Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

ESEI

Jaya ungkap cerpen berunsur motivasi

Cerpen Dam dan Lukisan Tuty Alawiyah Isnin tiup semangat pada kaum wanita
Nov 06, 2017 | 05:30 AM



KEHADIRAN ramai penulis muda hari ini cukup menggalakkan. Walaupun mereka baru menceburi bidang penulisan, ada di antara mereka sudah menampakkan kemampuan berbahasa dengan baik dan dapat menyampaikan karya mereka dalam kesatuan yang seimbang.



Seorang daripada mereka ialah Tuty Alawiyah Isnin. Kesan yang dirasai setelah membaca dua cerpennya - Dam (Berita Minggu, 5 Februari 2017) dan Lukisan (Berita Minggu, 7 Mei 2017) - ialah, Tuty Alawiyah mempunyai kemahiran dalam mengungkapkan cerpen berunsurkan motivasi.



Beliau memilih Dam sebagai judul cerpennya. Mungkin ramai orang menganggap itu biasa saja; dam hanya sejenis permainan, apa istimewanya?



Akan tetapi bagi pengarang, pemilihan judul adalah satu kesatuan daripada keseluruhan cerpen yang dihasilkannya.



Saya akur pengarang memilih judul yang tepat untuk menggambarkan satu perjuangan. Papan dam adalah satu medan perjuangan.



Cerpen Dam menceritakan perjuangan seorang pelajar madrasah dalam mengharungi cabaran di tengah-tengah masyarakat kosmopolitan yang mengutamakan sekular.



Watak Siti, yang menjalani pendidikan madrasah atas pilihan ayah dan ibunya, menjadi contoh seorang murid dan penuntut cemerlang. Keyakinan dan keprihatinan ibu bapanya juga menjadi paksi kekuatan yang mendorong dan menyokongnya mencapai cita-citanya.



Kata-kata rangsangan daripada ibunya dijadikan pegangannya untuk tabah menghadapi perjuangannya, "kalau akhirat Siti jaga, Allah akan jaga dunia Siti".



Walaupun pada peringkat awalnya emosi Siti berasa tertekan dengan ejekan daripada orang di sekitarnya, terutama mak ciknya sendiri, Cik Mia, dan anak-anaknya, Azlin dan Azhar, Siti bukan jenis pelajar yang lekas berputus asa.



Dia membuktikannya dengan kejayaan dalam semua ujian dan peperiksaan pada setiap peringkat, bukan dalam mata pelajaran ukhrawi saja, bahkan sekular. Malah, Siti memasuki politeknik dan belajar di universiti luar negara hingga mencapai kejayaan cemerlang.



Ibarat menjolok buah dam, watak Siti yang tabah itu banyak menggunakan akal fikirannya dan memaksimumkan daya tahannya untuk sentiasa maju, menghadapi rintangan dan mengatasi cabaran hingga berjaya dalam medan perjuangannya.



Cerpen Dam sebagai motivasi menggalak pembaca meraih kehidupan lebih sempurna dengan keseimbangan pencapaian duniawi dan keutuhan ukhrawi.



Begitu juga dengan cerpen Lukisan, yang menceritakan keupayaan dan kecekalan seorang ibu tunggal dalam melayari kehidupan hariannya.



Watak Anis, ibu tunggal tersebut, mempunyai dua anak, Nuha, empat tahun, dan seorang bayi sembilan bulan, di bawah jagaannya dan dia bekerja di sebuah syarikat sebagai ketua kanan.



Dalam cerpen ini, kita diperlihatkan betapa masa itu begitu penting baginya dalam mengimbangi dunia pekerjaan dan tanggungjawab keluarga.



Walaupun tugas di pejabat selalu mendesak dan semakin bertambah hari ke hari, ia tidak bermakna dia mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya.



Dia masih sempat membahagi dan meluangkan masa yang berharga untuk melayan anak-anaknya dan menyediakan segala keperluan mereka.



Sebagai pekerja, Anis membuktikan dirinya sebagai ketua cekap dan bekerja mengikut masa yang ditetapkan majikannya. Walaupun atasannya yang lebih mementingkan keuntungan syarikat masih kurang senang dengan kelakonannya, dia tetap bertegas dan bersabar kerana anak-anaknya juga memerlukan perhatian daripadanya.



Anis digambarkan oleh pengarang sebagai ibu tunggal kuat dan cekal. Dia tidak mengharapkan bantuan atau belas kasihan daripada orang lain. Anis lebih berdikari.  



Anis tidak perlu memperdulikan anggapan masyarakat yang dianggapnya lumrah bagi statusnya.



Kesendirian (tanpa suami) membuktikan dia masih berupaya menyara hidupnya dan membesarkan anakanaknya dengan sempurna, seperti keluarga lain.



Pengarang tidak pesimistik dalam melukiskan kehidupan ibu tunggal. Sebaliknya, kecekalan dan rasa tanggungjawab watak Anis terhadap keluarganya menjadi contoh untuk menghadapi keadaan dan memenuhi keperluan rumah tangganya selepas perceraian.



Lukisan sebuah cerpen perwatakan yang tertumpu pada watak Anis. Seperti Dam, ia sebuah cerpen yang membangunkan jiwa mereka yang terlibat dalam kemelut rumah tangga, terutamanya kaum wanita.



Jelas daripada penghayatan kedua-dua cerpen itu bahawa Tuty Alawiyah Isnin berjaya meniupkan semangat pada kaum wanita untuk membina diri dengan pandangan optimistik demi meneruskan kehidupan dengan berjaya.



  • Penulis aktif menulis cerpen dan sajak dan pernah memenangi anugerah penulisan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >