Fahami 'cermin' dan adab tuntut ilmu

MASA manusia di dunia sangat terhad.

Namun, ilmu yang ada melebihi dalamnya lautan - seakan tiada hadnya.

Oleh sebab itu, ahli falsafah dan teologi Islam, Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad Al-Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali, menyarankan supaya ada adab, aturan dan peringkat sewaktu mengejar ilmu.

Dalam hal ini, beliau menyifatkan roh, atau pusat pembelajaran berlaku, sebagai cermin manakala ilmu ibarat pantulan yang sempurna.

Lima syarat bagi mendapatkan 'pantulan' sempurna telah diketengahkan dalam buku berjudul Al-Ghazali and Academic Excellence: The Art of Soul-Based Learning (Al-Ghazali dan Kecemerlangan Akademik: Seni Pembelajaran Berteraskan Rohani), yang terbit Julai lalu.

Buku berkulit lembut setebal 294 halaman terbitan Pertubuhan Pendidikan Futuwwah itu tulisan pendidik setempat Muhammad Hasanul Arifin Zawawi, 33 tahun.

"Apa yang kurang sekarang ialah adab sewajarnya terhadap pembelajaran. Buku ini bertujuan mengetengahkan dan menghuraikan masalah itu, di samping menyediakan landasan adab yang betul ketika menuntut ilmu.

"Saya memilih mengkaji Imam Al-Ghazali pertama sekali kerana siapa dirinya. Beliau tokoh istimewa dalam tradisi intelektual. Jika mahu membincangkan pemikiran Islam, beliau sumber terbaik, terutama sekali menerusi karya agungnya Ihya Ulumuddin. Imam Al-Ghazali ilmuwan ulung bukan sahaja dalam dunia Islam, malah dunia Melayu.

Tulisannya banyak mempengaruhi pemikiran Melayu-Islam.

"Di samping itu, konteks kehidupan kita sama seperti zaman Imam Al-Ghazali. Masyarakatnya pada waktu itu dipengaruhi sikap mementingkan kebendaan atau materialisme, sama seperti dunia kita sekarang. Ilmu digali sekadar mahu mencapai manfaat daripada segi kewangan dan mobiliti sosial. Malah, hari ini, keadaan meruncing.

"Barangkali menerusi usaha mengkaji Imam Al-Ghazali, kita boleh mencari huraian buat masyarakat hari ini," ujar Encik Hasanul, calon ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-Casis), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.

Wartawan mewawancara bapa dua anak itu di rumahnya dalam kawasan Bukit Panjang baru-baru ini.

Buku tersebut dipadankan daripada tesis sarjananya yang disiapkan pada Februari 2017.

Beliau mengambil masa empat tahun untuk menyelesaikannya, dari 2013 hingga 2017, juga di bawah RZS-Casis.

Pertubuhan Futuwwah diasaskan Profesor Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, yang mengajar di RZS-Casis dan penyelia tesis sarjana Encik Hasanul.

Operasi badan tersebut berlandaskan wakaf, di mana penulis tidak akan menerima royalti penjualan buku. Hasilnya akan disalurkan kepada penerbitan buku lain dan dana membantu siswa RZS-Casis yang memerlukan.

Bidang pemikiran Islam rantau ini banyak diusahakan ilmuwan terkemuka, Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut Encik Hasanul, beliau mendalami falsafah yang diketengahkan Profesor Al-Attas sejak 2007.

Lima faktor jejas 'cermin' dibincangkan dalam buku Encik Hasanul. Beliau mencerakin semula makna kecemerlangan akademik menerusi pandangan Imam Al-Ghazali dan apakah itu ilmu, kebenaran dan hakikat.

Antara lain, Encik Hasanul merujuk kepada kitab pertama Ihya Ulumuddin berjudul Kitabul Ilm dan buku Ya Ayyuhal Walad, Kimiya-e-Sa'adah dan Risalah Laduniyyah.

Natijahnya, kecemerlangan akademik bersangkut pada tiga perkara, yakni fadilah (akhlak), hikmah (kebijaksanaan) dan ihsan (sedar adanya Tuhan).

Tiga perkara itu boleh dipupuk jika adab tersemai. Adab pula membawa maksud kaedah mengenal pasti dan mengiktiraf sesuatu dalam kedudukan sewajarnya, menurut kajian Profesor Al-Attas.

Terdapat lima perkara yang harus diteliti andai mahu mencapai kecemerlangan akademik.

Perkara pertama yang 'menjejas' 'cermin' atau roh ialah potensi pembelajaran. Ada yang mampu menyerap ilmu lekas, namun ada yang perlukan masa. Justeru, kita perlu mengenali kekuatan dan kelemahan sendiri seraya tunduk pada guru yang lebih berilmu.

Kedua, 'cermin' dikotori maksiat dan dosa. Misalnya, kita tahu menuntut ilmu wajib, namun melengahkannya hingga jadi malas.

"Kita harus mendisiplinkan diri mengatasi kemalasan dan kekurangan. Tanamkan azam. Ini juga adab terhadap diri sendiri," ujar pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan bio Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

Ketiga, 'cermin' menghadap arah lain. Ini bermaksud kita diganggu dan perlu memperkukuh tumpuan. Justeru, kita perlu menguruskan masa dengan baik.

Katanya, masa antara Maghrib dengan Isyak terbaik bagi kerja menulis, membaca dan melakukan renungan. Imam Al-Ghazali pun berkata bahawa penuntut ilmu perlu membaca teks berwibawa dan secara bertahap.

Keempat, 'cermin' dilapik 'kain', yakni kita memiliki prejudis, kecenderungan dan pandangan alam yang tercemar.

Huraiannya adalah memilih guru yang tepat. Pelajar pun tidak usah gopoh mendalami sesuatu cabang ilmu. Pastikan ilmu yang ingin diterokai memang diperlukan secara peribadi dan mampu membuka minda.

Kelima, kedudukan 'cermin' tidak mampu ditetapkan. Ini bermakna penuntut tersebut jahil akan urutan ilmu yang perlu dimiliki. Umpamanya, jika mahu menguasai algebra, beliau mesti mahir asas kira-kira dulu.

"Kesimpulannya ialah kita harus faham bahawa pencarian ilmu mesti menuju ke arah kebahagiaan dan memiliki urutannya sendiri," ujarnya.

Akhir kata, beliau kini mengusahakan tesis PhD yang menumpukan perhatian terhadap pemikiran pendidikan Islam dan perbandingan dengan falsafah pendidikan lain.

"Saya berharap, menerusi buku ini, pembaca akan terbuka meneroka tulisan lain, terutamanya tulisan Profesor Al-Attas. Semoga buku saya boleh membantu pembaca memahami tulisan Profesor, yang merupakan tindak balas terhadap cabaran moden yang dihadapi orang Islam," ujar Encik Hasanul.

Buku Al-Ghazali and Academic Excellence boleh didapatkan di Wardah Books, Bussorah Street, atau kedai buku RZS-Casis UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

  • Penulis penyunting akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang kini mengikuti kursus sarjana pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Galeri Foto