak cik, walaupun perlakuan manusia berbeza-beza, semuanya dikawal faktor waktu," kata orang muda itu mengimbas semula bualan mereka minggu lalu.

"Saya ingat cerita pak cik cara berbeza orang mengisi masa menunggu waktu berbuka puasa. Yang kaya tunggu di restoran mewah, tengok juadah disediakan dan menikmati aroma makanan yang bakal dinikmati apabila sampai waktu berbuka nanti. Yang miskin mungkin cuma duduk di warung kopi, menempah secangkir kopi untuk nanti diminum sambil menyedut asap rokok menghilangkan ketagihan sehari berpuasa."

"Caranya saja berbeza ikut status sosial masing-masing. Tapi, faktor yang mengawal perlakuan mereka sama, iaitu waktu - menunggu waktu untuk berbuka puasa," sambut orang tua itu merumuskannya.

Aku masih ingat sebahagian besar perbualan mereka waktu itu. Kuingat huraian orang tua itu betapa waktu mempengaruhi sikap dan perlakuan manusia, baik apa pun pegangan dan tujuan hidup mereka.

Orang tua itu menukil daripada sebuah buku. Penulisnya, katanya, memberi contoh orang yang murah hati menyedekahkan waktunya mengajak orang lain menghargai dan memanfaatkan waktu. Orang lain yang ikhlas mengembalikan sisa waktu yang dia tidak gunakan di dunia kepada Allah melalui zikir dan ibadah-ibadah sunah.

Kata orang tua itu seterusnya: "Waktu menjadi kurnia Allah yang paling melimpah kepada manusia. Yang bersabar akan menunggu. Yang menunggu akan membuangnya. Yang membuangnya akan membayar dengan harga supaya sampah waktu menjadi terasa berguna. Sayang, ramai yang tidak menyedarinya. Dan ketika dia mula mahu sedar, waktunya sudah tidak ada. Mati dalam rugi. Itu rumusan penulis yang bukunya saya baca itu."

Orang muda diam mendengar dengan tekun.

"Saya terus berfikir adakah saya seorang yang benar-benar faham erti waktu dan memanfaatkan waktu," dia berterus terang mengaku. "Saya kesal mengingatkan selama ini saya banyak meremehkan waktu. Saya bertanya diri sendiri: mengapa saya tidak sabar dalam menunggu? Mengapa saya banyak membuang waktu begitu saja?"

Disusul pengakuannya dengan bercerita lebih panjang. Kufikir dia bercerita perihal sengketa ibu bapanya yang membuat dirinya sangat kecewa. Orang tua itu mendengarnya penuh simpati.

"Mungkin orang tua kamu berkejar waktu mengejar impian masingmasing," orang tua itu memberikan pandangannya. "Seperti yang kamu ceritakan, ibumu perlukan waktu untuk membuktikan kebolehan cemerlangnya sebagai satu-satunya saintis perempuan Melayu yang mendapat tempat di makmal unggul itu. Dia dikejar keinginan membunuh mitos ketidakupayaan bangsanya yang sering dilaung-laungkan. Ayahmu pun mungkin demikian. Dia mahu membuktikan dirinya usahawan digital ulung bangsa Melayu."

Orang muda itu patuh mendengarnya.

"Mungkin sekali obses mahu mengejar kecemerlangan masingmasing membuat mereka tidak punya cukup waktu untuk kamu walaupun kamu merupakan satu-satunya anak mereka."

"Dan kamu sendiri tidak punya waktu untuk bersabar menunggu mereka. Lantas semuanya jadi berantakan."

Orang muda itu mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan.

"Apabila kamu sendiri mengabaikan waktu sebagai cara membantah, kerosakannya menjadi lebih parah. Orang tua kamu akan lambat sedar kesilapan mereka. Kamu sendiri dengan membazirkan waktu menjadi rugi kerana itu. Sekolah kamu kehilangan waktu untuk menggilap potensi kamu. Rakan-rakan kamu rugi kerana hilang percikan sifat dan daya otak kamu yang bagus. Bahkan masyarakat juga terhambat dalam usaha menambah seorang lagi calon orang yang bergeliga otaknya dalam menambah jenius bangsa."

Orang muda itu menangis. Kata-kata orang tua itu menyentap emosinya. Dia sedar betapa bodoh dirinya memberi respons yang salah terhadap sesuatu yang mengganggu ketenangan jiwanya. Dia gagal mengawal dan memanfaatkan waktu. Kesannya, segalanya kini berantakan. Kerugian.

Mereka berpisah. Kulihat orang muda itu memeluk erat orang tua itu. Penuh emosi. Dia menangis sungguh. Ada kata-kata yang lahir di sebalik tangisannya itu.

Seperti minggu lalu, orang muda itu menolak basikal merahnya menuju ke arahku. Di situ lebih teduh dan kurang dilalui orang. Kulihat wajahnya lebih jelas. Di bawah tedahan pohon itu dia menyapu bekas titisan air mata di pipinya.

Tiba-tiba ada bunyi kekecohan di bibir pantai. Pada kedudukanku, lebih jelas dapat kulihat. Seorang perempuan berteriak-teriak menghadap ke laut. Begitu panik kelihatannya. Beberapa depa di hadapannya, seorang perempuan lain berjalan pantas menuju laut. Kakinya sudah mencecah gigi air. Tidak diendahkan teriakan separuh menangis perempuan di belakangnya.

"Ada kecemasan. Engkau mesti tolong!" Jeritku sekuat hati menarik perhatian orang muda yang terus berteduh di situ.

Dia terpinga-terpinga melihat ke laut. Didengarnya jeritan perempuan. Dia nampak dua perempuan. Aku tidak pasti sama ada dia mendengar jeritanku atau tidak. Tapi kupasti hatinya berdetik. Kulihat dia segera lari ke pantai.

"Tolonglah tuan. Sepupu saya mahu membunuh diri. Dia kecewa ibu bapanya menolak pinangan lelaki yang dicintainya. Dia sedih orang tuanya langsung enggan mendengar rasa hatinya."

Dilihat perempuan di hadapannya bukan lagi di gigi air. Separuh badannya sudah tenggelam. Setiap detik waktu berlalu mendekatkan satu nyawa berlalu. Tiada pilihan lain bagi orang muda itu. Dia menjerit sekuat hati.

"Berhenti! Ingat Tuhanmu. Dia masih ada. Dia sayang padamu."

Kata-kata yang dijeritkannya sungguh berhikmah. Perempuan di air itu memberhentikan langkahnya. Aku bersorak bangga. Kupekik ke telinganya memuji keberaniannya. Kini waktu di sebelahmu, kau telah menguasai waktu. Demikian kataku.

Aku pasti orang muda itu telah mendapat kekuatan baru. Kebulatan azamnya menjadikannya kuat. Perempuan yang mahu membunuh diri itu menangis, merapati orang muda itu. Dia mendakapnya, membawanya selamat ke daratan.

Perananku cuma setakat itu. Aku akan terus tegak menawarkan keteduhan, menjadi saksi merakamkan setiap detik perjalanan waktu.


BIODATA

Maarof Salleh pernah menjadi zamil kanan kajian di Institut Pengajian Asia Tenggara.

Beliau juga pernah mengajar bahasa Melayu, sastera, ekonomi dan sejarah di pelbagai peringkat sekolah dan mengetuai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sedekad.