ketika lapar menguasai diri perut kosong mesti diisi tidak cukup air sebagai ganti makanan mesti dicari jika ini tidak dipenuhi lemah tubuh mula dirasai

jika kelaparan berterusan fikiran terganggu mula berkecelaruan pelbagai perkara mahu dilakukan baik atau buruk bukan ukuran mengisi perut menjadi keutamaan terus kebulur membawa kematian ini yang ditakutkan maka PUASA suatu didikan agar kelaparan jadi amalan

AMAN SAMAT

Nazam kasih

Allah Allah, Azzawajala, Tuhan kami, dengan nama Allah, kami mulakan, nazam ini.

Kasih anugerah, dari Allah, untuk hamba-Nya, dari ibu, kasih sejati, kepada anaknya.

Kasih Allah, tiada taranya, buat makhluk-Nya, Maha pengasih, lagi penyayang, tiada bandingnya.

Kasih ayah, sedia berkorban, demi keluarga, berusaha gigih, asalkan semua, hidup sejahtera.

Kasih insan, sesama manusia, hidup harmoni, jangan sia-sia, pesan berpesan, amalan murni.

Kasih sayang, paling utama, rasa sentosa, hindari marah, buas mengganas, menurut resa.

Sampai di sini, nazam kasih, santapan nurani, salah silap, mohon ampun, harap dimaafi.

Allah Allah, Azzawajala, Tuhan kami, kami mohon, ampun akan, dosa kami.

ISMAIL HUSSAIN

Senyuman Kuala Lumpur

Senyuman Kuala Lumpur tidak bersambut ketika bersilih pandang atau mata bertentang

benarkah waktu atau riak diri menjadi penghalang lama bersarang?

senyuman Kuala Lumpur semakin mahal seperti keperluan di pasar harga naik mendadak selepas PKP dan tidak ada penguasa yang peduli sekadar nasihat bersahaja ukur baju di badan sendiri!

ISMAIL HASHIM WARISAN PUTERI